Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 31 December 2011

Selamat Tinggal 2011... : )

Tarikh hari ini 31 Disember 2011 merupakan hari terakhir dalam tahun 2011.Tahun 2011 meninggalkan seribu satu kenangan suka dan duka buat kita semua.Banyak peristiwa yang sedih dan gembira juga turut mewarnai Institusi Beraja di negara kita.

Berikut saya sertakan sedikit sebanyak peristiwa yang berlaku dalam Institusi Raja-Raja Melayu...


PERSARAAN ENGKU TAN SRI DATO' SERI IBRAHIM BIN ENGKU NGAH..

Yang Mulia Engku Tan Sri Dato' Seri Ibrahim Bin Engku Ngah,79 yang merupakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu bersara setelah menyandang jawatan itu sejak tahun 1989.Beliau memulakan khidmat pada tarikh 1 Januari 1989 dan bersara pada 7 Januari 2011 setelah 22 tahun menjadi Penyimpan Mohor Besar .Engku Ibrahim yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada salah seorang Yang di-Pertuan Agong, adalah juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha (II) Jabatan Perdana Menteri sebelum bersara wajib dari perkhidmatan kerajaan pada April 1987.



Engku Ibrahim digantikan oleh YBhg Datuk Syed Danial Bin Syed Ahmad,66.Datuk Syed Danial berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dan Sarjana dari Universiti of Winconsin.Beliau juga pernah menyandang jawatan  Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara.


  YMM TENGKU AMPUAN BARIAH MANGKAT...


Tahun 2011 juga menyaksikan peristiwa sedih kemangkatan YMM Tengku Ampuan Bariah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.Baginda yang merupakan bonda tiri Tuanku Mizan mangkat pada 21.03.2011 di Bandar Diraja Kelang pada usia 78 tahun. Walau bagaimanapun Almarhum dimakamkan di Terengganu. Jenazah Almarhumah diterbangkan ke Kuala Terengganu menggunakan perkhidmatan pesat C130 TUDM. Istiadat penghormatan terakhir dan Solat Jenazah disempurnakan di Balairong Seri Istana Maziah, Kuala Terengganu sebelum Jenazah diarak menggunakan Tandu Diraja ke kawasan Permakaman Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah, Ladang, Kuala Terengganu. Tandu khas berkenaan melalui jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman dengan diiringi pembawa payung dan tombak yang terdiri daripada lima pegawai serta 64 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen ke-18 Askar Melayu Diraja sejauh empat kilometer.  


YMM PADUKA BONDA RAJA SELANGOR MANGKAT...

Pada tahun 2011 juga kita dikejutkan dengan berita kemangkatan YMM Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ihsan Binti Almarhum Tengku Badar Shah.Baginda mangkat di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 31 May 2011 di usia 89 tahun.Jenazah baginda dibawa ke Istana Alam Shah untuk istiadat penghormatan terakhir.Baginda dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam.


DYMM TUANKU MIZAN KE ANTARTIKA...
 
DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin mencipta sejarah sebagai Raja pertama yang menjejakkan kaki ke Antartika.Baginda yang membuat lawatan rasmi ke Benua itu pada 22 Nov 2011.Seri Paduka Baginda dan rombongan tiba di benua selatan itu dengan pesawat khas C-17 Globe Master Tentera Udara Amerika Syarikat yang mendarat di Lapangan Ais Pegasus, sebuah lapangan terbang yang dibina di atas lautan ais yang beku pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan.Rombongan Seri Paduka terdiri daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd Nor; Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), Prof. Datuk Dr Azizan Abu Samah dan Juruiring Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Brig Jen Datuk Zaharin Ahmad.








 YMM RAJA PEREMPUAN MUZWIN MANGKAT...


YMM Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Ariff Shah telah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Oktober 2011.Baginda berusia 82 tahun.Jenazah baginda dibawa ke Istana Riswin untuk istiadat penghormatan terakhir .Baginda dimakamkan di Makam Diraja Al Ghufran Kuala Kangsar bersebelahan makam Almarhum suami baginda.



ISTANA NEGARA BARU JALAN DUTA...


Tahun 2011 juga menyaksikan Pentadbiran Istana Negara berpindah dari Istana Negara Jalan Syed Putra ke Istana Negara Jalan Duta.Istana baru yang dibina di atas tanah seluas 241.3 ekar dan menelan belanja sebanyak RM 812 juta.Tarikh 15 November 2011 merupakan tarikh perpindahan seluruh isi Istana Negara Lama ke Istana Negara Baru Jalan Duta.Istiadat Melafaz Sumpah Yang Dipertuan Agong ke 14 juga julung kali diadakan di Istana Negara Baru ini.


