Wednesday, 28 January 2015

Kenangan Abadi Dua Permaisuri Terengganu..

Almarhum YMM Tengku Ampuan Tua Terengganu Darul Iman Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja,
dan
Almarhum YMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Darul Iman Tengku Ampuan Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah amat bertuah kerana memiliki dua orang wanita yang amat menyayangi diri baginda. Walaupun kedua-dua orang wanita ini telah dipanggil pulang oleh Sang Pencipta, namun memori dan kenangan abadi kedua-dua wanita bergelar permaisuri ini tetap berada dalam ingatan sesiapa yang pernah bersua muka dengan keduanya. Kedua-dua orang permaisuri ini seringkali muncul bersama, mengiringi Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah dalam majlis-majlis rasmi negeri. Hubungan bonda mertua dan menantu kedua permaisuri ini telah terjalin semenjak puluhan tahun lamanya. Inilah dia kisah dua orang permaisuri kesayangan Terengganu Darul Iman yang pernah menghiasi negeri pantai timur ini sebagai Suri Negeri . 




Almarhum Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja dan Almarhum Tengku Ampuan Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj, inilah gerangan nama dua orang permaisuri ini. Sudah ditakdirkan kedua-dua orang permaisuri ini tidak dikurnia sebarang cahaya mata. Namun, kasih sayang daripada anakanda dan cucunda tiri sudah cukup untuk membuatkan kedua permaisuri ini bahagia. Tuanku Intan Zaharah menerima Tengku Ampuan Bariah sebagai menantu tirinya pada tahun 1951 apabila Sultan Mahmud (ketika itu Yang Di Pertuan Muda Terengganu) berkahwin dengan puteri Sultan Selangor itu. Perbezaan umur di antara Tuanku Intan dan Tengku Ampuan Bariah cuma 5 tahun sahaja, membuatkan kedua permaisuri ini berkawan baik. 



Kedua-dua orang permaisuri Terengganu ini melayari hidup sebagai balu Sultan bersama. Kedua-duanya meniti hari tua dengan bahagia melihat cucunda dan anakanda tiri baginda berdua menaiki takhta negeri Terengganu. Tuanku Intan Zaharah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua manakala Tengku Ampuan Bariah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar. Sudah sampai masa dijemput Ilahi, Tengku Ampuan Bariah telah mangkat pada 21 Mac 2011 pada usia 78 tahun, meninggalkan bonda mertuanya Tuanku Intan Zaharah. Tinggallah Tuanku Intan bersama anakanda dan cucunda tiri baginda. Tanggal 24 Januari 2015, Tuanku Intan Zaharah telah pulang ke sisi Maha Pencipta akibat radang paru-paru. Maka, tamatlah hikayat dua orang permaisuri Terengganu. Kedua-dua permaisuri ini akan dikenang sepanjang masa. Memori baginda berdua akan tetap terpahat dalam sejarah negeri Terengganu. AL FATIHAH untuk Almarhum Tuanku Intan Zaharah dan Almarhum Tengku Ampuan Bariah. 




Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment