Friday, 20 June 2014

KENANGAN RAJA-RAJA : Almarhum Tuanku Abdul Rahman .



Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI kali ini akan membawakan satu segmen khas iaitu KENANGAN RAJA-RAJA yang akan membawakan kisah berkenaan Raja-Raja dan Sultan-Sultan yang pernah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia. Penyandang sulung bagi gelaran pemerintah tertinggi negara kita ini ialah Almarhum Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Brunei),G.C.M.G.,K.C.M.G.(United Kingdom),King George V Silver Jubilee Medal,King George VI Coronation Medal,Queen Elizabeth II Coronation Medal.

Sewaktu zaman muda baginda.

Tanggal 24 Ogos 1895, lahirlah seorang putera pewaris takhta negeri di bandar DiRaja Seri Menanti. Putera kedua kepada pasangan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tunku Puan Chik ini diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad. Ayahanda baginda menjadi Yang DiPertuan Besar semenjak tahun 1888 menggantikan nenda baginda Almarhum Yam Tuan Antah. Tuanku Abdul Rahman bertuah dilahirkan dalam sebuah keluarga DiRaja yang unik dan merupakan negeri yang terawal mengamalkan sistem demokrasi.


Sebagai seorang putera raja, baginda mendapat pendidikan yang secukupnya. Baginda mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Jempol dan seterusnya peringkat menengah di Sekolah Melayu Kuala Kangsar(MCKK) bermula tahun 1907 hingga 1914. Setelah tamat pengajian, baginda menyertai Sekretariat Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1915 hingga 1916. Pada tahun yang sama juga baginda menyertai Malay Volunteer Infantry (MVI) sebagai Leftenan Muda dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke Leftenan pada tahun 1918. Kerjaya baginda dalam bidang perkhidmatan awam bermula pada tahun 1921 apabila baginda berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Seremban. Seterusnya baginda bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah Klang Selangor sehingga tahun 1922. Baginda kemudiannya menjadi Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor sehingga tahun 1923. Baginda seterusnya menjadi Penolong Pegawai Daerah Sepang(1923 hingga 1925) sebelum bertukar ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Pada tahun 1925 juga, baginda mengiringi ayahanda baginda, Tuanku Muhammad ke United Kingdom untuk menziarahi King George V dan sepanjang berada di sana, Tuanku Abdul Rahman telah membulatkan tekad baginda untuk belajar undang-undang. Atas perkenan ayahanda baginda, Tuanku Abdul Rahman terus menetap di England meneruskan pengajian baginda dalam bidang perundangan. Baginda belajar undang-undang di Inner Temple,London dan tiga tahun selepas itu baginda secara rasminya bergelar seorang pengamal undang-undang dan peguam bertauliah. Sekembalinya baginda ke Malaya pada Disember 1928, baginda dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Tapah,Perak sehingga tahun 1930. Untuk tempoh setahun bermula tahun 1930, baginda dilantik sebagai Majistret Kelas ke 2 di Kuala Lumpur. Kerjaya perundangan baginda diteruskan di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai Penolong Pendaftar pada tahun 1931 hingga tahun 1932. Baginda seterusnya kembali ke bidang perkhidmatan awam apabila bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Langat sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Batang Padang pada tahun 1933.

Bersama Tuanku Kurshiah ketika mengunjungi Sultan Omar Ali Saifuddien.

Baginda dilantik sebagai Tunku Muda Serting pada tahun 1917 selepas kemangkatan kekanda sulung baginda Almarhum Tunku Abdul Aziz. Ketika itu jawatan Tunku Besar Seri Menanti disandang oleh ayahanda saudara baginda yang kemudiannya menjadi ayahanda mertua baginda iaitu Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah. Manakala jawatan Tunku Laksamana disandang oleh adinda baginda Tunku Laksamana Nasir Ibni Tuanku Muhammad. Pada 1 Ogos 1933, Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah mangkat di usia 68 tahun setelah 45 tahun memerintah Negeri Sembilan. Maka pada 2 Ogos 1933, Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Yang Di Pertuan Besar yang baru pada usia 38 tahun. Baginda ditabalkan di Istana Lama Seri Menanti pada 25 April 1934. Setelah dilantik sebagai Raja, maka berakhirlah kerjaya baginda didalam bidang perundangan dan perkhidmatan awam. Baginda harus menumpukan sepenuh perhatian baginda kepada pentadbiran negeri. Pada waktu itu, baginda merupakan satu-satunya Raja Melayu yang berkelayakan sebagai seorang peguamcara dan peguambela. 



