Sunday, 20 August 2017

KDYMM Sultan Mizan Sumbang 2 Emas Buat Malaysia.

Sultan Mizan mengibarkan bendera Malaysia sambil menunjukkan pingat emas yang dimenangi baginda.


Warisan Permaisuri Melayu merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AlMuktafi Billah Shah yang telah berjaya meraih 2 pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2017. 


Baginda yang sebelum ini menarik diri pada saat-saat akhir kerana kesihatan kuda baginda tidak mengizinkan membuat keputusan untuk kembali menyertai skuad ekuestrian. Ternyata keputusan baginda untuk kembali beraksi membawa tuah untuk pasukan Malaysia. Baginda bersama kuda Rtes Annaversary berjaya meraih pingat emas dalam acara endurance individu sejauh 80 kilometer. Baginda memulakan perlumbaan pada pukul 3 pagi di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu, Lembah Bidong dengan memakai jersi bernombor 111. Baginda bukan sahaja berjaya meraih pingat emas, malah telah memecahkan rekod terdahulu dengan menamatkan perlumbaan 3 jam lebih awal. Baginda tiba di garisan penamat pada pukul 8.18 pagi dengan catatan masa 3 jam 48 minit 38 saat, jauh meninggalkan rekod yang dibuat oleh atlet Malaysia yang memenangi pingat emas pada edisi Sukan SEA 2013 di Myanmar iaitu Mohd Sulaiman Muda yang mencatatkan masa 6 jam 26 minit.


Sultan Mizan meraih lagi satu pingat emas menerusi acara berpasukan bersama Mohd Adhwa Embong yang menunggang kuda Mora Franka dan Azizatul Asma Abdullah yang menunggang kuda Mora Tishaka.  "Kami bekerjasama secara berpasukan, bergerak bersama dan strategi kami membuahkan hasil. Sekali pun ia adalah perlumbaan yang panjang, ia tidak kelihatan membosankan atau melesukan ketika kami berlumba dengan lancar," titah Sultan Mizan."Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua, daripada pelatih, pengendali kuda, veterinar, pegawai dan kerajaan negeri - untuk membantu kami mencapai sasaran kami dan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk perlumbaan yang berjaya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,".


Baginda mencipta rekod sebagai Sultan pertama yang bertanding dalam temasya Sukan SEA. Sekali lagi Warisan Permaisuri merafak sembah tahniah diatas kejayaan KDYMM Tuanku dan pasukan sekaligus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. 


No comments:

Post a Comment