DYMM TUANKU ABDUL HALIM AGONG KE 14...


Sultan Kedah,Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sekali lagi dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menamatkan khidmat baginda selama 5 tahun.Tuanku Abdul Halim,84 pertama kali menjadi Yang Dipertuan Agong pada tahun 1970 hingga 1975.Baginda merupakan satu-satunya Raja Melayu yang menaiki takhta kerajaan sebanyak dua kali.Tuanku Abdul Halim mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertuan Agong pada 13 Disember 2011 di Istana Negara Jalan Duta.Pada istiadat sama Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke 5 dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong.



Post ini merupakan post terakhir dalam tahun 2011 dan merupakan Post ke 40 dalam blog saya ini.Semoga tahun 2012 memberi seribu satu hikmah dan keberkatan dalam hidup kita. AMIN.. :)

Monday, 26 December 2011

PERSONALITI: YTM Dato' Seri Sharifah Nong Al Sagoff...



 Dalam ruangan PERSONALITI kita akan bercerita tentang bonda Raja Melayu yang tidak menjadi permaisuri.PERSONALITI kali ini akan mengupas kisah Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Dato' Seri Sharifah Nong Fatimah Binti Sayyid Abdullah Al Sagoff,D.K.(Terengganu),S.S.M.T.

Tentu anda tertanya-tanya siapakah gerangan Sharifah Nong ini.Beliau merupakan bonda kandung kepada DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin,Sultan Terengganu.Dilahirkan di Singapura pada 7 Oktober 1939 dalam keluarga yang cukup berpengaruh iaitu keluarga Al Sagoff.Merupakan isteri kedua kepada Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 15 April 1959 di Singapura.


 Sharifah Nong merupakan isteri kedua Sultan Mahmud selepas Almarhum YMM Tengku Ampuan Bariah.Perkahwinan Sultan Mahmud dengan Tengku Ampuan Bariah tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.Sharifah Nong melahirkan 6 orang putera dan puteri untuk Sultan Mahmud.Putera sulung beliau iaitu Tuanku Mizan yang dilahirkan pada tahun 1962 ditabalkan sebagai Sultan Terengganu setelah kemangkatan Almarhum Sultan Mahmud pada tahun 1998.Anakanda beliau yang lain ialah Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamil,Tengku Sri Panglima Raja Tengku Badrulzaman,Tengku Nor Rohana Putri dan Tengku Dato' Nur Rahimah Putri.Anakanda sulung beliau,Almarhum Dato' Hajah Tengku Amira Zahira Fara Qurashiyah mangkat mangkat pada 25 Februari 2001 di usia 40 tahun.

Setelah Tuanku Mizan menaiki takhta,Sharifah Nong telah dikurniakan gelaran Tengku Besar Terengganu dengan panggilan hormat Yang Teramat Mulia pada 4 Mac 1999.Ayah beliau ialah Sayyid Abdullah Bin Sayyid Salleh Al Sagoff dan ibu beliau pula ialah Sharifah Aishah Binti Abdul Rahman Al Junied.Datuk beliau merupakan Pengasas Sekolah Islam Al Junied di Singapura.




Sharifah Nong merupakan Pengerusi Syarikat Swiftlet Eco Park Berhad.Kini beliau bersemayam di Istana Al Muktafi Billah di Batu Buruk yang merupakan tempat kelahiran Tuanku Mizan.Kini Sharifah Nong berusia 73 tahun dan bersemayam di Terengganu bersama Bonda Mertua beliau iaitu YMM Tuanku Intan Zaharah.





Sunday, 25 December 2011

Senarai Raja Perempuan Perak bermula tahun 1528...



1528-1549 : YAM Tun Trang Binti Tun Ali.

1584-1594 : YAM Tun Sambu Binti Bendahara Johor.

1619-1627 : DYMM Raja Ampuan Jambi.

1636-1654 : YAM Putri Fatimah Puteh Binti Raja Abdullah.

1742-1750 : YAM Che' Muda Pahang.

1728-1742 dan 1750-1754 : DYMM Raja Perempuan Yang Dipertuan Tua Binti Almarhum Raja Muzaffar.

