Sunday, 5 April 2020

PEWARIS Takhta Negeri-Negeri.


Setiap negara atau negeri yang mempunyai Raja Pemerintah mesti mempunyai pewaris takhta yang akan menjadi pengganti sekiranya seseorang Raja Pemerintah itu mangkat. Kebiasaannya, pewaris takhta yang dipilih adalah berdasarkan keturunan, iaitu putera sulung kepada Raja Pemerintah. Gelaran pewaris takhta ini berbeza mengikut negeri. Gelaran Raja Muda digunakan oleh negeri Perlis, Kedah, Perak dan Selangor. Manakala gelaran Tengku Mahkota digunakan oleh negeri Johor (Tunku Mahkota), Pahang, dan Kelantan. Negeri Terengganu menggunakan gelaran Yang Di-Pertuan Muda. Pewaris takhta bagi Negeri Sembilan pula ada terdiri daripada Putera Yang Empat. Pelantikan pewaris takhta ini adalah hak mutlak Raja Pemerintah. Namun, apabila seseorang Raja Pemerintah itu mangkat, seseorang pewaris takhta itu tidak akan menaiki takhta secara automatik. Setelah kemangkatan Raja Pemerintah tersebut, Majlis Diraja yang berfungsi sebagai penasihat bagi Raja Pemerintah akan bermesyuarat untuk memilih Raja Pemerintah yang baru. Apabila keputusan dibuat, barulah pengganti Raja Pemerintah akan diumumkan sebelum jenazah Raja Pemerintah tersebut dimakamkan. Pewaris takhta juga mempunyai tugas untuk menjalankan fungsi-fungsi Raja Pemerintah apabila seseorang Raja itu berada di luar negara untuk tempoh yang lama ataupun sedang gering. Pewaris takhta juga akan dinamakan sebagai Pemangku Raja apabila seseorang Raja itu dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan bersemayam di atas takhta Persekutun untuk tempoh 5 tahun. Berikut merupakan senarai pewaris takhta negeri-negeri Melayu beraja mengikut susunan kekananan Raja-Raja Melayu.

Pewaris takhta negeri Terengganu Darul Iman:
Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Terengganu Darul Iman Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin,
D.K.R., D.K., S.S.M.Z.
Diputerakan pada 1 Mac 1998 di Hospital Kuala Terengganu. Baginda merupakan putera sulung kepada KDYMM Sultan Terengganu Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu sebelum melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Pada 12 Januari 2006, semasa berusia 8 tahun, baginda dimasyhurkan sebagai Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan menjadi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu paling muda dalam sejarah. Ayahanda baginda Sultan Mizan dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 pada Disember 2006. Maka, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu bermula 12 Disember 2006 hingga 13 Disember 2011. Namun, disebabkan usia baginda yang sangat muda, ayahanda baginda melantik Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk menjalankan fungsi baginda sebagai Pemangku Raja. 


