Wednesday, 24 August 2016

Tuanku Abdul Rahman dan Sultanah Bahiyah Berkongsi Tarikh Keputeraan.

             

Tahukah anda bahawa Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan puteri baginda Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman berkongsi tarikh keputeraan ? Baginda berdua diputerakan pada tanggal 24 Ogos. Tuanku Abdul Rahman diputerakan pada 24 Ogos 1895 manakala Sultanah Bahiyah diputerakan pada 24 Ogos 1930. Ini bermakna sewaktu Tuanku Abdul Rahman menyambut hari keputeraan baginda ke 35, puteri baginda yang diberi nama Tunku Bahiyah diputerikan hasil perkongsian hidup baginda dengan isteri baginda yang ke-3 iaitu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Tuanku Abdul Rahman dan Sultanah Bahiyah sewaktu baginda masih kecil.

Sultanah Bahiyah merupakan puteri ke-3 kepada Tuanku Abdul Rahman. Almarhum Tuanku Munawir dan Almarhum Tuanku Jaafar merupakan kekanda sebapa kepada Sultanah Bahiyah. Adinda seibu sebapa dengan Sultanah Bahiyah ialah Yang Amat Mulia Tunku Shahariah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang pernah bergelar Tunku Puan Bendahara Johor. Tuanku Abdul Rahman sempat menyaksikan puteri baginda bergelar Sultanah Kedah apabila ditabalkan pada tahun 1959. Ketika itu Tuanku Abdul Rahman bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Namun, setahun kemudian iaitu pada tahun 1960, Tuanku Abdul Rahman mangkat pada usia 65 tahun. Ketika itu puteri baginda Sultanah Bahiyah berusia 30 tahun dan baru 2 tahun bergelar Sultanah Kedah. Manakala Sultanah Bahiyah mangkat 43 tahun selepas kemangkatan ayahanda baginda iaitu pada 26 Ogos 2003 pada usia 73 tahun akibat kanser. Baginda mangkat 2 hari selepas menyambut keputeraan ke-73. Al Fatihah buat kedua Almarhum.

                            

Senyuman ayahanda dan puterinya.



1 comment: