Friday, 16 December 2016

Istiadat Pemasyhuran Perlantikan Raja Muda Kedah.

DYTM Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda Kedah.

WARISAN PERMAISURI MELAYU sekali lagi ingin merafak sembah tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Maliha Binti Tengku Ariff yang dilantik sebagai Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah Darul Aman.Tunku Sallehuddin yang sebelum ini bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Temenggong Kedah Darul Aman dilantik mengisi kekosongan jawatan Raja Muda setelah setahun kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah. Tunku Sallehuddin, 74 merupakan adinda kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Baginda dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah setelah kemangkatan kekanda baginda Almarhum Tunku Bendahara Tunku Annuar Almarhum Sultan Badlishah pada 21 Mei 2014. 

Sultan dan Sultanah Kedah bersemayam di atas takhta.

Istiadat Pemasyhuran Pelantikan dan Menjunjung Duli Raja Muda Kedah diadakan pada 15 Disember 2016 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. Istiadat ini diadakan sempena keberangkatan pulang Sultan Kedah ke Negeri Kedah setelah 5 tahun bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menandatangani Watikah Sumpah dimulakan dengan keberangkatan tiba KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Haminah. Kemudian, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Bakar Din membacakan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja Muda Kedah sebelum Tunku Sallehuddin melafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah. Dalam lafaz sumpah tersebut, Tunku Sallehuddin melafazkan taat setia baginda untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas serta akan senantiasa patuh dan menunjung perintah KDYMM Sultan Kedah. Istiadat itu disaksikan oleh Yang Arif Ketua Hakim Syarie Kedah Dato' Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star Dato' Hashim Hamzah. Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah kepada Tunku Sallehuddin. Selesai pengurniaan keris, paluan nobat dimainkan serta 9 das tembakan meriam dilepaskan. Istiadat ditutup dengan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Kedah Dato' Syeikh Marwazi Dziyauddin.

Raja Muda Kedah melafaz sumpah.

Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah YTM Tunku Laksamana Kedah Tunku Abdul Hamid Thani dan Toh Puan Laksamana Kedah , YTM Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim serta kerabat diraja yang lain. Turut hadir, YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Ahmad Bashah, YB Dato' Seri DiRaja Mahadzir Khalid, YB Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir serta kepimpinan negeri. 

Warisan Permaisuri mendoakan semoga DYTM Raja Muda Kedah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah diberikan kesihatan yang baik dan dapat berkhidmat kepada rakyat Kedah. Daulat Tuanku!!!


Menjunjung duli oleh Tunku Sallehuddin dan Tengku Maliha.

Tunku Sallehuddin menandatangani watikah sumpah.

Menerima Keris Kebesaran DYTM Raja Muda Kedah.

Mencium tangan kekanda baginda.

No comments:

Post a Comment