Pewaris takhta negeri Perlis:
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis
 Tuanku Syed Faizzudin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Diputerakan pada 30 Disember 1967 di  Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah. Baginda merupakan putera sulung kepada DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan DYMM Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Mendapat pendidikan awal di SRK Putra dan kemudiannya ke SMK Derma, Kangar. Seterusnya ke Penang Free School sebelum berangkat ke Australia dan belajar di Carey Grammar School, Melbourne. Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada La Trobe University, Melbourne pada tahun 1989. Mendirikan rumah tangga dengan DYTM Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah pada 9 Mei 1994 dan dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri. Apabila ayahanda baginda menaiki takhta pada tahun 2000, baginda dimasyhurkan sebagai DYTM Raja Muda Perlis pada 12 Oktober 2000. Baginda menjadi Pemangku Raja Perlis bermula tahun 2001 hingga 2006 semasa ayahanda baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-12. Sebagai Raja Muda, baginda merpakan Yang Di-Pertuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perlis (MAIPs).  Baginda juga merupakan Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Pewaris takhta negeri Selangor Darul Ehsan:
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
D.K., S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.K.(Kelantan).
Diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat. Baginda merupakan putera tunggal kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan YBhg Cik Puan Nur Lisa Idris Abdullah. Baginda mendapat pendidikan awal di Alice Smith School, Kuala Lumpur. Baginda kemudiannya menlanjutkan pelajaran di Wellington College, United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekologi dan Biologi Persekitaran) pada tahun 2014. Pada tahun 2014, baginda menyertai sekolah kadet tentera di Port Dickson untuk memulakan kerjaya baginda di dalam bidang ketenteraan. Pada tahun 2015, baginda menyertai latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst dan menamatkan latihan pada tahun 2016. Pada 3 Mei 2002, pada usia 12 tahun, baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor. Pertabalan baginda sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor hanya diadakan pada tahun 2016. Pada 8 Oktober 2016, baginda ditabalkan sebagai Raja Muda Selangor di Balairong Seri Istana Alam Shah. Sebagai Raja Muda Selangor baginda memegang jawatan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Baginda juga merupakan penaung diraja bagi Yayasan Raja Muda Selangor dan Chesire Home. Baginda menubuhkan Selangor Youth Community (SAY) untuk memperkasakan lagi belia di negeri Selangor.

Pewaris takhta Negeri Sembilan Darul Khusus:
Putera Yang Empat:

Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz,
D.K.Y.R., S.S.T.M.
Diputerakan pada 26 April 1977 di Hospital Universiti, Petaling Jaya. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Baginda mendapat pendidikan awal di SK Sri Inai dan seterusnya di Alice Smith School. Kemudiannya meneruskan pelajaran di Marlborough College, Wiltshire, United Kingdom sebelum memperoleh Bachelor of Art daripada Christ's College, University of Cambridge pada tahun 1998. Baginda seterusnya melanjutkan pelajaran di John F. Kennedy School of Government di University of Harvard. Baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti pada 23 Februari 2009 selepas ayahanda baginda menaiki takhta sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada Disember 2008. Baginda merupakan Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pengerusi Yayasan Munarah. 


Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Tunku Dato' Seri Utama Naqiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar,
D.K., D.K.Y.R., S.P.N.S., S.P.M.S., S.P.M.P., S.P.T.J., P.J.K., P.P.T., Legion d'Honneur, Ordre du Merite, Palmes Academiques (France)., Order of Gran Cruz De La Orden Bernardo O''Higgins (Chile).
Diputerakan pada 8 Mac 1947 di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Merupakan anakanda kedua dan putera sulung kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin. Mendapat pendidikan di Sekolah Anderson, Ipoh dan Sekolah Tunku Besar, Tampin. Baginda seterusnya bersekolah di Junior King School, Sturry, Kent dan seterusnya di King's School,Canterbury. Baginda melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi di University of Wales, Aberystwyth dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Baginda mendirikan rumah tangga dengan YAM Tunku Dato' Seri Nurul Hayati Tunk Bahador dan dikurniakan dua putera dan dua puteri. Baginda menjadi Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 1994-1999 ketika ayahanda baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-10. Baginda merupakan Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Yang Amat Mulia Tunku Muda Serting Tunku Tan Sri Dato' Seri Utama Imran Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, 
D.K.Y.R., P.S.M., S.P.N.S., A.M.N., P.J.K.

Diputerakan pada 21 Mac 1948 di Istana Hinggap Seremban. Merupakan anakanda ke-3 dan putera kedua kepada DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan DYMM Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Beliau mendapat pendidikan di The King's School, Canterbury, Kent United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran di University of Nottingham, United Kingom dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1970. Beliau mendirikan rumah tangga dengan YM Che Engku Puan Sri Mahirah Abdullah pada tahun 1987 namun telah bercerai pada 2019. Beliau dikurniakan seorang putera. Beliau berkahwin buat kali kedua pada tahun 2013 dengan YM Che Engku Dato' Nora Marzuki. Beliau merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia. 

Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Tunku Dato' Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar,
D.K.Y.R., S.P.T.J.

Diputerakan pada 26 Oktober 1959 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan Putera bongsu kepada Almarhum DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar dan YMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuank Najihah. Mendapat pendidikan di St Paul's Institution dan King George V's School di Seremban. Beliau kemudiannya menyambung pengajiannya di Cheltenhem College di Gloucester dan seterusnya ke University College di London. Beliau juga merupakan pemegang ijazah dari University of Middlesex, Amerika Syarikat.Beliau mendirikan rumahtangga dengan YAM Tunku Dato Seri Mimi Wahida binti Tunku Abdullah Wahman pada 6 November 1997 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Beliau 2 putera dan seorang puteri. 

Pewaris takhta negeri Johor Darul Takzim:
Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Darul Takzim Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim,
D.K., S.P.M.J., S.S.I.J., S.M.J., P.I.S.
Diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru. Baginda merupakan putera sulung kepada DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. Tunku Ismail menerima pendidikan awal di Sekolah Sri Utama dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph di Johor Bahru. Baginda kemudian menerima pendidikan menengah di Sekolah Antarabangsa Australia di Singapura dan meneruskan pengajian di Hale School di Perth, Australia Barat, sehingga 2002. Baginda telah menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A), Dehra Dun, India pada 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004 dan telah ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India selama dua tahun mulai 15 Disember 2004 hingga 14 Disember 2006. Baginda mendirikan rumah tangga dengan YAM Che Puan Khaleeda Bustamam pada 24 Oktober 2014 dan dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri. Dilantik sebagai Raja Muda Johor oleh nenda baginda Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj pada 8 April 2006. Apabila ayahanda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Johor, baginda dimasyhurkan sebagai DYAM Tunku Mahkota Johor pada 26 Januari 2010. 

Pewaris takhta negeri Kelantan Darul Naim:
 Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Darul Naim Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra, 
D.K., S.P.M.K., D.M.K.(Kedah).
Diputerakan pada 20 Januari 1974 di Istana Kota Lama, Kota Bharu. Baginda merupakan putera kedua kepada Almarhum KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan YMM Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid. Baginda mendapat pendidikan awal di SK Sultan Ismail 1 dan seterusnya di Alice Smith School, Kuala Lumpur. Kemudian, baginda berangkat ke London untuk menyambung pelajaran peringkat menengah dan memilih Oakham School Rutland, England sebagai destinasi pengajiannya. Selepas berjaya mendapat 10 GCSE'S dan 3 A-Level, baginda menyambung pengajian di Sekolah Ekonomi London. Baginda telah lulus dengan meraih Ijazah Sarjana Muda Sejarah. Semasa di London, Baginda sempat mendaftar di Universiti Firence untuk mempelajari Bahasa dan Sastera Itali pada peringkat asas dan pertengahan. Baginda telah memilih Kolej Universiti London bagi menyambung pelajaran peringkat Sarjana dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Sejarah Purba. Di universiti dan dalam bidang yang sama juga, baginda telah berjaya pula memperoleh ijazah lanjutan MPHIL.Tidak cukup dengan Ijazah Sarjana, baginda menyambung pelajaran peringkat kedoktoran falsafah pula dalam bidang yang sama. Baginda mendirikan rumah tangga dengan YBhg Cik Puan Sofie Louise Johansson pada 19 April 2019. Baginda dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan memegang gelaran itu sehingga 18 Oktober 2010. Pada 18 Oktober 2010, baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan oleh kekandanya KDYMM Sultan Muhammad V. Pada 8 Disember 2016, baginda dilantik sebagai Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan apabila kekanda baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-15. 


