Tuesday, 29 January 2013

Permaisuri Srikandi..



Yang Maha Mulia Tuanku Puan Besar Hajah Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,D.K.N.S.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kedah).1911-1999.
DYMM Tuanku Ampuan Negeri Sembilan (1934-1960).
DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (1957-1960).

Kebanyakan dari kita tentu kurang mengenali dengan lebih dekat siapakah gerangan Tuanku Puan Besar Kurshiah ini.Generasi hari ini hanya mengetahui bahawa baginda merupakan Raja Permaisuri Agong Pertama negara kita.Namun,baginda lebih dari seorang Permaisuri.Baginda adalah salah seorang pejuang kemerdekaan dan pejuang wanita yang berjiwa kental.Jika Allahyarham Tun Fatimah Hashim digelar Srikandi Negara kita,sewajarnya jugalah gelaran Permaisuri Srikandi diberikan kepada Tuanku Kurshiah atas pengorbanan dan sumbangan baginda kepada negara kita.

Sejurus sahaja baginda ditabalkan sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 25 April 1934,baginda telah menubuhkan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam.Asas penubuhan lembaga ini adalah kerana baginda sering mendapat aduan dan rayuan daripada kaum ibu akan masalah yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian.

Tuanku Kurshiah berangkat ke Istiadat Pertabalan Tuanku Muawir sebagai Yang Dipertuan Besar.

Sebelum negara kita mencapai kemerdekaan,Tuanku Kurshiah banyak membantu mempersediakan mental dan fizikal wanita Malaya supaya seiring dengan kemerdekaan yang akan dicapai.Maka terhasillah Institut Wanita Negeri Sembilan yang dinaungi baginda semasa baginda bergelar Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1954.Sewaktu Almarhum Tunku Abdul Rahman dan rombongannya hendak ke England untuk menuntut kemerdekaan daripada British,Tuanku Kurshiah merupakan salah seorang dari ribuan wanita yang melucutkan gelang-gelang tangan baginda untuk membiayai pemergian Almarhum Tunku Abdul Rahman dan rombongannya ke London.Tindakan baginda ini telah menyemarakkan lagi semangat warga tanah air kita untuk mencapai kemerdekaan.

Mengiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Sultanah Zanariah.

Baginda ketika berusia 88 tahun.

Selepas negara kita diberi kemerdekaan,Tuanku Kurshiah bertuah kerana suami baginda dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang pertama.Kedudukan baginda sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong memudahkan baginda untuk merancang pelbagai aktiviti untuk memperkasakan kaum wanita.Baginda telah mengumpulkan wanita-wanita dari seluruh negara,maka lahirlah Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia di Istana Negara pada tahun 1960.



Lembaga Kebajikan Perempuan Malaysia atau LKPIM telah diluluskan pendaftarannya pada 17 Oktober 1961.Maka bermula dari sini LKPIM di bawah pengelolan Tuanku Kurshiah menjalankan tugasnya membantu para ibu di serata ceruk negara. Selain itu,pergerakan Puteri Islam juga dipelopori oleh Tuanku Kurshiah.Puteri Islam dilancarkan secara rasminya oleh Raja Permaisuri Agong ke 7 Tengku Ampuan Afzan pada 17 Jun 1981.



Kini nama Tuanku Kurshiah telah diabadikan di Ibu Pejabat LKPIM di Kuala Lumpur yang diberikan nama Bangunan Tuanku Puan Besar Kurshiah.Baginda telah mangkat hampir 14 tahun.Namun jasa dan pengorbanan baginda dalam mempertingkat taraf sosial rakyat negara kita akan dikenang sampai bila-bila. AL FATIHAH .

No comments:

Post a Comment