Saturday, 28 October 2017

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Berangkat ke Persemadian Raja Bhumibol.

 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah selaku Timbalan Yang Di-Pertuan Agong serta DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat ke Thailand untuk mewakili KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V untuk menghadiri Upacara Persemadian Diraja Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada 13 Oktober 2016. Upacara Persemadian DiRaja ini berlangsung selama lima hari bermula pada hari Rabu, 25 Oktober 2017. Pembakaran jasad Mendiang Raja Bhumibol diadakan pada hari Khamis 26 Oktober 2017. 

 

Selain Sultan Nazrin dan Tuanku Zara, tetamu diraja yang berangkat ialah Raja Bhutan Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Ashi Jetsun Pema Wangchuck, Putera Akishino dari Jepun, Raja Letsie III (Lesotho), Raja Tupou VI (Tonga), Permaisuri Mathilde (Belgium), Permaisuri Sofia (Sepanyol), Putera Mahkota Frederik (Denmark), Putera Mahkota Haakon Magnus (Norway) dan Putera Andrew Duke of York (United Kingdom). Antara pemimpin asing dan Ketua Negara yang menghadiri upacara bersejarah ini termasuk Halimah Yaacob (Singapura), Sir Peter Cosgrove (Australia), Hun Sen (Kemboja), James M.Mattis (Amerika Syarikat), Bounnhang Vorachith (Laos) dan Alan Peter S.Cayetano (Filipina).


Kerajaan Thai menganggarkan lebih 250,000 orang berhimpun berhampiran Grand Palace dan Sanam Luang yang merupakan kawasan istiadat untuk menyaksikan Upacara Persemadian Diraja itu.Acara bersejarah ini bermula pada Rabu petang dengan upacara membuat merit diraja sebagai persediaan untuk membawa Bekas Abu Mayat Diraja ke Krematorium Diraja di kawasan istiadat Sanam Luang Upacara pembakaran jasad diadakan pada Khamis mulai jam 7 pagi (waktu tempatan) dengan perarakan membawa Bekas Abu Mayat Diraja dari Grand Palace ke kawasan istiadat Sanam Luang. Pembakaran sebenar jasad bermula pada 10 malam (waktu tempatan).


Khamis diisytiharkan sebagai cuti umum di Thailand untuk membolehkan rakyat yang berkabung menghadiri upacara itu manakala kedai dan pusat hiburan juga dijangka tidak beroperasi pada berkenaan. Upacara Persemadian Diraja akan bersambung pada Jumaat serta Sabtu dan selesai pada Ahad, 29 Okt apabila Abu Diraja dipindahkan untuk bersemadi di dua kuil, Wat Rajabopidh dan Wat Bovoranives. Penamat Upacara Persemadian Diraja itu juga menandakan berakhirnya tempoh berkabung selama setahun di Thailand.


No comments:

Post a Comment