1754-1765 : DYMM Sri Paduka Mahadevi Che' Puteh Salama Binti Dato' Paloh.

DYMM Raja Perempuan Raja Budak Rasul Binti Almarhum Sultan Muzaffar Shah Hajiullah.

1765-1773 : DYMM Raja Kecil Ampuan Binti Tuanku Sultan Alaudin Mughayat Riayat Shah.

1773-1792 : YAM Toh Upik.

1792-1806 : YAM Dato' Dalam Che' Puan Pusa Puteh Binti Dato' Jambu.

YAM Raja Tengah Bongsu Binti Almarhum Sultan Muzaffar Shah.

YAM Che' Sri Nayan Sofia Binti Dato' Imam Malik Ul Amin.

YAM Dato' Nah Binti Dato' Jambu.

1806-1825 : YM Raja Hitam Binti Raja Inu Tengah.

1830-1851 : YAM Dato' Engku Raja Mandak Binti Raja Mahmud.

DYMM Raja Che' Puan Besar Raja Nutih Meh Salama Binti Raja Kasim.

1851-1857 : DYMM Raja Perempuan Raja Ngah Aminah Binti Raja Alang Radin.

1857-1865 :  YAM Wan Ngah Mahtra Che' Mahat.

1865-1871 : YM Raja Puteh Chantik  Binti Raja Kecil Tengah Yusuf.

1871-1874 : YM Raja Fatimah Binti Raja Daud.

1874-1877 : YAM Raja Ampuan Besar Raja Tipah Binti Almarhum Sultan Shahabuddin Riayat Shah Saifullah.

YAM Che' Itam Binti Toh Kota Pulau Tiga.

1877-1887 : YAM Toh Puan Besar Raja Fatimah Binti Toh Besar Indira Bongsu.

YM Raja Teh Sharifah Binti Raja Sayyid Hasan.

1887-1916 : DYMM Raja Perempuan Raja Nuteh Aishah Binti Almarhum Sultan Yusuf Sharifudin Muzaffar Shah Ghafirullah.

DYMM To' Puan Besar Cik Ngah Manah Binti Manda Duwayat.

DYMM Tengku Permaisuri Cik Haji Ngah Uteh Mariah Binti Haji Sulaiman.

1916-1918 : DYMM Tengku Permaisuri Cik Yong Sofia Binti Muhammad Yunus.

DYMM Raja Perempuan Raja Nuteh Zahra (Jahrah) Binti Almarhum Sultan Ali al Mukammil Inayat Shah.

1918-1938 : DYMM Tengku Permaisuri Cik Ngah Manah Binti Manda Duwayat,The Ratanaborn Order Of Siam.

DYMM Raja Perempuan Raja Puteh Umi Kalsum Binti Raja Kulop Muhammad Kramat.

DYMM Tengku Permaisuri Cik Puteh Salah Binti Abdullah.

1938-1948 :  DYMM Raja Perempuan Raja Khalija Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah.

YAM Tengku Permaisuri Cik Umi Kalsum Binti Abdullah.
1948-1963 : DYMM Raja Perempuan Taayah Binti Raja Abdul Hamid.http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2011/12/dymm-almarhum-raja-perempuan-taayah.html

DYMM Tengku Permaisuri Hajah Cik Khadijah Binti Dato' Wangsa Ahmad.

1963-1984 : DYMM Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Ariff Shah.http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2011/11/almarhum-yang-maha-mulia-raja-perempuan.html

1984-sekarang : DYMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali.

Saturday, 24 December 2011

DYMM Almarhum Raja Perempuan Taayah Raja Abdul Hamid...


Tentu anda mengenali siapakah gerangan wanita di atas kerana tulisan sebelum ini ada kaitan dengan baginda.Tetapi saya pasti ramai daripada generasi hari ini tidak mengenali siapakah baginda.Baginda merupakan bonda tiri kepada Sultan Perak sekarang.Baginda yang dimaksudkan ialah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Taayah Binti Almarhum Raja Abdul Hamid,P.J.K.


Raja Perempuan Taayah diputerikan pada tahun 1892 di Bukit Chandan Kuala Kangsar.Baginda merupakan kerabat diraja Perak dimana baginda merupakan cucunda Sultan Perak dan Almarhum  Sultan Abdul Aziz adalah ayahanda saudara baginda.Ayahanda baginda ialah YAM Raja Bendahara Raja Abdul Hamid Ibni Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah Rahmatullah.Sementara bonda baginda pula ialah YBhg Che' Zaidah Binti Haji Mat Saman.