Pewaris takhta negeri Perak Darul Ridzuan:
 Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan
Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa,
D.K., D.K.A., S.P.C.M., J.S.M.
Diputerakan pada 26 September 1941 di Hospital Taiping, Perak. Baginda merupakan putera kepada DYTM Raja Muda Perak Raja Dato' Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz dan YABhg Cik Puan Mariam Binti Abdullah. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Anderson, Ipoh dan Anglo-Chinese School,Teluk Intan. Baginda meneruskan pengajian tinggi di Universiti Malaya dan seterusnya di Cornell University, Amerika Syarikat dan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam. Baginda mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYTM Raja Puan Besar Raja Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah dan dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Baginda berkahwin buat kali kedua dengan Allahyarhamah Che Puan Hazleeza Binti Ishak.Selepas kemangkatan Raja Mahani pada tahun 2017, baginda mendirikan rumah tangga buat kali ke-3 dengan YAM Raja Puan Mahkota Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris pada tahun 2019 dan dikurniakan gelaran DYTM Raja Puan Besar Perak. Pada tahun 1984 hingga 1988, baginda dikurniakan gelaran YTM Raja Kechil Tengah Perak sebelum dinaikkan YTM Raja Kechil Sulong bermula 1988 hingga 1998. Bermula tahun 1998 hingga 2014, baginda bergelar Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak. Pada 20 Jun 2014, baginda dimashyurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak oleh DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizuddin Shah. 

Pewaris takhta negeri Kedah Darul Aman:
Duli Yang Teramat Mulia  Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin,
D.M.K., D.S.D.K.
Diputerakan pada 2 Mac 1967 di Alor Star,Kedah. Baginda merupakan putera sulung kepada KDYMM Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff. Baginda mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi sehingga tahun 1985 sebelum berpindah ke SEA Park Secondary School. Pada tahun 1987, baginda belajar di Kolej Damansara Utama dan pada tahun 1988 baginda berangkat ke United Kingdom untuk belajar di Brunel University, Uxbridge Middlesex dan jurusan undang-undang dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Baginda kemudiannya belajar di Holborn College, United Kingdom. Baginda diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1994. Mendirikan rumah tangga dengan DYTM Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohd Ariff pada 27 Februari 2003 dan dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Pada Januari 2017, baginda dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah oleh ayahanda saudara baginda Almarhum KDYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Pada 26 November 2017, baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah apabila ayahanda baginda menjadi KDYMM Sultan Kedah selepas kemangkatan Sultan Abdul Halim pada September 2017. Sebagai Raja Muda Kedah, baginda dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).


Pewaris takhta negeri Pahang Darul Makmur:
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Darul Makmur Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,
D.K., S.S.A.P.
Diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Baginda merupakan putera sulung kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sherburne, United Kingdom bermula tahun 2002 hingga 2007 sebelum melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah St Thomas pada 2008 hingga 2012 dan University of Nottingham selepas itu. Pada Mei 2018, Tengku Hassanal tamat pengajian dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland dengan ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa. Baginda juga menjalani latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom. Pada 18 Jun 2018, baginda dikurnia gelaran YAM Tengku Panglima Besar Pahang oleh nendanya Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Berikutan pemasyhuran ayahanda baginda sebagai Sultan Pahang, baginda dimasyhurkan sebagai KDYTM Tengku Mahkota Pahang pada 29 Januari 2019. Baginda juga dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang berikutan pemilihan ayahanda baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.


24 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. pewaris takhta negeri 9 bukan hanya tunku ali sahaja..pewaris takhta negri 9 terdiri drpd 4 orang putera yg dinamakan "Putera Yang Empat" terdiri daripada Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin,Tunku Laxmana Tunku Naqiuddin,Tunku Muda Serting Tunku Imran dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin...
    Gelaran bagi Tengku Mahkpta Kelantan bukan DYTM tetapi YTM Tengku Mahkota Kelantan..

