Tuesday, 25 September 2018

11 September 2018: Setahun Kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim.

Almarhum KDYMM Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah
(1927-2017).

Tarikh 11 September 2017 merupakan satu tarikh yang cukup sedih buat rakyat negeri Kedah dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Sultan Kedah yang disayangi, KDYMM Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada usia 90 tahun, meninggalkan satu legasi yang amat hebat sepanjang 59 tahun bertakhta. Pengalaman baginda yang amat luas dalam pentadbiran amat dihormati. Menaiki takhta pada usia muda menjadikan baginda lebih matang dalam pemerintahan negeri dan negara. Menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada usia yang muda iaitu 43 tahun dalam keadaan negara yang baru pulih dari peristiwa hitam merupakan cabaran buat Almarhum Tuanku. Namun, Almarhum berjaya memulihkan negara bergandingan bersama Allahyarham Tun Abdul Razak. Almarhum menghabiskan 5 tahun pemerintahan dengan jayanya. Almarhum mengukir sejarah sebagai satu-satunya Raja Melayu yang menaiki takhta sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebanyak 2 kali. 



Pada tahun 2011, ketika berusia 84 tahun, Almarhum berangkat ke Kuala Lumpur untuk memulakan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14. Almarhum menjalankan tugas dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat walaupun kesihatan baginda sering mengganggu akibat usia yang sudah melebihi 80 tahun. Namun, demi rakyat, baginda kuatkan semangat untuk muncul dalam majlis-majlis. Almarhum berjaya menghabiskan penggal kedua pemerintahan sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2016 dan kembali ke negeri kesayangan baginda untuk bertakhta sebagai Sultan. 


Namun, sepanjang bergelar Yang Di-Pertuan Agong, baginda menyaksikan kemangkatan kekanda dan adinda-adinda baginda yang amat mendukacitakan. Adinda Almarhum, Almarhum YTM Tunku Bendahara Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah mangkat pada 21 Mei 2014. Selepas itu pada 21 September 2015,adinda ipar baginda, Almarhum DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pula mangkat. Selang 2 bulan, kekanda baginda Almarhum YTM Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah pula mangkat pada 4 November 2015. 3 minggu selepas kemangkatan kekanda baginda, adinda baginda pula iaitu Almarhum DYTM Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah pula mangkat. Namun baginda kuatkan semangat untuk terus berkhidmat sebagai payung negara bagi rakyat Malaysia. Sesungguhnya semangat dan iltizam Almarhum harus dicontohi oleh semua rakyat Malaysia dan Almarhum akan sentiasa berada dalam doa kami. 







No comments:

Post a Comment