Friday, 4 March 2016

4 Mac 1999 : Kemahkotaan Sultan Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah.


ISTIADAT PERTABALAN DAN KEMAHKOTAAN KDYMM SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN DAN KDYMM PERMAISURI NUR ZAHIRAH.


Tarikh 4 Mac 1999 menyaksikan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Terengganu Darul Iman, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah diadakan. Baginda dimahkotakan sebagai Al Sultan Terengganu ke-16 dengan penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Maziah, Kuala Terengganu. Hari ini, tanggal 4 Mac 2016, genap 17 tahun baginda dimahkotakan sebagai Sultan Terengganu.

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan masuk Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah berangkat masuk menuju ke Singgahsana dan didahului oleh panglima-panglima yang membawa alat kebesaran kemahkotaan iaitu cogan, cokmar, pedang, keris panjang, dan lain-lain lagi. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu membacakan watikah pemashuran pertabalan dan kemahkotaan seperti berikut :


PEMASYHURAN TABAL DAN KEMAHKOTAAN

“ Bahawa pada Hari Yang Bertawarikh dan berbahagia ini saya bagi pihak (Jumaah Pangkuan Negeri) dengan ini Memasyurkan dan memberitahu sekelian Kerabat-kerabat, Orang-orang Besar dan sekelian Rakyat jelata Negeri Terengganu serta Jajahan takluknya iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Al Sultan …………………....................... Ibni Almarhum ............................................................ (sebutkan Bintang Darjah Kebesaran jika ada) yang telah bersemayam diatas Singgahsana Kerajaan Memerintah Negeri Terengganu serta segala Jajahan takloknya pada hari ini ditabal dan Dimahkotakan dengan Gelaran Al Sultan ............................................................................. (ditambah nama Gelaran yang telah dipilih dan ditetapkan)Kebawah Duli Yang Maha Mulia  ........................................................ dengan Gelaran Sultanah……………………bagi Negeri Terengganu serta segala Jajahan takluknya”.

Maka didoakan mudah-mudahan Allah Rabil-Alamin cucuri rahmat dan dilanjutkan usia zaman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Suami Isteri diatas Singgahsana Takhta Kerajaan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan memerintah rakyatnya dengan adil dan aman, Amin-Yaarabil-Alamin.

Surat diletak balik dan Ketua Istiadat membawa pulang ketempatnya kemudian Ketua Istiadat memandu dua orang Kerabat Diraja menatang talam membawa Mahkota Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Mahkota Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu.(Seorang Kerabat Ikrab yang Kanan dan Tua) memohon izin Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan sembahnya:

“ PATIK BAGI PIHAK AHLI JUMAAH PANGKUAN
NEGERI MEMPERSEMBAHKAN MAHKOTA
KERAJAAN NEGERI TERENGGANU ”

Yang Amat Mulia Tengku Seri Raja Terengganu Tengku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah mengangkat tengkolok yang dipakai Sultan Mizan kemudian memakaikan Mahkota Duli kepada Sultan Mizan. Kemudiannya, ketua istiadat berseru "DAULAT TUANKU" sebanyak 3 kali dan disambut oleh hadirin. Tengku Seri Raja kemudiannya memakaikan Mahkota Permaisuri kepada Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Terengganu Permaisuri Nur Zahirah.

Sebaik sahaja Sultan Mizan dimahkotakan, paluan nobat dimainkan dan diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das. Seterusnya, titah diraja yang disampaikan oleh Sultan Mizan dan kemudiannya Menteri Besar menyampaikan ucapan sembah tahniah diatas kemahkotaan Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu ke-16. Istiadat diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Duli dengan bacaan ikrar taat setia daripada kerabat diraja dan Jemaah Pangkuan Negeri. Setelah selesai Istiadat Menjunjung Duli, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Terengganu membacakan doa. Ketua Istiadat kemudiannya menyembah maklum bahawa Istiadat sudah selesai. Kedua-dua Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia berangkat meninggalkan singgahsana diiringi paluan nobat. 


ISTIADAT BERSIRAM TABAL.

Ketika Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah berangkat naik ke Panca Persada maka Kerabat-kerabat Perempuan dan Anak-anak raja dan Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja,Orang-orang Besar mengambil tempat masing-masing dan Penjawat-penjawat Alatan mengambil tempat masing-masing (seperti yang telah ditetapkan). 4 Orang Kerabat Perempuan mengambil tapisan dan ditatangkan di atas ulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah,setelah itu dijalankan Istiadat Persiraman oleh Kerabat Perempuan terdekat. Apabila selesai Bersiram.maka seorang Kerabat Lelaki yang tertua dan akrab (akan ditentukan) meletakkan Panca Bicara.Meriam ditembak 17 das dan doa selamat dibaca oleh Sahibus Samahah Al Mufti. Setelah habis doa maka alatan perarakan beratur semula dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah berangkat balik ke Istana sebagaimana pertauran berangkat ke Panca Persada.(Nobat sentiasa dibunyikan dari mula Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat turun dari Istana hingga berangkat balik ke Istana




sumber : http://www.istana.terengganu.gov.my

No comments:

Post a Comment