Sunday, 20 January 2019

YMM Almarhum Tengku Ampuan Besar Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah.



Pasti ramai yang tidak mengenali wajah di atas ini. Baginda merupakan suri kepada Sultan Pahang Ke-4, bonda kepada Sultan Pahang Ke-5 dan nenda kepada Sultan Pahang Ke-6 yang baru dimasyhurkan. Merupakan puteri kepada Sultan Perak yang akhirnya berkahwin dengan Sultan Pahang dan menjadi KDYMM Tengku Ampuan Pahang. Baginda ialah Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah,D.K.(Pahang).


Baginda diputerikan pada tahun 1910 di negeri Perak. Baginda merupakan puteri diraja Perak. Baginda merupakan Puteri sulung kepada DYMM Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah Ibni Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah dan YAM Almarhum Tengku Nong Fatima Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah. Ayahanda baginda merupakan Sultan Perak yang memerintah bermula tahun 1918 hingga 1938. Bonda baginda merupakan puteri kepada Sultan Pahang iaitu DYMM Sultan Sir Ahmad Al-Muazzam Shah Ibni Almarhum Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Ali. Tengku Ampuan Fatimah berdarah diraja Perak sebelah ayahanda baginda dan berdarah diraja Pahang sebelah bondanya. Baginda juga merupakan kekanda kepada DYMM Sultan Perak Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah. 


Pada 23 Mei 1926, baginda telah mendirikan rumah tangga dengan DYMM Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah. Istiadat perkahwinan mereka berdua berlangsung di Istana Merchu Kuala Kangsar. Ketika itu baginda berusia 16 tahun. Baginda dikurniakan 2 orang putera dan 3 orang puteri.Salah seorang daripada anakanda baginda adalah KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muazzam Shah yang merupakan Sultan Pahang Ke-5 .Puteri sulung baginda,YAM Tengku Ainon Jamil pula pernah menjadi Tengku Ampuan Terengganu pada zaman pendudukan Jepun. 




Tengku Ampuan Fatimah dilantik sebagai Tengku Puan Pahang pada 4 Jun 1930 ketia baginda berusia 20 tahun. Pada 28 Mei 1933 baginda telah ditabalkan sebagai DYMM Tengku Ampuan Pahang disamping suami baginda yang ditabalkan sebagai Sultan Pahang. Istiadat Pertabalan diadakan di Istana Sri Terentang Pekan Pahang. Baginda menjadi Tengku Ampuan dalam usia cukup muda iaitu 23 tahun.Menjadi Tengku Ampuan selama 31 tahun sehingga tahun 1974 setelah mangkatnya Almarhum suami baginda. Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar,Tengku Ampuan Fatimah menggunakan gelaran YMM Tengku Ampuan Besar Pahang. Baginda mangkat pada 23 Jun 1988 ketika usia 78 tahun.Baginda mangkat di Istana Indera Puri. Jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Pekan Pahang.



Bersama putera sulung baginda, Sultan Ahmad Shah.

\
Ketika bersemayam sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Baginda ketika muda.

No comments:

Post a Comment