Sunday, 29 September 2019

Istiadat Penghormatan Terakhir dan Pemakaman Almarhum Sultan Ismail Petra.

Setelah 9 tahun kegeringan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat di Wad D'Raja, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan. Baginda yang merupakan ayahanda kepada KDYMM Sultan Muhammad V mangkat pada usia 70 tahun. Almarhum yang menaiki takhta negeri Kelantan sebagai Sultan Kelantan Ke-28 pada tahun 1979 setelah kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Namun, akibat faktor kesihatan, pada tahun 2010, baginda digantikan oleh anakanda baginda untuk memerintah negeri Kelantan. 


ISTIADAT PENGHORMATAN TERAKHIR

Jenazah Almarhum dibawa keluar dari Wad D'Raja.

Keberangkatan tiba Agong.


Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong diiringi Tengku Anis.

Sultan Hassanal Bolkiah bersama Agong membacakan doa.


Sultan Abdullah, Tengku Anis dan Tunku Azizah membacakan Yasin.






Dr Tengku Fa-iz Petra, Sultan Abdullah dan Sultan Muhammad V.


Tengku Anis, Tunku Azizah, dan Che Puan Sofie.



Balu Almarhum, Tengku Anis.

Jenazah Almarhum telah dibawa dari Hospital Raja Perempuan Zainab II menuju ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Jenazah Almarhum diletakkan di tengah-tengah balairong seri sambil dikelilingi darjah-darjah kebesaran yang dikurniakan kepada baginda. Balu Almarhum, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid serta kesemua empat orang anakanda Almarhum berangkat sama. KDYMM Sultan Muhammad V, YTM Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra dan YAM Tengku Maharani Puteri Tengku Amalin Aishah Putri. Turut hadir dua orang menantu Almarhum iaitu YM Che Puan Sofie Louis Johansson dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Raja Perempuan Tengku Anis. KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga berangkat ke Istana Balai Besar bagi memberikan penghormatan terakhir. Sultan Hassanal Bolkiah diiringi oleh adinda baginda yang juga merupakan besan kepada Almarhum iaitu DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah. 

Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Muhammad V.






Istiadat Penghormatan terakhir terhadap Almarhum bermula jam 2.00 petang hingga 4.00 petang bagi orang kenamaan dan rakyat jelata. Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir adalah YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, YBM Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Rizam dan YBM Tengku Puan Temenggong Tunku Noor Hayati, kekanda-kekanda Almarhum serta kerabat diraja Kelantan Darul Naim. Selesai Istiadat Penghormatan Terakhir, solat jenazah diadakan dengan diimamkan oleh SS Mufti Kelantan Dato' Mohamad Shukri Mohamad. Solat jenazah diadakan selepas Asar iaitu kira-kira pukul 4.56 petang. Solat jenazah ini disertai oleh KDYMM Sultan Muhammad V, KDYMM Sultan Abdullah, KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah, para kerabat diraja serta kira-kira 1,000 rakyat jelata. 









Selesai solat jenazah, keranda yang berisi jenazah Almarhum dibawa keluar dari Istana Balai Besar untuk dibawa menuju ke Makam D'Raja Langgar. Keranda Almarhum diletakkan di atas pedati khas yang ditarik oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perarakan sejauh 3.4 kilometer menuju ke Makam D'Raja Langgar itu bermula jam 5.00 petang. Sepanjang perjalanan menuju ke Makam D'Raja Langgar, rakyat jelata berbaris di tepi jalan untuk menyaksikan perjalanan terakhir Almarhum. 72 das tembakan meriam kedengaran mengiringi perjalanan terakhir Almarhum. 

ISTIADAT PEMAKAMAN

Kerabat diraja Kelantan.

Tuanku Fauziah, Tengku Anis, Sultan Muhammad V, Sultan Hassanal Bolkiah dan Tuanku Syed Sirajuddin.





Istiadat Pemakaman Almarhum bermula pada jam 6.40 petang apabila jenazah Almarhum sampai ke Makam D'Raja Langgar.  Berangkat ke Istiadat Pemakaman ialah balu Almarhum YMM Raja Perempuan Tengku Anis, KDYMM Sultan Muhammad V, KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin dan DYMM Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah yang juga merupakan sepupu Almarhum. Sejurus sahaja jenazah Almarhum selamat dimakamkan, KDYMM Sultan Muhammad V sendiri yang membacakan talkin untuk Almarhum Ayahanda baginda. Istiadat Pemakaman selesai kira-kira jam 7.20 malam. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas Roh Almarhum Sultan Ismail Petra.

Saturday, 28 September 2019

Berita Kemangkatan DYMM Sultan Ismail Petra.

INNALILLAHI WAINNAILAIHI ROJIUN
AL-FATIHAH

Merafak Sembah Takziah
Kehadapan

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darul Naim Sultan Muhammad V

dan

Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid

serta seluruh kerabat DiRaja Kelantan Darul Naim

DI ATAS KEMANGKATAN

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra,
D.K., D.M.N., D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), D.K.(Johor), D.K.(Kedah), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.M.B.(Brunei), D.P.S.S.(Sarawak), D.P.(Sarawak), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.

11 NOVEMBER 1949 - 28 SEPTEMBER 2019

Dukacita dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, ayahanda kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan juga merupakan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan ke-28 telah mangkat pada jam 8.11 pagi tanggal 28 September 2019 di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan. Berita mengenai kemangkatan Almarhum dibuat oleh YAB Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yaakob. Jenazah Almarhum dibawa dari Hospital Raja Perempuan Zainab II ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan solat jenazah dan dimakamkan di Makam DiRaja Langgar. Berikut merupakan kenyataan media YAB Menteri Besar Kelantan mengenai kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra :

KENYATAAN MEDIA MENGENAI KEMANGKATAN DYMM SULTAN ISMAIL PETRA:

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra yang amat dihormati dan dikasihi telah mangkat pada jam 8.11 pagi hari ini, iaitu hari Sabtu tarikh 28 September 2019 masihi bersamaan dengan 28 Muharram 1441 Hijriah, di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan. Oleh itu, ketahuilah bahawa dengan titah perintah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim adalah ditentukan perkabungan kerana kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra iaitu mulai hari ini, 28 September 2019 bersamaan dengan 28 Muharram 1441 Hijriah dan akan dikebumikan pada hari ini selepas solat Asar. Sekian.

Warisan Raja & Permaisuri Melayu merafak sembah takziah buat seluruh kerabat diraja Kelantan. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.