Saturday, 27 October 2018

Istiadat Pertabalan KDYMM Sultan Kedah Ke-29.

ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN KEDAH DARUL AMAN KE-29
22 OKTOBER 2018
BALAIRONG SERI ISTANA ANAK BUKIT

KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehhuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah selamat ditabalkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Ke-29. Istiadat Pertabalan Baginda diadakan pada 22 Oktober 2018 dengan penuh adat istiadat Kesultanan Kedah. Kali terakhir negeri Kedah menyaksikan Pertabalan Sultan Kedah adalah pada tahun 1959 di mana Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah ditabalkan. Sultan Sallehuddin menggunakan gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehhuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebaik sahaja baginda ditabalkan. Sultan Sallehuddin merupakan Sultan Kedah tertua yang ditabalkan apabila baginda ditabalkan pada usia 76 tahun. 

YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Istiadat Pertabalan yang penuh gilang gemilang ini diadakan di Balairong Seri, Istana Anak Bukit, Alor Star. Sekitar jam 10.00 pagi, tetamu kehormat yang terdiri daripada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Brunei Darussalam, Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda, Wakil-wakil Raja Melayu, dan pembesar-pembesar negeri berangkat ke Istana Anak Bukit. Kenderaan yang membawa KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha tiba di Anjung Melur pada pukul 10.37 pagi. Baginda berdua memakai persalinan diraja berwarna kuning, berlainan dengan persalinan yang dipakai Almarhum Sultan Abdul Halim sebelum ini. Baginda berdua kemudiannya berangkat ke Balai Penghadapan sebelum dibawak berangkat masuk ke Balairong Seri untuk Istiadat Pertabalan. 

DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

YTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.

DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzudin dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Bermula pukul 10.40 pagi, ketibaan masuk satu persatu tetamu kehormat ke Balairong Seri bermula dengan ketibaan masuk YTM Tengku Bendahara Kedah Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan YABhg Toh Puan Bendahara Kedah Dato' Nora Binti Abdullah, YTM Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan YTM Tunku Laksamana Kedah Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin. Seterusnya ketibaan YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Bin Tun Dr Mahathir dan YABhg Tok Puan Norzieta Binti Zakaria. Ketibaan masuk diteruskan dengan ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail dan YB Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim diikuti dengan ketibaan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Bin Mohamad dan YABhg Tun Dr Siti Hasmah Binti Mohd Ali yang mewakili kerajaan Persekutuan. 

DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Che Puan Zaheeda.

TYT Tun Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Ragad.

TYT Tun Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Norlidah.

TYT Tun Khalil Yaakob.

Keberangkatan masuk wakil Raja-Raja Melayu dimulakan dengan keberangkatan masuk wakil DYMM Sultan Johor, YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim diikuti dengan keberangkatan masuk YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Keberangkatan masuk diteruskan dengan keberangkatan DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa diikuti dengan YTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin. Kemudiannya keberangkatan masuk DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. Diikuti dengan keberangkatan masuk DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Kemudiannya keberangkatan masuk DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohd Ariff.

TYT Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Majimor Shariff.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah.

YMM Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Brunei dan DYTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Ketibaan Yang Di-Pertua Negeri- Yang Di-Pertua Negeri dimulakan dengan ketibaan masuk TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Khurdi Taib. Seterusnya ketibaan masuk TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Tan Sri RM Jasni diikuti dengan ketibaan masuk TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob. Seterusnya ketibaan masuk TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Utama Majimor Shariff. 

YTM Tunku Laksamana Tunku Shazuddin Arif, YABhg Toh Puan Bendahara Dato' Nora, YTM Tunku Bendahara Tunku Abdul Hamid Thani, YABhg Tok Puan Norzieta, YAB Dato' Seri Mukhriz dan YABhg Tun Dr Siti Hasmah.

YAM Tunku Ali, YTM Tengku Muhammad Ismail, DYTM Tuanku Lailatul, DYTM Tuanku Syed Faizzuddin, YABhg Toh Puan Ragad, TYT Tun Taib dan TYT Tun Khalil Yaakob.

