Thursday, 5 October 2017

Istiadat Pemakaman Almarhum DYTM Raja Puan Besar Perak.


Kemangkatan Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah memberi kesedihan kepada rakyat yang pernah menerima khidmat bakti baginda. Perjalanan terakhir baginda ke Makam DiRaja Kuala Kangsar diiringi kerabat diraja dan rakyat jelata. Almarhum yang mangkat pada 3 Oktober 2017 pada jam 5.07 petang disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di-Hilir, Ipoh untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. 


Pada jam 3.10 petang, jenazah Almarhum dibawa keluar dari Istana Ar-Ridzuan dan dibawa menaiki pedati khas "Seraja DiRaja" bermula dari Galeri Sultan Azlan Shah ke Masjid Ubudiah sejauh 100 meter. Jenazah Almarhum kemudiannya dibawa ke dalam Masjid Ubudiah untuk majlis tahlil dan bacaan Al-Quran dan seterusnya disolatkan selepas solat Asar. 


Kemudian jenazah Almarhum diarak menuju ke Makam DiRaja Kuala Kangsar untuk dimakamkan. Istiadat pemakaman Almarhum bermula selepas Asar dan selesai pada pukul 6.05 petang. Almarhum Raja Nor Mahani dimakamkan bersebelahan makam Almarhum Raja Puan Besar Perak Raja Nor Izan Raja Bendahara Abdul Rashid. 


Selesai dimakamkan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah mendahului Istiadat Menabur Bunga dan Menyiram Air Mawar di makam Almarhum. Disusuli oleh DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani. Kemudian, suami Almarhum, DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Tuanku Abdul Halim. 


Turut melakukan istiadat berkenaan ialah kedua-dua anakanda Almarhum iaitu YM Raja Shah Azman dan YM Raja Nor Azwina serta YAB Menteri Besar Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir dan isteri YABhg Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli.

Kehilangan baginda amat dirasai rakyat memandangkan baginda amat sinonim dengan kerja kebajikan. Almarhum amat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan seringkali melibatkan diri dalam aktiviti yang melibatkan rakyat jelata. Al-Fatihah buat DYTM Raja Nor Mahani Almarhum Raja Shahar Shah. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas Roh Almarhum.



Jenazah Almarhum dibawa masuk ke Makam DiRaja Kuala Kangsar.










Mengaminkan doa.
DYMM Sultan Nazrin Shah menyiram air mawar.

DYMM Tuanku Zara menabur bunga.

DYMM Tuanku Aishah Rohani menyiram air mawar.

DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar menabur bunga di makam isteri baginda.

DYAM Raja DiHilir Raja Iskandar Dzulkarnain.

Raja Muda Perak bersama Menteri Besar Perak.

No comments:

Post a Comment