Tuanku Abdul Rahman mendirikan rumah tangga buat pertama kalinya dengan YM Cik Engku Maimunah Binti Abdullah,B.E.M.,P.J.K.  di Singapura pada tahun 1919. Cik Engku Maimunah merupakan seorang wanita kulit putih yang nama asalnya ialah Dulcibella Campbell, anak kepada Pegawai Hutan Mr Clement Gilroy Campbell dan isterinya Julia Ada Roderick. Cik Engku Maimunah merupakan bekas seorang jururawat di Hospital Kuala Lumpur.Namun perkahwinan pertama baginda ini tidak bertahan lama dan pasangan ini bercerai. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri iaitu DYMM Tuanku Jaafar,Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke 10, YAM Tunku Tan Sri Abdullah, YAM Tunku Aida dan YAM Tunku Sheilah. Cik Engku Maimunah mangkat pada 20 Mac 1981 pada usia 84 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

Kali keduanya baginda berumah tangga dengan YM Tunku Maharun Binti Tengku Mambang pada tahun Mac 1921 ketika berusia 26 tahun. Tunku Maharun merupakan puteri kepada YM Tengku Mambang Ibni Almarhum Yam Tuan Tuanku Abdullah daripada Jelebu dan YAM Tunku Aishah Binti Almarhum Tuanku Antah.Tunku Maharun merupakan sepupu kepada Tuanku Abdul Rahman. Pasangan ini bercerai 2 tahun kemudian iaitu pada tahun 1923. Tunku Maharun melahirkan seorang putera iaitu DYMM Tuanku Munawir yang merupakan Yang DiPertuan Besar ke 9. Tunku Maharun mangkat pada 5 Januari 1988 pada usia 83 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.


Perkahwinan ketiga baginda merupakan perkahwinan yang kekal hingga akhir hayat baginda. Kali ini baginda berkahwin dengan sepupu baginda juga iaitu YM Tunku Kurshiah Binti Tunku Besar Burhanuddin. Baginda berdua mendirikan rumah tangga di Istana Lama Sri Menanti pada 21 Mac 1929. Ketika itu Tuanku Abdul Rahman berusia 34 tahun manakala Tuanku Kurshiah berusia 18 tahun. Tunku Kurshiah kemudiannya bergelar Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,D.M.N.,S.M.N.,D.K.N.S.,D.K.(Kedah). Perkahwinan baginda berdua dikurniakan dua orang puteri iaitu KDYMM Sultanah Bahiyah, Sultanah Kedah dan YAM Tunku Shahariah,bekas Tunku Puan Bendahara Johor. Tuanku Kurshiah mangkat pada 2 Februari 1999 pada usia 88 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

Untuk kali keempatnya baginda berkahwin dengan Tunku Zaidah Binti Tunku Zakaria pada tahun 1948. Ketika itu baginda telah berusia 53 tahun manakala Tunku Zaidah berusia 26 tahun. Tunku Zaidah merupakan puteri kepada YBM Tunku Zakaria Ibni Tunku Mabang dan isterinya Cik Zamiah. Tunku Zaidah diberikan gelaran Yang Teramat Mulia oleh Tuanku Abdul Rahman. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang puteri iaitu YAM Tunku Noraida Zakia Binti Tuanku Abdul Rahman. Tunku Zaidah mangkat pada 4 Februari 1989 ketika berusia 67 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

Singgahsana Istana Negara.

Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka didalam perlembagaan negara yang baru dibentuk, akan ada seorang ketua negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Maka, Majlis Raja-Raja sebulat suara memilih Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman untuk menjadi Yang DiPertuan Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda ditabalkan pada 2 September 1957 disamping isteri baginda Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah. Baginda berdua ditabalkan di Balairong Seri Istana Negara. Baginda berdua bersemayam di Istana Negara yang terletak di Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang berkelulusan undang-undang, maka baginda dilihat sebagai orang yang paling sesuai untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi berganding bahu bersama Ketua Menteri Persekutuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. 


Baginda mangkat pada 1 April 1960 di Istana Negara setelah hampir 3 tahun menjadi ketua kerajaan persekutuan. Baginda tidak sempat untuk menghabiskan tempoh  5 tahun pemerintahan baginda. Baginda mangkat ketika dalam tidur. Jenzah baginda disemayamkan di Dewan Banquet Istana Negara untuk penghormatan terakhir. Seluruh negara bersedih atas kemangkatan Yang DiPertuan Agong pertama negara. Pada 2 April 1960, jenazah baginda dibawa menaiki kereta api ke Seremban dan kemudiannya ke Istana Besar Seri Menanti. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti. Jawatan Yang DiPertuan Agong disandang oleh Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah manakala jawatan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan disandang oleh anakanda sulung baginda Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.


Sebagai anak raja yang berpendidikan tinggi, baginda amat mendukung tinggi fahaman demokrasi. Antara kata-kata baginda yang diingati adalah apabila perwakilan dari Timur Tengah pada tahun 1959 mengadu dengan ketidaksenangan mereka terhadap Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman dan meminta Tuanku Abdul Rahman untuk memecat Tunku. Baginda membalas " Saya tidak boleh memecat beliau, beliau dipilih oleh rakyat, dan sebagai Ketua Menteri, beliau boleh pecat saya ". Ketika menjadi Yang DiPertuan Besar, baginda ke United Kingdom pada tahun 1937 untuk menghadiri upacara pertabalan King George VI dan pada tahun 1952 untuk menghadiri pertabalan Queen Elizabeth II di London.


Wajah baginda akan sentiasa diingati rakyat Malaysia sehingga kini kerana wajah baginda diabadikan dalam duit kertas Ringgit Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Wajah baginda menjadi tema duit kertas bermula tahun 1967 hingga ke hari ini. Semenjak muda, baginda aktif dalam bersukan. Baginda terlibat dalam sukan kriket, bola sepak dan juga tenis. Sukan yang paling diminati baginda ialah sukan tinju. Ketika zaman mudanya, baginda gemar bertinju dengan anakanda baginda.

Sesungguhnya, Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan seorang Raja yang harus disanjung dan diingati. Ketokohan baginda bukan sahaja sebagai seorang Raja tetapi sebagai seorang peguam dan ahli perkhidmatan awam harus dicontohi. Sebagai penghargaan terhadap baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan AL FATIHAH buat Almarhum. Semoga Almarhum ditempatkan dengan orang-orang beriman. Amin Ya Robbal Alamin.

Potret bersama isteri baginda Tuanku Kurshiah.

Ketika mengangkat sumpah sebagai Yang DiPertuan Agong. Turut kelihatan Sultan Hisamuddin yang merupakan Timbalan Yang DiPertuan Agong.


Bergambar bersama pembesar negara.

Bersalaman dengan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

9 comments:

  1. Tahniah!! Sebuah tulisan yang menarik. Gambar yang bersejarah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong Pertama ditabalkan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, bukan Istana Negara.

      Delete
  2. info menarik tentang kedaulatan negara malaysia yang tercinta hope dpat teruskan supaya saya boleh mendapat maklumat yang lebih terperinci

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas sokongan. Insyaallah jika masih diizinkan Allah, saya akan teruskan.

      Delete
  3. Tuanku Kurshiah, Tuanku Ampuan Durah dan Tuanku Najihah tu adik-beradik ke?

    ReplyDelete
  4. Org kata tunku abdul rahman ni gabenor bank alam sebelah ye ke?

    ReplyDelete
  5. amboi amboi malu31 March 2022 at 21:33

    Saya mencari keturunan Tunku Mambang daripada isteri keduanya....

    ReplyDelete