Saturday, 4 April 2015

Seri Paduka Dalam Keadaan Sihat.


WARISAN PERMAISURI MELAYU merasa sedih dan dukacita atas penyebaran berita palsu kononnya Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sedang gering dan rebah di istana. Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Paduka Mohd Puat Mohd Ali berkata, "Saya merasa dukacita kerana ada pihak tertentu yang berniat jahat dan bersifat jahil telah menyebarkan fitnah bahawa Tuanku gering dan rebah di istana.Berita ini timbul apabila ada permintaan supaya diadakan majlis bacaan Yasin bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Duli Tuanku di Kedah. Majlis bacaan Yasin ini lazim diadakan di Kedah kerana rakyat Kedah menyayangi Duli Tuanku. Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sihat dan tidak gering," katanya ketika ditemui di Alor Star. 

Khabar angin itu tersebar melalui aplikasi Whatsapp sekitar 3 April lepas. 

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata,"Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak sihat...(ini) biasa sahaja. Tidak seteruk yang digembar-gemburkan melalui SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) yang saya tidak pasti dari mana datangnya," katanya kepada pemberita di Kuala Nerang. Mukhriz berkata doa ke atas kesihatan dan kesejahteraan Sultan Kedah adalah perkara biasa yang dilakukan dan sentiasa disyorkan di kalangan rakyat Kedah. "Tapi tak perlu sampai tahap panik, kerana kita mempunyai doktor-doktor yang sentiasa menjaga kesihatan baginda. "Dalam pengetahuan saya, keadaan baginda stabil dan tak membimbangkan," kata Mukhriz ketika mengulas khabar angin tersebar pada Jumaat yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan gering.

Sama-samalah kita doakan semoga Seri Paduka Tuanku berada dalam keadaan sihat sentiasa dan diberi perlindungan oleh Allah S.W.T. Amin.


No comments:

Post a Comment