Tuesday, 3 October 2017

Sidang Media Khas YAB Menteri Besar Perak Berkenaan Kemangkatan Raja Puan Besar Perak.

Kenyataan Media Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abdul Kadir Mengumumkan Kemangkatan DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahirahmanirrahim

Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani Binti RajaShahar Shah telah mangkat pada pukul 5.07 petang,hari Selasa tarikh 3 Oktober 2017 Masihi bersamaan 12 Muharam 1439 Hijrah.

Sebagai tanda bersedih dan dukacita dengan kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Binti RajaShahar Shah, dengan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Negeri Perak akan berkabung sehingga selesai permakaman dan bendera negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separa tiang.

Jenazah Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 10.00 pagi hingga 11.30 pagi manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pukul 11.30 pagi.

Jenazah Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan dimakamkan di Makam DiRaja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada hari Rabu, 4 Oktober 2017 masihi bersamaan 13 Muharram 1439 Hijrah.

Saya Dr. Zambry Bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah subhanahuwataala dalam kalangan para solehah.

No comments:

Post a Comment