Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 31 December 2011

Selamat Tinggal 2011... : )

Tarikh hari ini 31 Disember 2011 merupakan hari terakhir dalam tahun 2011.Tahun 2011 meninggalkan seribu satu kenangan suka dan duka buat kita semua.Banyak peristiwa yang sedih dan gembira juga turut mewarnai Institusi Beraja di negara kita.

Berikut saya sertakan sedikit sebanyak peristiwa yang berlaku dalam Institusi Raja-Raja Melayu...


PERSARAAN ENGKU TAN SRI DATO' SERI IBRAHIM BIN ENGKU NGAH..

Yang Mulia Engku Tan Sri Dato' Seri Ibrahim Bin Engku Ngah,79 yang merupakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu bersara setelah menyandang jawatan itu sejak tahun 1989.Beliau memulakan khidmat pada tarikh 1 Januari 1989 dan bersara pada 7 Januari 2011 setelah 22 tahun menjadi Penyimpan Mohor Besar .Engku Ibrahim yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada salah seorang Yang di-Pertuan Agong, adalah juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha (II) Jabatan Perdana Menteri sebelum bersara wajib dari perkhidmatan kerajaan pada April 1987.



Engku Ibrahim digantikan oleh YBhg Datuk Syed Danial Bin Syed Ahmad,66.Datuk Syed Danial berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dan Sarjana dari Universiti of Winconsin.Beliau juga pernah menyandang jawatan  Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara.


  YMM TENGKU AMPUAN BARIAH MANGKAT...


Tahun 2011 juga menyaksikan peristiwa sedih kemangkatan YMM Tengku Ampuan Bariah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.Baginda yang merupakan bonda tiri Tuanku Mizan mangkat pada 21.03.2011 di Bandar Diraja Kelang pada usia 78 tahun. Walau bagaimanapun Almarhum dimakamkan di Terengganu. Jenazah Almarhumah diterbangkan ke Kuala Terengganu menggunakan perkhidmatan pesat C130 TUDM. Istiadat penghormatan terakhir dan Solat Jenazah disempurnakan di Balairong Seri Istana Maziah, Kuala Terengganu sebelum Jenazah diarak menggunakan Tandu Diraja ke kawasan Permakaman Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah, Ladang, Kuala Terengganu. Tandu khas berkenaan melalui jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman dengan diiringi pembawa payung dan tombak yang terdiri daripada lima pegawai serta 64 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen ke-18 Askar Melayu Diraja sejauh empat kilometer.  


YMM PADUKA BONDA RAJA SELANGOR MANGKAT...

Pada tahun 2011 juga kita dikejutkan dengan berita kemangkatan YMM Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ihsan Binti Almarhum Tengku Badar Shah.Baginda mangkat di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 31 May 2011 di usia 89 tahun.Jenazah baginda dibawa ke Istana Alam Shah untuk istiadat penghormatan terakhir.Baginda dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam.


DYMM TUANKU MIZAN KE ANTARTIKA...
 
DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin mencipta sejarah sebagai Raja pertama yang menjejakkan kaki ke Antartika.Baginda yang membuat lawatan rasmi ke Benua itu pada 22 Nov 2011.Seri Paduka Baginda dan rombongan tiba di benua selatan itu dengan pesawat khas C-17 Globe Master Tentera Udara Amerika Syarikat yang mendarat di Lapangan Ais Pegasus, sebuah lapangan terbang yang dibina di atas lautan ais yang beku pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan.Rombongan Seri Paduka terdiri daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd Nor; Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), Prof. Datuk Dr Azizan Abu Samah dan Juruiring Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Brig Jen Datuk Zaharin Ahmad.








 YMM RAJA PEREMPUAN MUZWIN MANGKAT...


YMM Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Ariff Shah telah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Oktober 2011.Baginda berusia 82 tahun.Jenazah baginda dibawa ke Istana Riswin untuk istiadat penghormatan terakhir .Baginda dimakamkan di Makam Diraja Al Ghufran Kuala Kangsar bersebelahan makam Almarhum suami baginda.



ISTANA NEGARA BARU JALAN DUTA...


Tahun 2011 juga menyaksikan Pentadbiran Istana Negara berpindah dari Istana Negara Jalan Syed Putra ke Istana Negara Jalan Duta.Istana baru yang dibina di atas tanah seluas 241.3 ekar dan menelan belanja sebanyak RM 812 juta.Tarikh 15 November 2011 merupakan tarikh perpindahan seluruh isi Istana Negara Lama ke Istana Negara Baru Jalan Duta.Istiadat Melafaz Sumpah Yang Dipertuan Agong ke 14 juga julung kali diadakan di Istana Negara Baru ini.


DYMM TUANKU ABDUL HALIM AGONG KE 14...


Sultan Kedah,Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sekali lagi dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menamatkan khidmat baginda selama 5 tahun.Tuanku Abdul Halim,84 pertama kali menjadi Yang Dipertuan Agong pada tahun 1970 hingga 1975.Baginda merupakan satu-satunya Raja Melayu yang menaiki takhta kerajaan sebanyak dua kali.Tuanku Abdul Halim mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertuan Agong pada 13 Disember 2011 di Istana Negara Jalan Duta.Pada istiadat sama Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke 5 dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong.



Post ini merupakan post terakhir dalam tahun 2011 dan merupakan Post ke 40 dalam blog saya ini.Semoga tahun 2012 memberi seribu satu hikmah dan keberkatan dalam hidup kita. AMIN.. :)

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...