Wednesday, 11 December 2013

SELAMAT HARI KEPUTERAAN KE 68, DAULAT TUANKU!!!

Sempena keputeraan rasmi Sultan Selangor hari ini, WARISAN PERMAISURI akan menyingkap sedikit sebanyak kisah kehidupan Sultan Selangor ke 9, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.


Diputerakan pada tanggal 23 Disember 1945 di Istana Jemaah Klang sebagai Yang Mulia Tengku Idris Shah Ibni Tengku Abdul Aziz Shah. Baginda merupakan putera sulung kepada pasangan DiRaja Yang Amat Mulia Tengku Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan Yang Amat Mulia Raja Saidatul Ihsan Binti Tengku Badar Shah. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda pada tahun 1950 kemudiannya berpindah ke Sekolah St John Institution Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, baginda melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Hale School di Perth Australia. Pada tahun yang sama ayahanda baginda Tengku Abdul Aziz menaiki takhta negeri Selangor menggantikan nenda baginda yang mangkat sebagai Yang Di Pertuan Agong. Ayahanda baginda memakai gelaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Baginda diishtiharkan sebagai Raja Muda Selangor di usia 15 tahun. Baginda seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Kolej Langhurst, Surrey, Britain pada tahun 1964. Sekembalinya dari Britain, baginda menyertai bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam. Baginda pernah berkhidmat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Harun Idris dan juga Pejabat Daerah Kuala Lumpur serta Pejabat Polis Kuala Lumpur.


Upacara perlantikan rasmi baginda sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor diadakan di Istana Alam Shah Klang pada tahun 1970 ketika baginda berusia 25 tahun. Baginda juga dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.).

Baginda mendirikan rumah tangga bersama Yang Amat Mulia Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal pada tahun 1968 ketika berusia 23 tahun. Perkahwinan baginda dikurniakan dua orang puteri iaitu Yang Amat Mulia Tengku Zerafina Sultan Sharafuddin(1969) dan Yang Amat Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah(1973). Walau bagaimanapun jodoh baginda dengan Raja Zarina tidak kekal. Baginda bercerai pada tahun 1986 setelah 18 tahun berkahwin. 2 tahun kemudian baginda bertemu jodoh pula dengan Puan Nur Lisa Idris Abdullah , seorang warga Amerika Syarikat. Perkahwinan baginda kali ini dikurniakan seorang putera iaitu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang dilahirkan pada tahun 1990. Sekali lagi jodoh baginda tidak kekal. Baginda bercerai pada Jun 1997.


Sultan Sharafuddin ditauliahkan sebagai Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada 27 Ogos 1998. Pentauliahan ini dibuat sebagai mengiktiraf kegigihan baginda mengelilingi dunia selama 644 hari bermula 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadi baginda yang diberi nama Jugra. Baginda juga telah mendapat sijil pengiktirafan daripada "The Malaysia Books of Records" kerana menggunakan kereta antik Ford Model B untuk mengembara sejauh 16 000 kilometer dari Peking ke Paris selama 43 hari pada tahun 1997.

Bersama bonda baginda Raja Saidatul Ihsan serta kerabat DiRaja negeri Selangor.

Baginda diishtiharkan sebagai Pemangku Sultan Selangor pada tahun 1999 apabila ayahanda baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 11. Ayahanda baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mangkat pada 21 November 2001. Maka, Sultan Sharafuddin diishtiharkan sebagai Sultan Selangor yang ke 9 menggantikan ayahanda baginda pada 22 November 2001.Baginda menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Baginda ditabalkan dan dimahkotakan pada 9 Mac 2003 di Istana Alam Shah Klang. Baginda merupakan Kapten Yang Di Pertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Baginda juga merupakan Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).


Sempena Pertabalan baginda pada tahun 2003.

Baginda kini berusia 68 tahun. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan dan kebahagiaan bagi DYMM Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan. Selamat Hari Keputeraan Tuanku. DAULAT TUANKU!!!

No comments:

Post a Comment