Monday, 9 January 2012

PERSONALITI: Almarhum YMM Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah.


PERSONALITI kali ini akan bercerita tentang Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor,Almarhum Raja Saidatul Ihsan Binti Almarhum Raja Bendahara Tengku Badar Shah,D.K.

Kebanyakan daripada kita langsung tidak mengetahui dan juga mengenali siapakah Raja Saidatul Ihsan ini. Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa wujudnya gelaran Paduka Bonda Raja di negeri Selangor ini. Hal ini adalah kerana Raja Saidatul lebih banyak menghabiskan masa baginda di Istana. Baginda jarang sekali keluar menunjukkan diri baginda di khalayak ramai. Hanya sekali sekala sahaja baginda mengiringi Sultan Selangor ke majlis keraian. Baginda merupakan bonda kandung kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda merupakan seorang yang cantik ketika zaman mudanya.

Raja Saidatul Ihsan diputerikan pada tahun 1923 di Selangor. Baginda merupakan kerabat diraja Selangor di sebelah ayahanda dan kerabat diraja Perak di sebelah bonda baginda. Yang menariknya,kedua-dua orang nenda baginda merupakan Sultan .Ayahanda baginda ialah YAM Raja Bendahara Selangor Tengku Badar Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Manakala bonda baginda pula ialah YAM Raja Ambin Binti Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah. Tengku Badar Shah merupakan kekanda kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah yang juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2.


Baginda telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj yang juga merupakan sepupu baginda. Baginda berdua berkahwin pada tahun 1943 tetapi kemudiannya bercerai. Perkahwinan baginda dikurniakan 9 orang anakanda terdiri daripada 3 putera dan 6 puteri. Putera sulung baginda DYMM Sultan Sharafuddin telah menaiki takhta Selangor setelah kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin semasa menjadi Yang Dipertuan Agong pada tahun 2001. Anakanda baginda yang lain ialah YAM Tengku Laksamana Tengku Sulaiman Shah,YAM Tengku Panglima Besar Tengku Dato Seri Abdul Samad Shah, YAM Tengku Puteri Sofiah, YAM Tengku Puteri Datuk Seri Zahariah, YAM Tengku Puteri Nur Halijah, YAM Tengku Puteri Arafiah,dan YAM Tengku Puteri Aishah. Anakanda sulung baginda,YM Tengku Puteri Nur Halijah Fatimah mangkat ketika berusia 8 bulan pada tahun 1945.



Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah menaiki takhta pada tahun 2001, Raja Saidatul Ihsan selaku bonda kepada Raja Pemerintah telah dikurniakan gelaran Paduka Bonda Raja Selangor. Pada asalnya baginda bergelar Yang Teramat Mulia tetapi Sultan Selangor memperkenankan gelaran Yang Maha Mulia bagi menghormatkan Bonda baginda. Raja Saidatul Ihsan dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama D.K. (Selangor) pada 11 Disember 2002.


Ramai yang tidak mengetahui yang bonda Sultan Selangor masih hidup sehinggalah berita kemangkatan baginda disiarkan. Raja Saidatul Ihsan mangkat di usia 88 tahun di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 1 Jun 2011. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman Klang. Ramai kerabat diraja Selangor dan Perak memberi penghormatan terakhir terhadap baginda.



Bersama anakanda sulung baginda.

No comments:

Post a Comment