Raja Perempuan Taayah merupakan isteri pertama kepada Almarhum DYMM Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahu-lah,Sultan Perak ke 28.Mendirikan masjid bersama Sultan Yussuf pada 7 Mac 1912 di Istana Negara Kuala Kangsar Perak.Baginda berkahwin ketika berusia 20 tahun.Baginda bukanlah bonda kandung kepada DYMM Sultan Azlan Shah.Bonda kandung Sultan Azlan ialah Almarhum YTM Bonda Raja Toh Puan Besar Hatijah Binti Dato Wangsa Ahmad.


Baginda ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perak pada 17 April 1949 di Kuala Kangsar Perak.Baginda menaiki takhta di usia 57 tahun. Baginda menjadi Raja Perempuan hingga ke akhir hayat baginda.Raja Perempuan Taayah mangkat dalam usia 70 tahun pada 18 Februari 1962.Baginda dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan Kuala Kangsar.Raja Perempuan Taayah dimakamkan di sebelah makam ayahanda saudara baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz.Istiadat pemakaman diraja dihadiri oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dan juga Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Putra.

Raja Perempuan Taayah merupakan permaisuri yang disayangi oleh rakyat Perak.Baginda terkenal dengan sikap yang ramah mesra.Baginda boleh bergaul dengan sesiapa sahaja.Baginda dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 7 Februari 1955.Sebagai menghargai sumbangan baginda,kerajaan negeri Perak telah menamakan sebuah sekolah di Perak dengan nama baginda.Sekolah Raja Perempuan Taayah merupakan sebuah sekolah yang amat dikenali di negeri Perak.

Gambar kenangan bersama Sultan Azlan Shah,Almarhum Sultan Yussuf,dan Tuanku Bainun.





Sunday, 18 December 2011

Permaisuri Bertudung...

Seperti yang kita tahu,Permaisuri yang bertudung yang diketahui ramai ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Mantan Tengku Permaisuri Selangor Permaisuri Siti Aishah.Namun terdapat beberapa orang permaisuri yang memakai tudung antaranya Almarhum Tengku Ampuan Bariah yang bertudung setelah bergelar Tengku Ampuan Terengganu.Dua orang lagi adalah permaisuri yang bertakhta bukan pada zaman kita.Mereka ialah Almarhum Tengku Ampuan Jemaah dan Almarhum Raja Perempuan Taayah.Namun,gambar2 rasmi Tengku Ampuan Jemaah tidak menunjukkan baginda memakai tudung.Tapi,dari maklumat yang diperolehi baginda memang memakai tudung.Berikut senarai dan gambar permaisuri yang memakai tudung.

DYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah,D.K.,D.M.N.,D.K.(Kedah),S.S.M.Z.,S.S.M.T.,Grand Cordon Of Chula Chom Kalo (Tahiland).



Diputerikan pada 07 Disember 1973 di Kedah sebagai Cik Rozita bt Adil Bakeri. Berkahwin dengan DYMM Tuanku Mizan pada 28 Mac 1996. Pada waktu ini Tuanku Mizan adalah Yang DiPertuan Muda Terengganu. Dimasyhurkan sebagai Permaisuri Terengganu pada 12 Julai 1998 dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Nur Zahirah, Permaisuri Terengganu. Walau bagaimanapun gelaran berkenaan telah ditukar kepada gelaran yang baru pada 05 Jun 2006 dan Baginda menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.


YAM Pemaisuri Hajah Siti Aishah Binti Abdul Rahman,D.K.,D.M.N.,D.A.(Sarawak),Grand Cordon Of Chula Chom Klao (Thailand).



 
Diputerikan pada 18 November 1971 di Kuala Lumpur sebagi Siti Aishah bt Abdul Rahman. Selepas berkahwin dengan Sultan Selangor, DYMM Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj pada 03 Mei 1990 dalam usia 19 tahun, Baginda menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia Che Puan Besar Selangor Siti Aishah. Pada 24 Oktober 1998 Baginda telah dilantik sebagai Tengku Permaisuri Selangor dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Siti Aishah dalam satu istiadat perlantikan yang diadakan di Balai Rongseri Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Pada 26 April 1999 dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong X1, Tuanku Siti Aishah. Walau bagaimanapun Baginda tidak dapat menghabiskan tempoh lima tahun sebagai Raja Permaisuri Agong kerana Suaminya, DYMM Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj mangkat pada 21 November 2001. Baginda sempat menjadi Raja Permaisuri Agong selama tempoh dua tahun enam bulan sahaja.


Almarhum YMM Tengku Ampuan Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj,D.K.,S.S.M.T.,S.P.M.T.,D.K.1.,D.K.11.(Selangor).


Diputerikan pada 31 Ogos 1933 di Istana Besar Klang SelangorBertemu jodoh dengan DYMM Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin pada 22 Mac 1951 ketika baginda berusia 18 tahun.Namun perkahwinan baginda berdua tidak dikurniakan zuriatTiga tahun selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud,Tengku Ampuan Bariah telah dikurniakan gelaran YTM Tengku Puan Muda Terengganu pada tarikh 7 April 1954.Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Ismail pada 1979,Sultan Mahmud ditabalkan sebagai Sultan Terengganu yang baru.Adat istiadat pertabalan Tengku Ampuan Bariah sebagai DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu telah disempurnakan  pada 20 September 1979.Baginda menduduki takhta Terengganu selama lebih kurang 19 tahun sehinggalah kemangkatan Almarhum Sultan Mahmud pada tahun 1998.


 Almarhum Tengku Ampuan Selangor Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad,D.K.


Tengku Ampuan Jemaah diputerikan pada tahun 1900 di Bandar Temasha Kuala Langat.SelangorPada tahun 1920,ketika baginda berusia 20 tahun,Tengku Ampuan Jemaah telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Alaedin Sulaiman Shah.Ketika itu Sultan Hisamuddin merupakan pengiring diraja kepada Sultan Alaedin.Tengku Ampuan Jemaah ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Selangor pada tarikh 26 Januari 1939 ketika baginda berusia 39 tahun.Namun suami baginda diturunkan takhta pada zaman pendudukan Jepun.Jawatan baginda diambil alaih oleh Permaisuri Sharifah Mastura.Namun,setelah British kembali,Takhta Selangor telah dikembalikan kepada baginda berdua.Baginda menduduki takhta kerajaan Selangor sebagai Tengku Ampuan selama lebih kurang 17 tahun.



Almarhum DYMM Raja Perempuan Taayah Binti Almarhum Raja Abdul Hamid.



Raja Perempuan Taayah diputerikan pada tahun 1892.Mendirikan rumah tangga dengan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin pada 21 Mac 1912 ketika usia 20 tahun.Menjadi Raja Perempuan Perak sehingga kemangkatan baginda pada 18 Februari 1962.Merupakan Permaisuri terawal yang memakai tudung semasa menjalankan tugas sebagai Raja Perempuan.

Sebagai tambahan,saya selitkan juga senarai Puteri-Puteri Raja yang memakai tudung dengan sempurna.Antaranya Tengku Puteri Utama Perlis,Tengku Puan Pahang dan lain-lain lagi.

YAM Tengku Puteri Utama Perlis Dato' Seri Diraja Sharifah Salwa Binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, S.S.P.J., S.P.M.P.

YAM Tengku Puteri Mahkota Perlis Dato' Seri Sharifah Fazira Binti Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, S.P.M.P.

YAM  Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

YAM Tunku Deborah Binti Almarhum Tuanku Munawir,D.K.Y.R.

DYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar,D.K.(Pahang),D.K.(Johor),S.P.M.J. 

YAM Tengku Amalin Aishah Putri Binti Sultan Ismail Petra.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Friday, 16 December 2011

Pemaisuri Agong Ke 4 Dari Kalangan Rakyat Biasa..

Negara kita baru sahaja mendapat Ketua Utama Negara yang baru iaitu Sultan dan Sultanah Kedah Darul Aman.Jawatan Raja Permaisuri Agong bukanlah secara lantikan tetapi secara automatik diisi oleh permaisuri kepada Sultan yang dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong.Setakat ini negara kita sudah mempunyai 14 orang Raja Permaisuri Agong.6 orang daripadanya telah mangkat.Yang lain-lain ada yang masih bertakhta sebagai permaisuri negeri dan ada yang bergelar balu kepada Sultan.

