Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 27 July 2014

Salam Aidilfitri 1435 Hijrah.

Assalamualaikum wbt. Blog warisanpermaisuri.blogspot dan Amirul Izwan Bin Lehuddin selaku admin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Aidilfitri Minal Aidil Wal Faidzin khas kepada pengunjung warisanpermaisuri.blogspot dan seluruh umat Islam. Semoga segala amal ibadat kita sepanjang bulan Ramadan diterima Allah SWT. Segala kekhilafan dan kekurangan didahului dengan ucapan jutaan maaf. 

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN. 


Wednesday, 9 July 2014

Tengku Hajah Azam Mangkat..


Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Tengku Hajah Azam Binti Almarhum Tengku Umar, AMN,PJK telah mangkat pada pukul 6.35 pagi di Hospital Gleneagles Intan Ampang. Almarhum mangkat pada usia 92 tahun. Almarhum merupakan balu kepada Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah dan merupakan bonda tiri kepada KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah. 

Almarhum Tengku Hajah Azam diputerikan pada tahun 1922 di Pekan Pahang. Almarhum merupakan anakanda kepada Yang Amat Mulia Tengku Setia Diraja Tengku Umar Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah dan isterinya YM Che Engku Umaiyah Binti Tun Mansur. Almarhum merupakan adinda kepada Almarhum Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Umar yang merupakan nenda kepada KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Bersama Almarhum suami.

Almarhum Tengku Hajah Azam mendirikan rumah tangga dengan Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai isteri ketiga pada tahun 1938 di Pekan Lama ketika berusia 16 tahun. Almarhum mempunyai 13 orang cahaya mata, 6 putera dan 7 puteri. 

Jenazah Almarhum Tengku Hajah Azam akan dimakamkan di Makam Diraja Pekan Lama,Pekan Pahang pada selepas solat Asar hari Rabu, 9 Julai 2014. Al Fatihah untuk Almarhum. Setinggi-tinggi ucapan takziah buat seluruh keluarga Diraja Pahang Darul Makmur.

Tengku Azam(dua dari kanan) bersama Almarhum Tengku Budriah,Almarhum Tengku Ampuan Jemaah dan isteri Sultan Brunei.

Tuesday, 8 July 2014

Kemangkatan 2 Orang Kerabat DiRaja Johor..

Keluarga DiRaja Johor menerima berita sedih apabila dua orang kerabat DiRaja Johor mangkat baru-baru ini. Pertamanya adalah kemangkatan Yang Amat Mulia Tunku Miriam Binti Almarhum Sultan Ibrahim Al Mahsyur. Beliau merupakan puteri bongsu kepada Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor Moden ke 2 dengan Almarhum Sultanah Marcella. Almarhum mangkat pada 4 Julai 2014 pada usia 64 tahun di Florida, Amerika Syarikat. Almarhum adalah nenda saudara kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.


Diatas takhta negeri Johor bersama ayahanda dan bonda.


Keduanya adalah kemangkatan Yang Berhormat Mulia Tunku Tan Sri Osman Ibni Almarhum Tunku Temenggong Ahmad. Almarhum mangkat pada usia 82 tahun pada 6 Julai 2014. Almarhum merupakan suami kepada Almarhum Tunku Tun Maimunah Binti Almarhum Sultan Ismail yang telah mangkat 2 tahun lepas. Almarhum merupakan ayahanada saudara kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Almarhum juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Jumaah DiRaja Johor. Almarhum mangkat di Hospital Pakar Johor akibat sakit tua. Jenazah Almarhum dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah Johor Bahru.


Bersama keluarga.

Jenazah dibawa ke Makam Mahmoodiah.

Wednesday, 2 July 2014

Raja Muda, Raja DiHilir Perak Angkat Sumpah..


Istiadat mengangkat sumpah jawatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak telah diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah mengangkat sumpah gelaran di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah. Istiadat diteruskan dengan kedua-dua baginda menandatangani watikah pangkat gelaran dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani. Kedua baginda dilantik mengisi dua jawatan penting takhta kerajaan Perak itu berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Azlan dan perlantikan Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak ke 35.

Baginda berdua dilantik secara rasmi pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke 159 pada 20 Jun 2014. Pada mesyuarat yang pertama kali dipengerusikan oleh Sultan Nazrin itu memutuskan bahawa Raja Jaafar,73 tahun, yang ketika itu Raja DiHilir Perak dinaikkan pangkat ke jawatan Raja Muda manakala Raja Iskandar Zulkarnain,59 sebagai Raja Kechil Besar dinaikkan ke pangkat Raja DiHilir Perak.

Pada awal istiadat, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral(B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin mengishtiharkan perlantikan pangkat gelaran Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris.

Kemudian, Orang Kaya Maharaja Seri Bendahara mengishtiharkan kurniaan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak kepada isteri Raja Jaafar, Raja Nor Mahani Almarhum Raja Shahar Shah dan gelaran Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda kepada isteri Raja Iskandar Dzulkarnain, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim. Sultan Perak kemudiannya menyampaikan watikah kurniaan gelaran kepada Raja Nor Mahani dan Tunku Soraya.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...