Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 3 June 2014

Almarhumah Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.



Almarhum Sultanah Kedah Sultanah Asma Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dilahirkan sebagai Yang Mulia Tengku Asma Binti Tengku Sulaiman pada tanggal 25 Oktober 1917 di Kuala Terengganu. Baginda merupakan puteri sulung kepada pasangan Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Ibni Sultan Zainal Abidin III Al Muazzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Hajah Mariam Binti Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah. Kedua nenda Sultanah Asma merupakan Sultan Terengganu dan Sultan Pahang. Ayahanda baginda menaiki takhta negeri Terengganu Darul Iman pada 20 Mei 1920 dan ditabalkan pada 3 Mac 1921 dengan memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Manakala bonda baginda memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Mariam Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah

Tunku Abdul Halim mencium tangan Sultanah Asma semasa Istiadat Perkahwinan baginda.

Sultanah Asma merupakan anakanda ke 3 daripada 10 adik beradik. Kekanda sulung baginda Sultan Ali pernah menaiki takhta Terengganu semasa penjajahan Jepun bermula 1942 hingga 1945. Namun Sultan Ali diturunkan takhta ketika British merampas kembali pemerintahan Tanah Melayu dan digantikan oleh ayahanda saudara Sultanah Asma iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sultan Ismail merupakan nenda kepada Sultan Terengganu sekarang Sultan Mizan Zainal Abidin. Adinda baginda, Tengku Abdul Rashid merupakan ayahanda kepada Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.



Mendirikan rumah tangga dengan DYTM Raja Muda Kedah Tunku Badlishah Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 31 Oktober 1935 ketika berusia 18 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Terengganu. Baginda merupakan isteri ketiga kepada Tunku Badlishah. Pasangan ini dikurniakan 8 cahaya mata 3 putera dan 5 puteri. Putera-putera baginda terdiri daripada YTM Tunku Annuar, YTM Tunku Mahmud Salehuddin dan YTM Tunku Abdul Hamid Thani. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YTM Tunku Hosnah, YTM Tunku Bisharah, YTM Tunku Badriatuljamal, YTM Tunku Kamaliah dan YTM Tunku Nafisah. Anakanda sulung baginda, Tunku Annuar yang merupakan Tunku Bendahara Kedah telah mangkat pada 21 Mei 2014 di usia 75 tahun. Sultanah Asma merupakan bonda tiri kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Putera kedua baginda, YTM Tunku Sallehuddin telah menaiki takhta negeri Kedah pada tahun 2017 berikutan kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim. Baginda memakai gelaran KDYMM Al- Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. 

Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin,KGMG.


Almarhum Tengku Ampuan Mariam Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah.


Sultanah Asma menaiki takhta negeri Kedah sebagai Sultanah Kedah yang pertama apabila suami baginda dilantik sebagai Sultan Kedah pada 13 Mei 1943. Pertabalan baginda berdua diadakan pada 15 Mei 1943. Suami baginda memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah manakala baginda memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah,D.K.(Kedah),P.S.B. Baginda menjadi Sultanah Kedah selama hampir 15 tahun sehinggalah kemangkatan suami baginda pada 13 Julai 1958. 


Apabila suami baginda mangkat pada 1958, anakanda tiri baginda, Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Sultan Kedah yang baru. Sultanah Asma diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Asma pada 23 Februari 1959 ketika berusia 42 tahun. Tunku Ampuan Asma mangkat pada 13 Mei 1996 ketika berusia 79 tahun di Alor Star Kedah. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kedah. Nama baginda diabadikan di sebuah sekolah di Kedah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma. Al Fatihah buat Almarhum Tunku Ampuan Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

4 comments:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...