Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke 58 pada 31 Ogos 2015, marilah kita telusuri sedikit sebanyak kisah jasa dan sumbangan Raja-Raja Melayu dalam merintis kemerdekaan negara suatu masa dahulu. Tidak dapat dinafikan Raja-Raja Melayu sejak abad ke 19 lagi telah bersepakat untuk membebaskan bumi bertuah ini dari cengkaman penjajah British. Pakatan yang dibuat diantara Raja-Raja Melayu bermula apabila mesyuarat raja-raja yang dipanggil Durbar diadakan pada tahun 1987.
PERSIDANGAN DURBAR PERTAMA.
Persidangan Raja-raja Melayu atau Durbar yang berlangsung di
Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak pada 13 hingga 17 Julai 1897 merupakan yang
pertama kali diadakan.
Raja-raja Melayu yang telah menghadiri sidang Durbar ini ialah DYMM Sultan Idris
Shah (Perak), DYMM Sultan Abdul Samad (Selangor), DYMM Yang Dipertuan Besar Tuanku
Muhammad (Negeri Sembilan) dan DYMM Sultan Ahmad (Pahang). Durbar diadakan untuk
memperlihatkan kepada Raja-raja Melayu tentang keadaan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu di samping bertukar-tukar pendapat mengenai negeri masing-masing.
Sir Frank Swettenham, Pesuruhjaya Negeri-negeri Bersekutu
telah mewakili kerajaan British dan bertindak sebagai Pengerusi. Beliau turut
dibantu oleh beberapa orang pegawai tertinggi British termasuk Residen Jeneral
Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Hugh Clifford (Residen Pahang), J.P Rodger
(Residen Selangor) dan Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-negeri Selat).
Berbagai perkara termasuk mengenai Agama Islam dan kepentingan orang-orang
Melayu dibincangkan. Persidangan ini telah berjaya mendekatkan lagi hubungan
antara Negeri-negeri dan menyedarkan mereka kepada kerjasama dan bersatu padu
dalam perkara-perkara yang berkaitan kepentingan bersama.
PENENTANGAN MALAYAN UNION 1946.
Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan
Sir Edward Gent menjadi Gabenor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan
terhadap Malayan Union sangat hebat sehingga rancangan itu
tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan
Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh Raja-Raja Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang
telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh Raja-Raja Melayu
yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang
melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok.
Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato'
Onn Jaafar untuk berunding dengan Raja-Raja agar turut memulaukan upacara
tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta
mereka, telah menyedarkan baginda sultan untuk turut berjuang
bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan
Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk
mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut
kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan
Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu
dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan
antara pihak British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.
RUNDINGAN DAN PERJANJIAN KEMERDEKAAN.
Parti Perikatan berpakat dengan Raja-Raja Melayu terlebih
dahulu supaya bersatu dengan rakyat dalam rundingan untuk mencapai kemerdekaan .
Raja-Raja Melayu terus terlibat dalam perundingan untuk mencapai kemerdekaan
kerana sebelum itu mereka bertanggungjawab menandatangani Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dengan pihak British.
Rundingan di antara Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil
Majlis Raja-Raja mencapai kejayaan kerana Parti Perikatan memberi jaminan
bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu tidak akan terjejas selepas merdeka. Pada
bulan Januari 1956, rombongan Parti Perikatan yang kedua berlepas ke London
untuk berbincang dengan kerajaan British mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu. Rombongan pada kali ini mewakili parti yang memerintah di Persekutuan
Tanah Melayu dan harapan mereka untuk mencapai kejayaan adalah cerah.
Rundingan mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang
berlangsung selama tiga minggu di London. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian
London telah dimeteraikan oleh pihak Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan
kerajaan British. Menurut perjanjian itu, Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka
pada akhir bulan Ogos 1957.
PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN 31 OGOS 1957.
Dari kanan : Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Perak, Sultan Kelantan, Sultan Kedah, Sultan Pahang, dan Yang Di-Pertuan Agong.
Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang
baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan
peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan
pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada
warganegara Tanah Melayu.
Tetamu-temamu kehormat berangkat didahului oleh Lord Chancellor
dari England. Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri
Sembilan, DYMM Tuanku Munawir Ibni Tuanku Abdul Rahman merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memakaian pakaian uniform tentera baginda yang mewakili Sultan Johor, Sultan Perak, DYMM Sultan Yusuf Izzuddin (berpakaian
berwarna krim), Sultan Terengganu KDYMM Sultan Ismail Nasiruddin (berpakaian emas bersama merah
gelap dan hijau), KDYMM Sultan Kelantan Sultan Ibrahim (berpakaian emas pucat), KDYMM Sultan Kedah Sultan Badlishah (berpakaian
biru dan perak) DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra (berpakaian emas), KDYMM Sultan Pahang Sultan Abu Bakar (berwarna
merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru.
Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung
kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda.
Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil
diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara
Pengisytiharan dimulakan.
Dari kanan : Sultan Kedah, Sultan Pahang, Yang Di-Pertuan Agong, Sir MacGillivray, Wakil Ratu England, Sultan Selangor dan Raja Perlis menyaksikan Tunku Abdul Rahman melaungkan MERDEKA!! sebanyak 7 kali.
Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan
pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan
kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu
mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil
menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu
merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan
British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan
perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda
yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan
kejayaan negara ini.
Kemudian, Ketua Menteri Persekutuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra bangun dari
tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan
kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil
tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa inggeris. Setelah
Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan untuk
mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran
Kemerdekaan".
Pengisytiharan itu disambut dengan laungan
"MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Ketua Menteri Persekutuan
Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah
Melayu dan Raja-Rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan
negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah
dinaikkan dengan iringan Lagu Negaraku yang buat pertama kalinya
diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu
dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk
Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam,
merupakan agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam
seratus satu das.
Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi
oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikuti pemerintah Melayu
yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat
dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara
yang baru dilahirkan.
Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU
No comments:
Post a Comment