Seperti yang kita tahu,permaisuri-permaisuri adalah dari kalangan mereka yang berasal dari keluarga diraja.Semenjak tahun 1957 sehingga 1989,kesemua Raja Permaisuri Agong yang bertakhta merupakan kerabat diraja dan disebut sebagai Permaisuri Gahara.Ada diantara mereka terdiri daripada puteri Sultan dan juga puteri kepada kerabat diraja yang terdekat.Namun,pada tahun 1989,apabila Sultan Azlan Shah menaiki takhta kerajaan Malaysia,satu sejarah dicipta kerana Permaisuri baginda,Tuanku Bainun berasal dari golongan kebanyakan.Inilah kali pertama Malaysia mempunyai Permaisuri Agong dari Permaisuri yang bukan berdarah Raja.Pada masa ini juga,Gendik Diraja dibuat baru kerana Gendik yang dipakai oleh Permaisuri Gahara tidak sama dengan Gendik yang dipakai oleh Permaisuri Kebanyakan.Dan selepas Tuanku Bainun,ada tiga lagi Permaisuri Agong daripada golongan kebanyakan iaitu Tuanku Siti Aishah,Tuanku Nur Zahirah dan terbaru Sultanah Haminah Hamidun.

DYMM Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali.

Dilahirkan pada 1932 di Penang.
Raja Permaisuri Perak (1984- sekarang).
Raja Permaisuri Agong (1989-1994).

YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Abdul Rahman.

Dilahirkan pada tahun 1971 di Kuala Lumpur.
Tengku Permaisuri Selangor (1994-2001)
Raja Permaisuri Agong (1999-2001).

DYMM Tuanku Nur Zahirah Binti Adil Bakeri.

Dilahirkan pada tahun 1973 di Kedah.
Sultanah Terengganu (1998-sekarang).
Raja Permaisuri Agong (2006-2011).

DYMM Sultanah Haminah Binti Haji Hamidun.


Dilahirkan pada tahun 1953 di Perak.
Sultanah Kedah (2003-sekarang).
Raja Permaisuri Agong (2011-2015).

Tuesday, 13 December 2011

Istiadat Keberangkatan Tiba dan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Yang Dipertuan Agong ke 14..


Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 14.



Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri  Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.
Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lalu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Di Kuala Lumpur, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur  pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.




Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14.

 
Sultan Kedah,Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mengangkat sumpah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14 di dalam majlis penuh adat istiadat di Istana Negara Jalan Duta.Ini merupakan kali kedua baginda dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong.Kali pertama adalah pada 21 Januari 1970 sehingga 20 September 1975 ketika berusia 43 tahun.Ini menjadikan baginda sebagai antara Raja Melayu paling muda menjadi Yang Dipertuan Agong.Tuanku Abdul Halim dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menaiki takhta persekutuan buat kali kedua pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang diadakan pada 12 Oktober 2011.Baginda yang berusia 84 tahun menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 12 Disember lepas.

Istimewanya,Istiadat kali ini diadakan di Istana Negara yang baru sahaja beroperasi sebulan lepas.Istiadat Melafaz Sumpah ini dimulakan pada pukul 11.15 pagi.Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang ke 227 untuk Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan ini diadakan di Balairongseri Istana Negara.Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Istiadat bermula apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mempersembahkan dokumen surat sumpah kepada Tuanku Abdul Halim.Baginda kemudiannya membaca lafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah itu di hadapan Raja-Raja Melayu yang lain.Dua orang saksi yang terdiri daripada Raja Melayu adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah.Istiadat diteruskan dengan lafaz sumpah Timbalan Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad Ke 5.Sejurus selepas itu doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.Kemudian Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memohon perkenan Raja-Raja untuk menangguhkan Mesyuarat ke tarikh yang akan diberitahu.




Istiadat diteruskan dengan menandatangani surat pengisytiharan Yang Dipertuan Agong ke 14 yang kemudiannya dibacakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak.Diteruskan dengan menandatangani surat pengisytiharan Timbalan Yang Dipertuan Agong.Istiadat kali ini dihadiri oleh kesemua Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah.Turut hadir Yang Dipertua Negeri.Turut berangkat dalam Istiadat itu ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra juga kerabat Diraja Kedah dan Kelantan.Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wah Zahidi Wan Teh.




Berikut ialah pengisytiharan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini:

"Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-raja:


Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.


Maka oleh yang demikian Beta, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, dengan ini mengisytiharkan bahawa Beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.


Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di Ibu Negara Beta di Kuala Lumpur pada tiga belas haribulan Disember dalam tahun dua ribu sebelas."




 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...