Thursday, 8 February 2018

Bandar DiRaja Kuala Kangsar : Masjid Ubudiah, Makam DiRaja Al Ghufran, dan Istana Kenangan .

Pada 2 Februari hingga 4 Februari 2018, Editor Warisan Permaisuri Melayu berkesempatan untuk melawat Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Bandar DiRaja ini banyak menyimpan khazanah diraja Kesultanan Perak Darul Ridzuan. Editor Warisan Permaisuri berpeluang untuk melawat Masjid DiRaja Ubudiah dan juga Makam DiRaja Al Ghufran yang terletak di perkarangan Masjid Ubudiah juga berpeluang untuk melawat Istana Kenangan yang terletak berdekatan Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. 

MASJID DIRAJA UBUDIAH.




Ubudiah bermaksud pengabdian kepada Allah yang Maha Agung. Pada tahun 1911 ketika berehat di Port Dickson setelah menjalani rawatan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya baginda pulih. Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda menitahkan supaya Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk menyediakan reka bentuk masjid itu. Tuan Hubback, arkitek yang ditugaskan untuk menyediakan reka bentuknya telah menerapkan unsur-unsur seni bina Moor dalam reka bentuknya. Tuan Caulfield, Jurutera Negeri telah ditugaskan untuk melaksanakan pembinannya. Kerja pembinaan masjid ini bermula pada 26 September 1913 tetapi telah tergendala akibat batu marmar asal yang diimport dari Itali telah dirosakkan oleh 2 ekor gajah yang bertempur di tapak pembinaannya. Masjid ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1917 dengan kos sebanyak $189,000.00. Dukacitanya, Sultan Idris tidak sempat untuk melihat masjid ini siap kerana baginda mangkat pada tahun 1916. 


Pada tahun 1993, Jabatan Kerja Raya Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk menambah keluasan masjid ini kerana ruang sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat. Kerja pengubahsuaian ini melibatkan pembinaan bangunan tambahan di sisi bangunan kediaman,bilik air dan tempat wuduk. Kerja pengubahsuaian itu mengambil masa selama 2 tahun dan menelan belanja sebanyak RM 2.9 juta. Kerja pembinaan itu telah mengambil langkah keselamatan yang perlu bagi memastikan keaslian seni bina Moor bangunan ini sentiasa terpelihara. Setelah siap masjid ini dapat menampung jemaah seramai 2,300 orang. 


Pada tahun 2002, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak Ke-34 telah menitahkan supaya Kerajaan Negeri memulihara masjid ini ketahap kegemilangan asalnya. Dalam masa pengubahsuaian buat kali kedua, segala usaha telah dibuat untuk mengekalkan kegemilangan dan keunikan seni bina Moor nya. Dalam kerja pemuliharaan masjid ini, dewan solat telah diberi sentuhan hiasan baru, serta dilengkapi sistem penyaman udara. Siling baru berukir yang dilakukan oleh sekumpulan pengukir mahir yang dibawa khas dari Uzbekistan. Laman konkrit telah dibina sekeliling masjid dan persekitarannya pula dihiasi dengan seni taman yang baru mengambil kira semua aspek bangunan ini supaya sesuai dan harmoni. Kerja pemuliharaan ini melibatkan 9 kontraktor yang berlainan, dan siap dalam masa 3 bulan dengan kos sebanyak RM 4.8 juta. Masjid ini siap diubahsuai tepat pada masa ulang tahun Keputeraan Paduka Seri Tuanku Yang Ke-75 pada 19 April 2003.




MAKAM DIRAJA AL-GHUFRAN.

Makam DiRaja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar merupakan makam diraja bagi kesultanan Perak Darul Ridzuan. Makam diraja ini terletak bersebelahan Masjid DiRaja Ubudiah. Makam diraja ini dibina pada tahun 1915 dan mempunyai pengaruh seni bina Moghul dan menyerupai seakan-akan Taj Mahal di India. Seramai 8 orang Sultan Perak dimakamkan disini. Sultan Perak pertama yang dimakamkan di makam ini ialah Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I pada tahun 1916. Sultan-Sultan Perak yang lain ialah Almarhum DYMM Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Mukhataram Shah (1918), Almarhum DYMM Sultan Abdullah Muhammad Shah II (1922), Almarhum DYMM Sultan Iskandar Shah Kadasullah (1938), Almarhum DYMM Sultan Abdul Aziz Al Mutassim Billah Shah (1948), Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah (1963), Almarhum DYMM Sultan Idris Shah II (1984) dan terbaru sekali Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (2014). 