    Harap dapat betolkan..^^,

    ReplyDelete
  3. OHHH...ye ke..maknanya pewaris takhta negeri sembilan ada 4 orang la..
    Tengku Mahkota Kelate tak dpt Duli lg ke..hehehe
    anyway....thanks..:)

    ReplyDelete
  4. yes...pewaris takhta negri 9 ada 4 org...tp hanya sorang saje yg akan ditabal mnjadi Yang Dipertuan Besar..
    bekenaan dgn Tg Mahkota Klatan..setakat nie baginda digelar YTM, in fact Sultan Muhammad V swaktu begelar Tg Mahkota pom digelar YTM Tg Mahkota Kelantan

    ReplyDelete
  5. Raja Muda Perlis is Tuanku Syed Faizzudin Jamalullai Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai,,
    "Sirajudin" tertinggal..Syed Putra is nenda baginda, Almarhum Tuanku Syed Harun Putra, mostly known as Tuanku Syed Putra

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nama raja muda perlis ialah Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Tak ada Jamalullail pada nama Tuanku Faizuddin.

      Boleh rujuk https://www.perlis.gov.my/dymm2/portal/index.php/ms/info-diraja/dytm-tuanku-raja-muda-perlis

      Delete
  6. dr tengku muhammad faez petra ibni sultan ismail petra. ambo org kelantan.. x sedap dengar.. mohon diperbetulkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ikut kekanan gelaran, title Dr tu sepatutnya berada selepas Tengku kerana gelaran Tengku tu lebih tinggi dari Dr. Even kalau kerabat yg mempunyai pangkat dato @ dato seri sekali pun haruslah meletakkan namanya sebagai Tengku Dato Seri Dr. Dalam kes nama YTM Tengku Mahkota Kelantan, nama baginda boleh disebut sebagai YTM Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra.

      Delete
  7. terima kasih saudara Nazrie di atas teguran saudara.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum saya dari Indonesia
    Mohon penjelasannya.. apakah keturunan
    Dari pihak perempuan bisa juga mendapat kan gelar'

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam. Kalau dari pihak perempuan juga ada gelarannya. Sebagai contoh anakanda raja pemerintah samada lelaki atau perempuan akan mendapat gelaran YAM (Yang Amat Mulia) kecuali pewaris takhta yang akan menggunakan gelaran yang sesuai dengan gelaran negeri baginda.

      Delete
    2. CruzOHiggins

      Delete
  9. Assalamualaikum apakah pernah ada yang naik tahta dari keturunan Raja Abdullah dan putri saadong ( mariam )

    ReplyDelete
  10. Mohon pencerahan antara DYTM dgn DYAM mne lebih teratas kekananan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tak silap DYTM,DYAM dan KDYTM adalah satu gelaran untuk pewaris takhta dalam sesebuah negeri. Contoh Perak,Kedah,Selangor,Terengganu,Perlis menggunakan DYTM utk Raja Muda, Johor menggunakan DYAM untuk Tunku Mahkota dan Pahang menggunakan KDYTM untuk Tengku Mahkota. Akan tetapi kedudukan KDYTM Tengku Mahkota Pahang sekarang ni sebagai Pemangku Raja Pahang, so gelaran baginda adalah KDYMM Pemangku Raja Pahang. Manakala Tengku Mahkota Kelantan menggunakan YTM untuk pewaris takhtanya.

      Delete
    2. CruzOHiggins

      Delete
    3. CruzOHiggins

      Delete
  11. Bagi Negeri Sembilan tiada pewaris takhta, kuasa mutlak memilih terletak kepada Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat kerana baginda berempat ialah Raja asal yg memerintah Luak (Negeri) sebelum terwujudnya Negeri Sembilan. Berdasarkan perjanjian 1889 bersama pihak british dimana Undang yang Empat bersetuju melantik Yamtuan Besar Seri Menanti menjadi Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan Gelaran Yang Dipertuan Besar juga diberikan oleh Undang yang Empat kepada Yamtuan Besar Seri Menanti.

    Untuk pengetahuan juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hanya berkuasa di dalam kawasannya bagi Kawasan lain Kuasa Mutlak berada pada Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin ianya boleh di lihat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang² Tubuh Negeri Sembilan.

    ReplyDelete