DYTM Raja Muda Selangor dan DYTM Raja Muda Perak.


Istiadat diteruskan dengan keberangkatan masuk Pemangku-Pemangku Raja. KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berangkat masuk ke Balairong Seri diikuti dengan keberangkatan masuk YMM Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra. Keberangkatan masuk yang terakhir adalah keberangkatan masuk DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Brunei Darussalam Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Binti Pengiran Salleh Abdul Rahman. 

Keberangkatan masuk KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah Kedah.



Tepat pukul 11.00 pagi, payung diraja dibawa masuk ke Balairong Seri seterusnya juruiring-juruiring yang membawa payung kuning diraja yang diberi nama Payung Obor-Obor ini mengambil tempat di dalam Balairong Seri. Selepas itu diikuti dengan keberangkatan masuk KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha ke Balairung Seri diringi oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh YBhg Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin. Bacaan selawat berkumandang di Balairong Seri mengiringi baginda berdua berangkat masuk ke Balairung Seri yang kemudiannya nobat turut dipalukan.Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja serta juru-juru iring mengambil tempat.




YBhg Datuk Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-Datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas. Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah  KDYMM Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah DiRaja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan.

KDYMM Sultan Sallehuddin membacakan lafaz sumpah.



Mufti Kedah Sahibus Samahah Datuk Sheikh Fadzil Awang diiringi YBhg Datuk Setia Jaya dan YBhg Datuk Murshid DiRaja selepas itu memimpin bacaan doa serta membaca lapan kalimah ayat dari Surah Al-Imran, Ayat 26. Ketua Istiadat mengadap KDYMM Sultan Sallehuddin dan mempersembahkan al-Quran dan baginda menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.



DYTM Raja Muda Kedah menyampaikan titah taat setia mewakili kerabat negeri Kedah.


YAB Menteri Besar Dato' Seri Mukhriz Mahathir selepas itu membacakan Watikah Perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah dan YBhg Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca KDYMM Sultan Sallehuddin.



KDYMM Sultan Sallehuddin mengucup keris kerajaan.

Selesai pembacaan watikah itu, Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan Keris Kerajaan dengan lafaz “Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik Pohon Di Ampun, Patik menyembahkan Keris Kerajaan sebagai lambang kebesaran kedaulatan dan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku“. Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil Keris Kerajaan, menghunus serta mengucup dan meletaknya di meja khas. YBhg Datuk Paduka Ketua Istiadat selepas itu membuat pengumuman: “Dengan Izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabal sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29” Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang disusuli laungan, “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir.

KDYMM Sultan Sallehuddin mengucup Al-Quran.

Nobat kemudiannya dipalu disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan dan setelah paluan nobat itu, lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan. Sebaik KDYMM Sultan Sallehuddin berangkat bersemayam semula di atas singgahsana, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin mempersembahkan ucapan tahniah bagi mewakili kerabat Diraja dan selepas itu YAB Menteri Besar Dato' Seri Mukhriz mengambil giliran memberikan ucapan tahniah bagi mewakili kerajaan dan rakyat. Sebaik tamat, Sahisbus Samahah Sheikh Fadzil sekali lagi memimpin bacaan doa dan selepas itu Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat. Istiadat Pertabalan diakhiri dengan keberangkatan keluar KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha meninggalkan Balairong Seri. 



DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!

4 comments:

  1. Salam admin...selempang untuk darjah kebesaran apa yang baginda Tuanku berdua pakai?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam. Saya pun tak sure. Tapi rasanya tu selempang darjah kebesaran Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Yang Amat Dihormati Negeri Kedah Darul Aman (SSSK).

      Delete
    2. Darjah Kerabat Peribadi Sultan Sallehuddin (D.K.P) tu En Admin.. dizahirkan sempena pertabalan KDYMM Tuanku Sultan dan Sultanah

      Delete
  2. Itu adalah selempang Darjah Kerabat Terpuji Sultan Salahuddin (DKP)

    ReplyDelete