Thursday, 14 April 2016

14 April : 49 Tahun Kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir.


KEMANGKATAN TUANKU MUNAWIR PADA 14 APRIL 1967.


Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah mangkat pada 14 April 1967. Baginda berusia 45 tahun dan memerintah Negeri Sembilan selama 7 tahun. Baginda menaiki takhta Negeri Sembilan menggantikan ayahanda baginda Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 1960. Baginda mangkat setelah gering beberapa lama. Jenazah Almarhum Tuanku Munawir disemayamkan di atas peterana di Istana Besar Seri Menanti sambil dikelilingi oleh jejawat-jejawat istana untuk istiadat penghormatan terakhir. Baginda meninggalkan balu, Tuanku Ampuan Durah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin serta seorang putera dan  5 puteri. Beberapa orang Raja-Raja Melayu berangkat menziarahi jenazah Almarhum. 

Sebelum jenazah Almarhum Tuanku Munawir boleh dimakamkan, Yang Di-Pertuan Besar yang baru mesti dipilih dan dimashurkan terlebih dahulu. Undang yang empat telah memilih adinda Almarhum iaitu Tuanku Jaa'far Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai pengganti Almarhum. Istiadat pemashuran Yang Di-Pertuan Besar yang baru diadakan di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Sejurus tamat istiadat pemashuran, istiadat pemakaman Tuanku Munawir pun bermula. Jenazah Almarhum Tuanku Munawir diarak dari Istana Seri Menanti menuju ke Makam DiRaja Seri Menanti menggunakan pedati diraja. Seramai 20,000 orang mengiringi perjalanan terakhir Almarhum. 

Semenjak bergelar Yang Di-Pertuan Besar pada tahun 1960, kesihatan kerap mengganggu Almarhum. Almarhum telah beberapa kali ke luar negara untuk berubat. Kali terakhir baginda berubat di Amerika Syarikat pada bulan September 1966. Baginda mangkat pada pukul 11.15 malam hari Jumaat tanggal 14 April 1967. Istiadat pemakaman Almarhum disaksikan oleh kaum kerabat dan Raja-Raja Melayu. Sesudah selesai bacaan doa dan talkin, balu Almarhum, Tuanku Ampuan Durah meletakkan kalungan bunga disisi makam Almarhum. Selepas itu, Tuanku Jaa'far dan putera tunggal Almarhum, Tunku Muhriz menabur bunga di pusara Almarhum. Semoga ALLAH S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. Al Fatihah.


Suasana di hadapan Istana Besar Seri Menanti.

Jenazah Almarhum diletakkan di tengah istana untuk istiadat penghormatan terakhir.

Alunan ayat-ayat suci Al-Quran berkumandang di Istana Besar Seri Menanti.


Balu Almarhum, Tuanku Ampuan Durah bersama kekanda Tuanku Puan Besar Kurshiah.

Tuanku Jaa'far menziarahi jenazah kekanda baginda.

Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz yang merupakan putera tunggal Almarhum.

Adinda Almarhum, Tuanku Jaa'far dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Besar yang baru.



Tuanku Jaa'far memberikan titah sempena pemashuran baginda sebagai Yang Di-Pertuan Besar.

Kaum kerabat dan rakyat jelatan mengiringi jenazah Almarhum.

Tuanku Jaa'far, bonda Almarhum, Tunku Maharun Tunku Mambang dan Tunku Muhriz.

Tuanku Ampuan Durah dan adinda baginda Tuanku Najihah.


Jenazah Almarhum diusung oleh pedati diraja.

Perangkatan diraja menuju ke makam.

Tuanku Ampuan Durah meletakkan kalungan bunga di makam Almarhum.

Tuanku Ampuan Durah bersama putera tunggal baginda Tunku Muhriz.

Tuanku Ampuan Durah dan Tuanku Jaa'far.

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah memberikan penghormatan terakhir kepada kekanda ipar baginda.

Keranda yang berisi jenazah Almarhum dimasukkan ke dalam liang lahad.

Proses pemakaman Almarhum.

Putera tunggal Almarhum. Tunku Muhriz yang berusia 19 tahun menabur bunga di makam ayahandanya.

Sultan Selangor Sultan Salahuddin dan Raja Perlis Tuanku Syed Putra berangkat menziarahi Almarhum.

Makam Almarhum Tuanku Munawir.

No comments:

Post a Comment