Seramai 7 orang Raja Perempuan Perak dimakamkan di makam diraja ini terdiri daripada Almarhum DYMM Raja Perempuan Tipah, Almarhum DYMM Raja Perempuan Nuteh Aishah (1920), Almarhum DYMM Raja Perempuan Nuteh Zahra, Almarhum DYMM Raja Perempuan Khalijah(1939), Almarhum DYMM Raja Perempuan Taayah(1962), Almarhum DYMM Raja Perempuan Puteh Umi Kalsom(1972), dan Almarhum DYMM Raja Perempuan Muzwin (2011).


Seramai 3 orang Raja Muda Perak dimakamkan di sini terdiri daripada Almarhum DYTM Raja Muda Musa Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin, Almarhum DYTM Raja Muda Musa Almarhum Sultan Abdul Aziz(1983), dan Almarhum DYTM Raja Ahmed Sifuddin(1987). Manakala seramai 4 orang Raja DiHilir Perak dimakamkan di sini terdiri daripada Almarhum DYAM Raja Chulan Almarhum Sultan Abdullah(1933), Almarhum DYAM Raja Kamarulzaman Raja Mansur(1962), Almarhum DYAM Raja Ekram Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin(1978), dan Almarhum DYAM Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik(1997). Antara kerabat diraja Perak yang dimakamkan disini ialah putera Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Almarhum YTM Raja Ashman Shah yang mangkat pada 2012. 


Makam diraja ini juga menempatkan pusara bagi Orang-Orang Besar negeri Perak. Antara yang disemadikan di makan diraja ini ialah Allahyarham Tun Suffian Hashim, Bekas Ketua Hakim Negara yang meninggal dunia pada tahun 2000, YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Othman Talib(1984), YABhg Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Dato' Seri Wan Abdul Halim (1998) serta ramai lagi Orang Besar negeri Perak disemadikan disini. 


ISTANA KENANGAN (MUZIUM DIRAJA PERAK).


Muzium Diraja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama-nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas) telah didirikan pada tahun 1926, di bandar Kuala Kangsar, Perak, Malaysia oleh seorang tukang kayu yang bernama Haji Sopian dan dibantu oleh dua orang anaknya, mereka ini berasal dari Seberang Perai. Muzium ini dibina atas perintah DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kaddasallah) sebagai tempat bersemayam sementara, disebabkan ketika itu Istana Iskandariah masih lagi di dalam pembinaan menggantikan Istana Negara. Baginda DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga tahun 1933. Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama di hari-hari Perayaan DiRaja seperti hari keputeraan, perlantikan orang-orang besar Perak dan lain-lain Istiadat DiRaja Perak Darul Ridzuan.

Dari segi bentuk senibinanya, Istana Kenangan melambangkan senibina Melayu Tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu jenis berlian). Paku-paku besi tidak digunakan dalam pembinaan bangunan ini. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu yang menarik yang menggunakan tepas yang diam dengan corak-corak anyaman Melayu Tradisional dan warna dinding itu melambangkan warna negeri perak iaitu kuning,hitam, dan putih. Bangunan ini dibina di atas enam puluh batang tiang, di mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Bentuk bangunan ini melambangkan sebilah padang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bahagian tengah di atas bangunan ini ditempatkan sebuah singgahsana. Tingkat bawah bangunan ini pula digunakan sebagai pejabat rasmi Baginda, di mana ia mempunyai lantai simen dan disekelilingnya ditutup dengan bidai.

Nama Istana Kenangan telah diberikan pada tahun 1960-an setelah diperbaiki dengan dayausaha Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Istana Kenangan diduduki oleh keluarga DiRaja Perak sehingga tahun 1982, apabila Almarhum Sultan Idris II telah berkenan menyerahkannya di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negara. Pada tahun 1986, ia dijadikan Muzium DiRaja, di mana penyelenggaraannya diserahkan kepada Pentadbiran Negeri Perak Darul Ridzuan. Pada 16 November 1986, Muzium DiRaja Perak ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

Namun, Istana Kenangan ditutup untuk kunjungan kerana kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian semenjak tahun 2009. 

No comments:

Post a Comment