Sunday, 23 October 2016

Raja DiHilir dan Raja Puan Muda Perak Terima Gelaran Tan Sri.


WARISAN PERMAISURI MELAYU mengucapkan sembah tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kerana telah dikurnia Darjah Kebesaran Persekutuan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri. Istiadat penganugerahan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 20 Oktober 2016. Turut berangkat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Pada penganugerahan tersebut, seramai 276 penerima dikurniakan darjah kebesaran persekutuan. 


Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Raja Tan Sri Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah,
D.K.A., P.S.M., S.P.C.M., S.S.D.K.

dan 

Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Tunku Tan Sri Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
D.K.A., P.S.M., S.H.M.S., S.S.D.K.

Sunday, 16 October 2016

Bonda Mertua Sultan Brunei Mangkat.

AL FATIHAH.

Almarhum Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja
Pengiran Anak Hajah Besar Binti Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan
D.K., D.S.L.J., P.H.B.S.
1928 - 2016.

Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar Binti Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan telah mangkat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada pukul 5.45 pagi. Almarhum mangkat ketika berusia 88 tahun. Almarhum merupakan bonda kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam dan merupakan bonda mertua kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saiffuddien Saadul Khairi Waddien.

Jenazah Almarhum Pengiran Babu Raja dibawa ke kediamannya di Taman Seri Alam sebelum dimakamkan di Kubah Makam Diraja pada hari ini. Berita kemangkatan Almarhum dimaklumkan oleh Radio Televisyen Brunei (RTB). 

Pengiran Anak Hajah Besar diputerikan pada 24 September 1928. Ayahanda Almarhum adalah Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan Ibni Almarhum Yang Amat Mulia Pengiran Anak Ismail Apong manakala bonda Almarhum adalah Almarhum Yang Amat Mulia Pengiran Anak Piut yang merupakan cicit kepada Sultan Brunei Ke-26 Almarhum Sultan Hashim Jalilul Alam. 

Almarhum Pengiran Babu Raja berkahwin dengan Almarhum Yang Teramat Mulia Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam Ibni Almarhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman. Pasangan ini dikurniakan dengan 3 putera dan 6 puteri. Putera-putera Almarhum terdiri daripada Pengiran Anak Haji Muhammad Yusuf, Pengiran Anak Dato' Sri Laila Jasa Haji Puteh, dan Pengiran Anak Haji Muhammad Jaafar. Manakala puteri-puteri Almarhum pula adalah Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Pengiran Anak Hajah Rokiah, Pengiran Anak Hajah Damit, Pengiran Anak Hajah Mastura, dan Pengiran Anak Hajah Fatimah. 

WARISAN PERMAISURI MELAYU merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Brunei dan KDYMM Pengiran Raja Isteri diatas kemangkatan Almarhum YTM Pengiran Babu Raja. Semoga roh Almarhum ditempatkan bersama orang beriman. Al Fatihah.

SEKITAR PEMAKAMAN ALMARHUM PENGIRAN BABU RAJA :
(sumber : Brunei Times)

Sultan Hassanal Bolkiah bersama para kerabat menyertai solat jenazah buat Almarhum bonda mertua baginda.


Sultan Hassanal Bolkiah sendiri mengusung keranda bonda mertua baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah menyiram air mawar di makam Almarhum.

Raja Isteri Pengiran Anak Saleha menyiram air mawar diatas makan bonda baginda.

Saturday, 15 October 2016

Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Selangor Selamat Disempurnakan.


Setelah 7 hari berlalu Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah, dan Menjunjung Duli Raja Muda Selangor yang diadakan pada 8 Oktober 2016, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali ke negeri Selangor untuk menyempurnakan istiadat pemasyhuran ini. Istiadat Menjunjung Duli oleh Tengku Amir Shah diadakan di Balairong Seri Istana Alam Shah, Klang. 

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. Seterusnya lagu negeri Selangor dimainkan. 

Tengku Amir Shah berangkat masuk ke Balairong Seri Istana Alam Shah sambil menjunjung Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Keris ini dianugerahi oleh ayahanda baginda pada istiadat pada 8 Oktober lepas. Semasa Istiadat Menjunjung Duli, Tengku Amir Shah mempersembahkan cenderahati kepada Sultan Sharafuddin sambil disaksikan oleh Tengku Permaisuri Norashikin. Sultan Sharafuddin berkenan menerima cenderamata berkenaan. Seterusnya Tengku Amir Shah naik keatas singgahsana untuk mengambil tempat di sebelah ayahanda baginda dan bersemayam sebagai Raja Muda Selangor. 

Istiadat diteruskan dengan ucapan tahniah mewakili seluruh rakyat Selangor oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor Dato' Seri Azmin Ali. Seterusnya, Yang Amat Mulia Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyampaikan sembah tahniah mewakili para kerabat diraja. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Dato'Seri Utama Diraja Mufti Selangor Sahibus Samahah Dato' Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan seterusnya keberangkatan keluar Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat ini dihadiri oleh kerabat-kerabat diraja Selangor seperti YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah, YAM Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah dan YAM Tengku Puan Indera Setia Tunku Puteri Irinah Tuanku Jaafar, YAM Tengku Zatashah dan YABhg Dato' Seri Aubrey Manneson, YAM Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku Muhammad Yusuf Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, YAM Tengku Puteri Nor Zehan dan YAM Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, YAM Tengku Puteri Zahariah, YBhg Puan Nur Lisa Abdullah, bonda kepada Tengku Amir Shah dan kerabat-kerabat lain. Turut hadir, Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali dan isteri YABhg Datin Seri Shamsida, ahli EXCO negeri Selangor, dan tetamu-tetamu jemputan yang lain. 

Keberangkatan tiba DYMM Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.



Keberangkatan tiba DYTM Tengku Amir Shah sambil menjunjung Keris Kebesaran DYTM Raja Muda Selangor.


Istiadat Menjunjung Duli.


Tengku Amir Shah mencium tangan ayahanda baginda.

Tengku Amir Shah mnyembahkan cenderamata kepada ayahanda baginda.



Tengku Amir Shah naik ke singgahsana untuk bersemayam di sebelah ayahanda baginda.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.


Tengku Amir Shah mengambil tempat disebelah ayahanda baginda.

Dato' Seri Azmin Ali menyampaikan ucapan tahniah.

Tengku Ahmad Shah menyampaikan sembah tahniah.

Kerabat-kerabat diraja yang hadir.

Bonda Tengku Amir Shah, Puan Nur Lisa Abdullah.

Friday, 14 October 2016

Majlis Raja-Raja Pilih Yang Di-Pertuan Agong Ke-15.



Tuanku Abdul Halim bersalaman dengan Tuanku Syed Sirajuddin sambil diperhatikan oleh Raja-Raja Melayu yang lain.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Kali ke 243 telah diadakan pada 13 Oktober 2016 di Istana Negara untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail. Majlis Raja-Raja telah memilih KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula 13 Disember 2016 dan memegang jawatan ini selama 5 tahun. Kenyataan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato' Seri Syed Danial Syed Ahmad. Dalam mesyuarat yang sama juga, Majlis Raja-Raja memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan memegang jawatan dalam tempoh yang sama juga.

Tuanku Abdul Halim dan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim memimpin Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat Khas ini dihadiri oleh kesemua Raja-Raja Melayu. DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin bertindak sebagai Pengerusi, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Muzizzuddin Shah. Mesyuarat berlangsung kira-kira satu jam.

Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 dan Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. 

Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental. Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain,bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut. Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.

Sultan Ibrahim, Sultan Sharafuddin, Sultan Muhammad V dan Sultan Ahmad Shah.

Sultan Muhammad V bersalaman dengan Sultan Ibrahim sambil diperhatikan oleh Sultan Nazrin.

Menyembah Setinggi-tinggi tahniah kepada KDYMM Sultan Muhammad V dan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. Daulat Tuanku.

Kesemua 9 orang Raja-Raja Melayu.

Thursday, 13 October 2016

Raja Thailand Mangkat.


