Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 28 February 2017

YMM Raja Salman Terima Ijazah Kehormat Persuratan Dari Universiti Malaya.

Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah.

Bersempena lawatan rasmi Yang Maha Mulia Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia, Universiti Malaya menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan. Ijazah kehormat berkenaan disampaikan oleh Canselor Universiti Malaya, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah dalam satu Istiadat Konvokesyen Khas di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Dalam konvokesyen khas tersebut, kesemua Pro Canselor Universiti Malaya hadir iaitu YABhg Toh Puan Dato' Seri Dr Aishah Ong, YBhg Tan Sri Dato' Seri Siti Norma Yaacob dan YBhg Tan Sri Dato' Seri Diraja Ramli Ngah Talib. Turur hadir, Menteri Pendidikan YB Dato' Seri Idris Jusoh. Penganugerahan Ijazah Kehormat ini merupakan pengiktirafan tertinggi oleh Universiti Malaya untuk diberikan kepada Raja Salman atas sumbangan baginda sebagai seorang pemimpin yang inovatif yang membawa pembaharuan sepanjang dua tahun bertakhta sebagai Raja Arab Saudi. 

Sultan Nazrin menyampaikan Ijazah Kehormat Persuratan.

Raja Salman bertitah menyeru supaya universiti dan pusat penyelidikan di negara Islam supaya menyahut segala cabaran dalam bidang ilmu dan teknikal dengan menghasilkan kerja yang boleh menyumbang kepada pembinaan tamadun Islam. Titah baginda lagi, universiti adalah pusat pembinaan sesebuah negara dan bangsa yang mempunyai misi untuk merealisasikan pembangunan dalam pelbagai bidang secara menyeluruh. Universiti berperanan untuk memperkukuh perpaduan nasional, memperkasa budaya, nilai toleransi dan keharmonian hidup pelbagai bangsa. Tambah baginda, perpaduan nasional yang dipupuk penting untuk merealisasikan keamanan dan kedamaian di peringkat antarabangsa hingga masyarakat antabangsa keseluruhannya dapat menikmati kesejahteraan dan keselesaan.



Raja Salman menyampaikan titah diraja.

Istiadat Mengadap dan Santapan Negara serta Penganugerahan Darjah Kebesaran Untuk Raja Salman.

ISTIADAT MENGADAP DAN SANTAPAN NEGARA DI ISTANA NEGARA.

Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud
D.M.N.(Malaysia)
Pemerintah Arab Saudi
Penjaga Dua Masjid Suci.


Sempena meraikan keberangkatan tiba Yang Maha Mulia Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan untuk mengadakan Santapan Negara di Istana Negara. Istiadat ini dihadiri oleh YAB Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri, YAB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi serta YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi dan YABhg Tun Jeanne Abdullah. Turut hadir jemaah menteri, tetamu kenamaan serta delegasi Arab Saudi. Dalam titah Seri Paduka yang mengalu-alukan keberangkatan Raja Salman ke Malaysia, baginda menggesa Malaysia dan Arab Saudi selaku ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bekerjasama untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Tambah baginda lagi, Kuala Lumpur dan Riyadh berkongsi pendirian yang sama berhubung keperluan untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang menjejaskan ummah. Dalam titah baginda, Seri Paduka juga menyetuh soal kouta haji jemaah dari Malaysia dan hubungan dagang antara Malaysia dan Arab Saudi. Baginda juga menyatakan hasrat baginda untuk membuat lawatan negara ke Arab Saudi pula.

Sultan Muhammad V dan Raja Salman berangkat ke Istana Negara.

Sebagai titah balas, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud bertitah bahawa Riyadh sentiasa menyokong inisiatif Kuala Lumpur dalam membantu umat Islam yang lain. Baginda menyampaikan titah dalam bahasa Arab yang kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Tambah Raja Salman lagi, baginda berbesar hati dan berbangga dengan kemajuan dan kerjasama yang dicapai dalam semua bidang antara Arab Saudi dan Malaysia. Baginda turut menyampaikan setinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia atas sambutan meriah dan layanan mesra yang diberikan. 



Raja Salman menyampaikan titah.

Seri Paduka Sultan Muhammad V menyampaikan titah.

Dato' Seri Najib, Raja Salman, Dr.Fathul Bari(penterjemah), Sultan Muhammad V, Datin Seri Rosmah dan Tun Abdullah.

Sultan Muhammad V menunjukkan cenderahati kepada Raja Salman.

Perbualan antara Raja Salman dan Sultan Muhammad V melalui penterjemah Dr. Fathul Bari.

Dua orang Raja Pemerintah.


PENYAMPAIAN DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.).


Sebelum Istiadat Santapan Negara bermula, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan untuk mengurniakan Darjah Utama Seri Mohkota Negara (D.M.N.) kepada Yang Maha Mulia Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. Anugerah ini disampaikan dalam satu istiadat khas di Istana Negara. D.M.N. merupakan darjah kebesaran diraja yang dikurniakan kepada Raja-Raja atau Pemimpin Negara Luar yang membuat lawatan ke Malaysia. 




