Friday, 9 December 2016

Tengku Fa-iz Petra dilantik Pemangku Raja Kelantan.

Image result for tengku faiz petra
Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Darul Na'im
Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra,
D.K., S.P.M.K.

Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan dalam suatu istiadat yang diadakan pada 8 Disember 2016. Baginda yang berusia 42 tahun melafazkan sumpah jawatan di hadapan kekanda baginda di Istana Kota Lama,Kota Bharu. Pelantikan baginda sebagai Pemangku Raja Kelantan adalah bagi menggantikan kekanda baginda, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. Sultan Muhammad akan berangkat ke Kuala Lumpur pada 13 Disember 2016. 


Dalam istiadat itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob memgisytiharkan pelantikan Tengku Fa-iz Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan. Selepas itu, Sultan Muhammad V mengurniakan watikah pelantikan sebagai Pemangku Raja Kelantan kepada Tengku Fa-iz Petra. Tengku Fa-iz Petra kemudiannya mengangkat sumpah jawatan di hadapan kekanda baginda dan seterusnya menandatangani surat sumpah tersebut. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu,Yang Arif Datuk Ahmad Bache dan Ketua Hakim Syarie, Yang Arif Datuk Daud Mohamad menjadi saksi pada istiadat itu. Turut berangkat pada istiadat berkenaan yang berlangsung kira-kira 6.30 petang ialah Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim; Yang Amat Mulia Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Seri Tengku Mohamad Rizam Ibni Tengku Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

No comments:

Post a Comment