His Majesty King Bhumibol Adulyadej,
The Most Auspicious Order of the Rajamitrabhorn,  The Most Illustrious Order of the Royal House of Chakri, The Ancient and Auspicious Order of the Nine Gems, The Most Illustrious Order of Chula Chom Klao,  The Honourable Order of Rama ,  The Most Exalted Order of the White Elephant,  The Most Noble Order of the Crown of Thailand , The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn, The Order of Symbolic Propitiousness Ramkeerati , Grand Cross of The Royal Order of Cambodia, The Most Glorious Order of Truth (Thiri Thudhamma Thingaha)-Burma, Collar of The Order of the Liberator General San Martín(Argentina), Chief Commanders of the Legion of Merit(U.S.A.), Grand Sash and Cross of the Three Orders of Christ, Aviz and Saint James of the Sword(Portugal), Knight of the Order of the Elephant(Denmark), Knights Grand Cross with Collar of the Order of St. Olav(Norway), Royal Order of the Seraphim(Sweden), Knight Grand Cross with Collar of the Order of Merit of the Italian Republic, Knights of Order of Pius IX(Holy See), Grand Cordon of the Order of Leopold(Belgium), Grand Cross of the Légion d'honneur(France), Knights of the Order of the Gold Lion of the House of Nassau(Luxembourg), Knights Grand Cross of the Order of the Netherlands Lion(Netherlands), Knight Grand Cross with Collar of the Order of Civil Merit(Spain), The Order of the Star of the Republic of Indonesia, The Order of Pakistan (Nishan-e-Pakistan), Honorary Recipient of the Order of the Crown of the Realm(Malaysia), Collar of the Order of the Chrysanthemum(Japan), Grand Cordon of the Order of Brilliant Jade(Taiwan), Grand Cross of the Order of the Redeemer(Greece), Grand Cordon of the Order of a Million Elephants and White Parasol(Laos), Grand Star of Decoration of Honour for Services to the Republic of Austria(Austria), Collar of the Order of Pahlevi(Iran), Knight and Collar of the Order of the Queen of Sheba(Ethiopia), Grand Collar of the Order of Sikatuna(Philippines), Grand Order of Mugunghwa(South Korea), Grand Cross of the Order of Merit of the Federal Republic of Germany, The Nepal Pratap Bhaskara(Nepal), Grand Cross with Collar of the Order of Charles III(Spain), Royal Family Order of the Crown of Brunei, Phoxay Lane Xang(Laos), Sashes of the Order of the Star of Romania, Knights of the Order of the Golden Fleece(Spain), Recipient of the Royal Victorian Chain(United Kingdom), First Class of The Most Most Esteemed Royal Family Order of Selangor, Member of The Most Distinguished Royal Family Order of Terengganu.
5 Disember 1927 - 13 Oktober 2016

Dukacita dimaklumkan bahawa Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej telah mangkat pada pukul 3.52 petang waktu tempatan. Baginda yang berusia 88 tahun menerima rawatan di Hospital Siriraj, Bangkok sebelum mangkat disitu hari ini. Baginda meninggalkan seorang balu, Permaisuri Sirikit serta seorang putera dan tiga puteri. Raja Bhumibol merupakan monarki yang bertakhta paling lama iaitu 70 tahun semenjak tahun 1946 ketika baginda berusia 18 tahun. Kali terakhir baginda muncul di khalayak ramai adalah pada 11 Januari 2016. Selepas itu baginda banyak menghabiskan masa di istana dan di hospital untuk mendapatkan rawatan. Mengikut laporan doktor, baginda mengalami komplikasi hati. Pada Khamis, rakyat negara itu berkumpul di luar Hospital Siriraj sejak awal pagi untuk memberi sokongan spiritual kepada Raja Bhumibol.

Orang ramai melakukan upacara berdoa dan bersembahyang untuk berkongsi rasa kasih sayang dan mengharapkan 'keajaiban' kesembuhan untuk raja kesayangan mereka.Namun, sejurus berita kemangkatannya diumumkan, ribuan orang yang membanjiri pekarangan hospital dan jutaan lagi rakyat di seluruh Thailand tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka setelah mendapat berita kemangkatan raja kesayangan mereka itu. Ada yang tergamam, menangis dan ada juga yang meratap serta melaung-laungkan nama Raja Bhumibol seolah-olah tidak percaya akan pemergian baginda. Saluran televisyen negara itu turut menyiarkan suasana yang memilukan di luar pagar Hospital Siriraj, termasuk beberapa orang yang jatuh pitam kerana terlalu bersedih dan bersesak. Takziah diucapkan kepada seluruh kerabat diraja Thailand dan rakyat Thailand secara keseluruhannya.