Monday 27 February 2017

Sambutan Negara Buat Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

KEBERANGKATAN TIBA YMM RAJA SALMAN ABDUL AZIZ AL-SAUD.


Yang Maha Mulia Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud tiba di Malaysia pada 26 Februari 2017 untuk lawatan rasmi selama 4 hari. Baginda yang juga merupakan Penjaga Dua Masjid Suci tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.30 pagi. Baginda berangkat menaiki pesawat rasmi baginda bersama kira-kira 600 kerabat diraja dan delegasi baginda. Keberangkatan tiba Raja Salman disambut oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein. Delegasi baginda termasuk para kerabat diraja, menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan. Terlihat kemewahan Raja Arab Saudi itu apabila baginda membawa eskalator khas untuk menuruni pesawat. Ini adalah kelaziman baginda untuk membawa segala jenis kelengkapan untuk keselesaan baginda apabila membuat lawatan rasmi. Kesemua kelengkapan ini dibawa oleh pesawat superjumbo Saudi Arabian Airlines. Selain itu baginda juga membawa 100 kenderaan mewah untuk kegunaan delegasi baginda. 


Raja Salman seterusnya membuat pemeriksaan kawalan kehormatan terhadap 24 orang pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Akmal Mazlan. Ini merupakan kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia selepas baginda menaiki takhta Arab Saudi pada 23 Januari 2015. Baginda menggantikan kekanda baginda, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud yang mangkat. Kunjungan baginda ke Malaysia adalah atas undangan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Baginda yang merupakan pemerintah ke 7 keturunan Al-Saud merupakan Raja Arab Saudi ketiga yang membuat lawatan ke Malaysia. Pertama kali Raja Arab Saudi melawat Malaysia adalah pada tahun 1970 oleh Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud. Kemudian pada tahun 2006, Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pula melawat Malaysia. 


SAMBUTAN NEGARA DI DATARAN PARLIMEN.


Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kemudian dibawa ke Parlimen untuk diberi Sambutan Negara dan untuk bertemu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Baginda dan rombongan tiba di Dataran Parlimen pada pukul 11.50 pagi dan disambut oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhamamd V. Istiadat Sambutan Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan oleh Pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Selesai lagu kebangsaan dimainkan, tembakan meriam 21 das menyusul. Raja Salman kemudiannya memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Azlan Shah Baharom. Selesai pemeriksaan kawalan kehormatan, Baginda serta rombongan kemudian diperkenalkan dengan anggota Jemaah Menteri dan wakil diplomat asing di Malaysia. Baginda serta rombongan akan berada selama 4 hari di Malaysia sehingga1 Mac dalam rangka lawatan baginda ke rantau Asia Tenggara. 

Sultan Muhammad V bersalaman dengan Raja Salman.


Raja Salman mengangkat tabik hormat ketika lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan.

Raja Salman memeriksa barisan kawalan kehormat.

Mengangkat tabik hormat kepada barisan kawalan kehormat.

Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang berusia 81 tahun.

Monday 20 February 2017

Kemangkatan Bonda Raja Tonga.

Her Majesty Queen Halaevalu Mata'aho
The Queen Mother of Tonga,
K.G.C.C.P., K.G.C.C.C.T., K.G.C.Q
S., D.K.G.T.R.F.O., R.T.R.C.M., Queen Elizabeth II Coronation Medal,  Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal(United Kingdom), Grand Cross Special Class of the Order of Propitious Cloud(Taiwan), Grand Cross of the Order of Merit Special Class(Republic of Germany), Dame Grand Cordon of the Order of Precious Crown(Japan).

Queen Mata'aho ketika muda.

Dukacita dimaklumkan bahawa Bonda kepada Raja Tonga iaitu Queen Mother Halaevalu Mata'aho telah mangkat pada 19 Februari 2017 pada usia 91 tahun. Baginda mangkat di Hospital Auckland, New Zealand. Baginda merupakan bonda kepada Raja Tonga King Tupou VI. Baginda merupakan Permaisuri Tonga bermula tahun 1965 hingga 2006. 


Diputerikan pada 29 Mei 1926 di Tonga. Baginda mendirikan rumah tangga dengan putera kepada Ratu Tonga Queen Saote Tupou III iaitu Siaosi Taufa'ahau Tupoulahi pada tahun 1947. Bonda mertua baginda Queen Saote Tupou III mangkat pada tahun 1965. Maka suami baginda menaiki tahta Tonga pada tahun 1965 dengan bergelar King Taufa'ahau Tupou IV. Baginda menjadi Permaisuri Tonga dengan bergelar Queen Halaevalu Mata'aho.

Ketika ditabalkan pada tahun 1967.

King Tupou VI mangkat pada tahun 2006 setelah 41 tahun memerintah Tonga. Putera sulung baginda menggantikan ayahandanya sebagai Raja Tonga dengan gelaran King George Tupou V. Kemudian King George Tupou V mangkat pada 18 Mac 2012. Raja Tonga sekarang ialah putera kedua baginda iaitu King Tupou VI. Semenjak tahun 2006 baginda bergelar Her Majesty Queen Mother of Tonga sehinggalah kemangkatan baginda pada 19 Februari lepas. Baginda meninggalkan seorang putera iaitu Raja Tonga serta dua puteri serta 11 cucu dan beberapa orang cicit.


Tuesday 14 February 2017

Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan Shah 2009

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Ke 34 Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah telah menyambut Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan sebagai Sultan Perak pada 3 Februari 2009. Baginda menitahkan bahawa sambutan ini diadakan secara sederhan sahaja. Sambutan Jubli Perak ini dimulakan pada 2 Februari 2009 dengan majlis kesyukuran dan bacaan Yassin di Masjid Ubudiah. Seterusnya pada pagi 3 Februari 2009 diadakan istiadat kawalan kehormatan di perkarangan Istana Iskandariah. Selepas itu pada hari yang sama diadakan juga Istiadat Persembahan Taat Setia dan Ucapan Tahniah serta Pengurniaan Khas Darjah Kebesaran Azlanii di Balairong Seri Istana Iskandariah. Istiadat Santapan Diraja diadakan pada 14 Februari 2009 di Dewan Santapan Istana Iskandariah. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta Raja-Raja Melayu dan Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat Santapan ini. Turut berangkat Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Terdapat beberapa aktiviti lagi disusun sempena sambutan ini. Kesemua perbelanjaan sempena Sambutan Jubli Perak ini ditanggung oleh keluarga diraja Perak disebabkan baginda tidak mahu membebankan kerajaan negeri.

Istiadat Persembahan Taat Setia dan Ucapan Tahniah Serta Penganugerahan Darjah Kebesaran Khas Sempena Sambutan Jubli Perak Sultan Azlan Shah.

Bersempena dengan sambutan Jubli Perak Sultan Azlan Shah, baginda berkenan mengurniakan Darjah Dato Seri Azlanii kepada 25 penerima. Darjah Kebesaran Khas ini hanya dikurniakan sekali sahaja dan membawa gelaran Dato Seri. Mengetuai senarai ialah YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan. Antara penerima lain ialah Bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar, Mufti Perak Dato Seri Harussani Zakaria, Bekas Panglima Tentera Darat Jen(B) Tan Sri 
Zahidi Zainuddin dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Abdul Shukor Abdullah. 

Penerima lain terdiri daripada Datuk Seri Annuar Zaini, Tan Sri Robaayah Zambahari, Datuk Seri S Sinadurai dan adinda ipar Sultan Azlan, Datuk Seri Kamarulzaman Mohd Ali dan Datuk Seri Zulkifli Mohd Ali.

Keberangkatan masuk ke Balairong Seri.


Sultan Azlan Shah, Tuanku Bainun diiringi oleh Raja Nazrin dan Tuanku Zara.


Sultan Azlan Shah dan Tuanku Bainun.


Paduka Seri Sultan Azlan Shah menyampaikan titah diraja.

DYTM Raja Nazrin Shah menyampaikan ucapan tahniah mewakili Raja-Raja, kerabat diraja dan pembesar negeri.

Kekanda Sultan Azlan Shah, Almarhum Raja Dato Seri Baharum dan menantu Sultan Azlan Shah.

Almarhum YTM Raja Dato Seri Ashman Shah.

Istiadat Santapan Diraja Sempena Sambutan Jubli Perak Sultan Azlan Shah.

Keberangkatan tiba Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah disambut oleh Sultan Azlan Shah dan Tuanku Bainun.

Tetamu diraja :
Berdiri dari kiri: Tuanku Syed Faizzuddin, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Raja Dr Nazrin Shah, Tun AhmadShah Abdullah, Tun Abang Sallehuddin, Sultan Ismail Petra, Sultan Abdul Halim, Tuanku Mizan, Sultan Azlan Shah, Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Ahmad Shah, Sultan Sharafuddin, Tun Abdul Rahman Abbas, Tun Khalil Yaakob, Raja Jaafar, Dato Seri Najib, Tunku Ibrahim Ismail dan Tengku Baderulzaman. 
Duduk dari kiri : Tuanku Lailatul, Tun Jeanne Abdullah, Raja Perempuan Muzwin, Tuanku Zara, Toh Puan Dayang Masuyah, Tengku Anis, Sultanah Haminah, Tuanku Nur Zahirah, Tuanku Bainun, Raja Isteri Saleha, Raja Isteri Azrinaz, Toh Puan Majimor, Toh Puan Zurina, Raja Nor Mahani, Datin Seri Rosmah, Raja Zarith Sofiah dan Toh Puan Wan Hidayah.

Sultan Azlan Shah bersama dengan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sultan Azlan Shah bersalaman dengan Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...