Sunday, 9 October 2016

Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli Raja Muda Selangor.

WARISAN PERMAISURI MELAYU merafak sembah setinggi -tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj diatas penganugerahan gelaran sebagai Raja Muda Selangor Yang ke-9. Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli telah diadakan di Balairong Sei  Istana Alam Shah,Klang pada tanggal 8 Oktober 2016 bersamaan 7 Muharram 1438 Hijrah. 

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. Baginda berdua seterusnya bersemayam di Singgahsana sebelum lagu negeri Selangor dimainkan. Pengisytiharan pemashyuran dilakukan oleh Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga Ketua Adat Istiadat DiRaja Selangor.

Selesai pengisytiharan pemasyhuran, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah masuk ke Balairong Seri sambil diiringi Yang Amat Mulia Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj. Tengku Amir Shah seterusnya memegang tombak diraja lalu melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Raja Muda Selangor. Baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran yang disaksikan oleh Tengku Sulaiman Shah, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya. 

Selesai menandatangani surat sumpah, Tengku Amir Shah memulakan istiadat Menjunjung Duli. Tengku Amir Shah dengan penuh tertib menuju ke singgahsana untuk menjunjung duli ayahanda baginda, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Seterusnya Sultan Sharafuddin mengurniakan Keris Kebesaran Raja Muda Selangor kepada Tengku Amir Shah. Tengku Amir Shah kemudian berangkat meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari Selangor selama tujuh hari, seperti amalan yang ditetapkan sebelum kembali semula pada Sabtu depan (15 Oktober) bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli, di istana yang sama. Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.

Istiadat diakhiri dengan keberangkatan keluar Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor dari Balairong Seri. Sejurus selepas itu, 9 das tembakan meriam kedengaran menandakan 9 daerah di negeri Selangor. Berangkat ke istiadat ini adalah kerabat-kerabat diraja Selangor, Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali dan isteri, Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Hishamuddin Hussein dan isteri, serta kenamaan lain. 


Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor.

Lagu negeri Selangor berkumandang.


DYTM Tengku Amir Shah menerima tombak diraja daripada YAM Tengku Indera Setia.

Tengku Amir Shah melafazkan sumpah.


Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.

Selesai melafazkan sumpah jawatan.


Tengku Amir Shah menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Raja Muda Selangor.




Istiadat Menjunjung Duli bermula.




Menerima Keris Raja Muda Selangor daripada ayahanda baginda.


Sultan Sharafuddin mencium pipi anakanda baginda sambil diperhatikan oleh Tengku Permaisuri Norashikin.


Setelah menerima Keris Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah akan keluar dari Balairong Seri dan meninggalkan negeri Selangor selama 7 hari.

Keberangkatan keluar Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.

Antara kerabat yang berangkat. Dari kiri : YAM Tengku Panglima Besar Tengku Abdul Samad, YAM Tengku Indera Setia Tengku Ahmad Shah, YAM Tengku Puan Indera Setia Tunku Puteri Irinah, YAM Tengku Zatashah dan YABhg Dato' Setia Aubry.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin.

No comments:

Post a Comment