Monday, 10 October 2016

Kemunculan Sulung Tengku Permaisuri Norashikin Dalam Istiadat DiRaja.




Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan Tengku Permaisuri Norashikin Binti Abdul Rahman,
S.P.M.S. 


Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli Raja Muda Selangor pada 8 Oktober lepas menyaksikan buat pertama kalinya Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berangkat dalam istiadat diraja Selangor. Baginda mengiringi suami baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj. Baginda yang berusia 45 tahun itu kelihatan amat anggun mengenakan busana songket. Baginda memakai darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang diterima baginda setelah berkahwin dengan Sultan Selangor. Tengku Permaisuri Norashikin memakai Tiara Bertatah Berlian Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor. Tiara ini pertama kalinya dibuat untuk Almarhum Tengku Ampuan Rahimah AlHajjah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz. Sesungguhnya kehadiran baginda sebagai Suri Negeri Selangor menambah seri takhta kerajaan negeri yang terletak di Balairong Seri Istana Alam Shah. Baginda kelihatan cantik dan berseri-seri bersemayam diatas takhta bersama Paduka Suami baginda. 



Tiara Bertahta Berlian Tengku Ampuan Selangor.

Sunday, 9 October 2016

Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli Raja Muda Selangor.

WARISAN PERMAISURI MELAYU merafak sembah setinggi -tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj diatas penganugerahan gelaran sebagai Raja Muda Selangor Yang ke-9. Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli telah diadakan di Balairong Sei  Istana Alam Shah,Klang pada tanggal 8 Oktober 2016 bersamaan 7 Muharram 1438 Hijrah. 

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. Baginda berdua seterusnya bersemayam di Singgahsana sebelum lagu negeri Selangor dimainkan. Pengisytiharan pemashyuran dilakukan oleh Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga Ketua Adat Istiadat DiRaja Selangor.

Selesai pengisytiharan pemasyhuran, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah masuk ke Balairong Seri sambil diiringi Yang Amat Mulia Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj. Tengku Amir Shah seterusnya memegang tombak diraja lalu melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Raja Muda Selangor. Baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran yang disaksikan oleh Tengku Sulaiman Shah, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya. 

Selesai menandatangani surat sumpah, Tengku Amir Shah memulakan istiadat Menjunjung Duli. Tengku Amir Shah dengan penuh tertib menuju ke singgahsana untuk menjunjung duli ayahanda baginda, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Seterusnya Sultan Sharafuddin mengurniakan Keris Kebesaran Raja Muda Selangor kepada Tengku Amir Shah. Tengku Amir Shah kemudian berangkat meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari Selangor selama tujuh hari, seperti amalan yang ditetapkan sebelum kembali semula pada Sabtu depan (15 Oktober) bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli, di istana yang sama. Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.

Istiadat diakhiri dengan keberangkatan keluar Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor dari Balairong Seri. Sejurus selepas itu, 9 das tembakan meriam kedengaran menandakan 9 daerah di negeri Selangor. Berangkat ke istiadat ini adalah kerabat-kerabat diraja Selangor, Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali dan isteri, Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Hishamuddin Hussein dan isteri, serta kenamaan lain. 


Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor.

Lagu negeri Selangor berkumandang.


DYTM Tengku Amir Shah menerima tombak diraja daripada YAM Tengku Indera Setia.

Tengku Amir Shah melafazkan sumpah.


Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.

Selesai melafazkan sumpah jawatan.


Tengku Amir Shah menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Raja Muda Selangor.




Istiadat Menjunjung Duli bermula.




Menerima Keris Raja Muda Selangor daripada ayahanda baginda.


Sultan Sharafuddin mencium pipi anakanda baginda sambil diperhatikan oleh Tengku Permaisuri Norashikin.


Setelah menerima Keris Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah akan keluar dari Balairong Seri dan meninggalkan negeri Selangor selama 7 hari.

Keberangkatan keluar Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.

Antara kerabat yang berangkat. Dari kiri : YAM Tengku Panglima Besar Tengku Abdul Samad, YAM Tengku Indera Setia Tengku Ahmad Shah, YAM Tengku Puan Indera Setia Tunku Puteri Irinah, YAM Tengku Zatashah dan YABhg Dato' Setia Aubry.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin.