Monday, 26 November 2018

Menziarahi Makam Diraja Al-Ghufran Bukit Chandan.

Pandangan hadapan makam.

Pada 25 November 2018, Editor Warisan Raja & Permaisuri Melayu telah berkesempatan untuk menziarahi Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Makam diraja yang menempatkan Makam Almarhum Sultan-Sultan Perak, Almarhum Raja Perempuan-Raja Perempuan dan juga kerabat diraja Perak ini terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah yang merupakan Masjid Diraja bagi negeri Perak. Makam ini siap dibina pada tahun 1915. Sultan Perak pertama yang dimakamkan di sini ialah DYMM Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Azzam Shah yang mangkat pada tahun 1916. Sehingga hari ini, seramai 8 orang Sultan Perak dimakamkan di sini dan yang terakhir adalah DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah. Seramai 7 orang Raja Perempuan Perak dimakamkan di sini dan yang terakhir ialah YMM Raja Perempuan Muzwin yang mangkat pada tahun 2011. Makam ini juga menempatkan makam bagi Raja Muda Perak, Raja DiHilir Perak, Raja-Raja Bergelar, anakanda-anakanda Sultan Perak serta pembesar negeri Perak. Al Fatihah buat semua Almarhum.


Bangunan utama makam.

Senarai DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran:
1. Sultan Perak Ke-28 Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I (Marhum Rahmatullah)-
    mangkat 1916
2. Sultan Perak Ke-29 Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah (Marhum
    Radziallah)-mangkat 1918
3. Sultan Perak Ke-26 Sultan Abdullah Muhammad Shah II Waliullah (Marhum
    Habibullah)-mangkat 1922
4. Sultan Perak Ke-30 Sultan Iskandar Shah Rahmatullah (Marhum Kaddasullah)-
    mangkat 1938
5. Sultan Perak Ke-31 Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah (Marhum
    Nik'matullah)-mangkat 1948
6. Sultan Perak Ke-32 Sultan Yussuf Izzuddin Shah Radziallah (Marhum Ghafarullahu-
    lah)-mangkat 1963
7. Sultan Perak Ke-33 Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II (Marhum
    Afifullah)-mangkat 1984
8. Sultan Perak Ke-34 Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfullah)-
    mangkat 2014




Senarai DYMM Raja Perempuan Perak yang dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran:

1. Raja Perempuan Ke-26 Raja Perempuan Tipah binti Almarhum Sultan 
    Shahabuddin Riayat Shah Saifullah
2. Raja Perempuan Ke-28 Raja Perempuan Nuteh Aishah Almarhum Sultan Yusuf
    Sharifuddin Muzaffar Shah (-mangkat 1920
3. Raja Perempuan Ke-29 Raja Perempuan Nuteh Zahra @ Jahrah binti Almarhum 
    Sultan Ali Al- Mukammal Inayat Shah Nabiallah
4. Raja Perempuan Ke-30 Raja Perempuan Puteh Umi Kalsom binti Almarhum Raja
    Kulop Muhammad Kramat- mangkat 1972
5. Raja Perempuan Ke-31 Raja Perempuan Khadijah binti Almarhum Sultan Idris
    Murshidul Azzam Shah I Rahmatullah- mangkat 1939
6. Raja Perempuan Ke-32 Raja Perempuan Taayah binti Almarhum Raja Abdul Hamid-
    mangkat 1962
7. Raja Perempuan Ke-33 Raja Perempuan Muzwin binti Raja Ariff Shah- mangkat
    2011.




Senarai DYTM Raja Muda Perak yang dimakamkan di Makam DiRaja Al-Ghufran:
1. Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah Waliullah-
    mangkat 1906
2. Raja Muda Musa II Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah
    Nikmatullah- mangkat 1983
3. Raja Muda Ahmad Saifuddin Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah-
    mangkat 1987



Makam-makam yang ditempatkan di bangunan utama makam.

Senarai DYAM Raja DiHilir Perak yang dimakamkan di Makam DiRaja Al-Ghufran:
1. Raja Chulan Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II Habibullah-
    mangkat 1933
2. Raja Kamarulzaman Ibni Raja Mansur- mangkat 1962
3. Raja Ekram Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah- mangkat
    1978
4. Raja Ahmad Hisham Ibni Raja Abdul Malek- mangkat 1997.


Senarai Kerabat-Kerabat Bergelar yang dimakamkan di Makam DiRaja Al-Ghufran:
1. Raja Mansur Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II Habibullah-
    mangkat 1934)
2. Raja Zainal Azman Shah Ibni Raja Chulan - (Raja Kecil Bongsu Perak- mangkat
    1956
3. Raja Abdul Rashid Ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I
    Rahmatullah - (Raja Bendahara Perak)- mangkat 1958
4. Raja Ashman Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfullah -
    (Raja Kecil Sulong  Perak)- mangkat 2012

5. Raja Shahruzzaman Ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi
    Shah II Afifullah- mangkat 2014


Makam-Makam di dalam bangunan utama Makam Diraja Al-Ghufran:

Makam Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfur-lah.

Makam Almarhum Sultan Idris Shah Afifullah.

Makam Almarhum Raja Perempuan Muzwin.

Makam Almarhum Raja Ashman Shah.





Makam Raja Muda Almarhum Raja Ahmad Sifuddin, Almarhum Raja Puan Muda Raja Nor Kamar, dan Almarhum Raja DiHilir Raja Ahmad Hisham.

Makam DYTM Raja Puan Besar Nor Izan.

Makam DYTM Raja Puan Besar Raja Nor Mahani

Makam DYAM Raja DiHilir Perak Almarhum Raja Dato Seri Ahmad Hisham.


Makam-makam di luar Bangunan Utama Makam Al-Ghufran:







Pemandangan indah Masjid Ubudiah daripada kawasan Makam Diraja.

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.


WARISAN PERMAISURI akan menyambung kisah wanita diraja di negara kita. Kali ini giliran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Binti Datuk Salim Davidson, D.K., D.K.S.A.,D.K.A. yang merupakan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan menggantikan bonda mertua baginda, YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun apabila suami baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke 35. 


Pada masa kini, barangkali baginda merupakan kerabat DiRaja yang paling dikenali di Malaysia. Hal ini kerana baginda adalah wanita yang berjaya mencuri hati seorang putera raja yang paling disanjungi rakyat Malaysia. Kecantikan dan kelembutan baginda sebagai seorang Permaisuri dan seorang bonda amat dikagumi. Kemunculan baginda dalam satu-satu istiadat atau majlis amat dinantikan kerana baginda seringkali akan menggayakan busana yang cantik dan menawan. Sesuai dengan gelaran seorang Permaisuri, Tuanku Zara memiliki pakej lengkap sebagai seorang wanita berpelajaran tinggi.


Dilahirkan sebagai Zara Binti Salim Davidson pada 22 Mac 1973 di Ipoh Perak. Baginda merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik. Ayah baginda ialah YBhg Dato' Seri William Stanley Walker Davidson (Salim Davidson) manakala bonda baginda ialah YBhg Dato' Seri Sharifah Azaliah Binti Tan Sri Syed Omar Shahabuddin. Baginda merupakan kerabat DiRaja Kedah disebelah bonda baginda. Baginda merupakan cicit kepada Sultan Kedah ke 24 Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Ini menjadikan Tuanku Zara anakanda cucunda saudara kepada YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Secara tidak langsung juga baginda merupakan anakanda saudara kepada Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin. Tuanku Zara juga merupakan cucu kepada Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin. Ayahanda baginda merupakan seorang peguam terkenal di Malaysia.


Baginda mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolahnya dalam sukan squash dan tenis dari tahun 1988 hingga tahun 1990. Baginda juga pernah mewakili negeri Perak dalam sukan renang bermula tahun 1981 hingga 1987. Minat baginda dalam bidang sukan tidak menghalang baginda untuk cemerlang dalam bidang pelajaran. Baginda meneruskan pelajarannya di peringkat A Levels di Prime College dan menamatkan pelajaran pada tahun 1992. Pada tahun yang sama juga baginda menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti of Nottingham, United Kingdom. Baginda menamatkan pelajaran dan mendapat ijazah kelas pertama pada Julai 1995 di usia 22 tahun. 


Setelah beberapa bulan tamat belajar, baginda bekerja di Petronas dalam Bahagian Penilaian Perniagaan,Unit Perancangan Korporat Petronas. Kemudiannya baginda menjadi Penganalisis Projek dalam Unit Petrokimia Perniagaan. Baginda seterusnya bekerja sebagai Pengurus Produk di syarikat Petlin (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah syarikat hasil kerjasama Petronas. Baginda meninggalkan Petronas pada tahun 2001 untuk bekerja sebagai Pengurus Akaun di Formis Network Services Sdn Bhd seterusnya dilantik sebagai Naib Presiden Formis (Malaysia) Bhd bermula tahun 2003 hingga 2005. Di antara tahun 2005 hingga 2007, baginda menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hydrocarbon. Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan penting dalam projek-projek berskala besar melibatkan syarikat luar negara. 


Bertemu jodoh dengan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika berusia 34 tahun. Istiadat persandingan baginda berdua diadakan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 19 Mei 2007. Perkahwinan baginda berdua diberi gelaran "Royal Wedding of the Year". Sesudah bergelar isteri kepada Raja Muda Perak ketika itu, Tuanku Zara diberi gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak oleh ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu Lah. Tuanku Zara juga dianugerahkan Darjah Kerabat Azlan Shah (D.K.S.A.). Baginda juga dikurniakan Darjah Kerabat Azlaani (D.K.A.). Sebagai Raja Permaisuri Perak, baginda telah dianugerahi dengan Darjah Kerabat Perak Yang Amat DiHormati (D.K.) Perak oleh paduka suami baginda.


Perkahwinan bahagia baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera sulung baginda dilahirkan pada 14 Mac 2008 diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, S.P.C.M., S.P.M.P yang kini bergelar Raja Kechil Besar Perak manakala puteri baginda diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Nazira Safya, S.P.C.M. yang diputerikan pada 3 Ogos 2011. Raja Azlan walaupun di usia yang muda sudah mula menunjukkan peribadi yang hebat sebagai bakal Sultan Perak. Keberangkatan tiba beliau dalam majlis rasmi di Perak memperlihatkan kesopanan sebagai seorang putera raja. Manakala kecomelan dan keletah Raja Nazira Safya amat mencuit hati rakyat jelata. 


Sebagai Permaisuri negeri Perak, baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Januari 2012 menggantikan bonda mertua baginda YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun. Baginda juga merupakan Penaung Pandu Puteri Cawangan Perak. Atas kapasiti baginda sebagai isteri kepada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Zara dilantik sebagai Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Tuanku Zara telah dikurniakan dengan "Honorary Fellowship" daripada Institute of Chemical Engineers (IChemE) pada April 2014 sebagai menghargai jasa baginda dalam bidang Kejuruteraan kimia dan sumbangan baginda dalam pembangunan pelajaran dalam negara. Baginda juga merupakan Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Penaung Convent Girls Alumni (COGA) dan banyak lagi persatuan dalam negeri dan negara. 


Sesungguhnya, kebijaksanaan dan keperibadian Tuanku Zara patut dijadikan contoh oleh rakyat Malaysia terutama kaum wanita. Kegigihan baginda untuk menuntut ilmu semenjak zaman muda disamping aktif dalam bidang sukan amat dikagumi. Rakyat Perak amat bertuah kerana mendapat seorang Permaisuri yang cantik dan berpelajaran tinggi. Dalam usia 45 tahun, Tuanku Zara masih mengekalkan kecantikan semula jadi baginda. Semoga Allah S.W.T melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.







Saturday, 10 November 2018

DYTM Raja Muda Perak Dilantik Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.



Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak. Pelantikan baginda diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah. Raja Jaafar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah hari ini. Jemaah Pemangku Raja Perak ini dibentuk untuk menjalankan pentadbiran negeri Perak dalam tempoh masa Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang Di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang Di-Pertuan Agong sehingga hujung tahun ini. Jemaah Pemangku Raja Perak ini akan berkuat kuasa esok.

Turut berangkat dalam istiadat angkat sumpah ini adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. Setiausaha Dewan Negara Perak, Dato' Ayob Hashim berkata, Sultan Nazrin turut berkenan melantik 2 orang anggota Jemaah Pemangku Raja Perak iaitu Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Dato' Seri DiRaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Bin Zainuddin dan Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja Dato' Seri DiRaja Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga merupakan Menteri Besar Perak Ke-8.  Dua orang anggota jemaah ini juga mengangkat sumpah di hadapan Sultan Nazrin. 

YABhg Tan Sri Zahidi dan YBhg Tan Sri Ramli.

Friday, 9 November 2018

Raja-Raja Melayu dan Darjah Kebesaran Jepun.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan negara Jepun telah wujud semenjak merdeka lagi. Tahun ini merupakan tahun ke-61 hubungan dua hala antara dua negara ini. Hubungan diplomatik dan ekonomi antara dua negara ini semakin kukuh dari tahun ke tahun. Lawatan diraja pertama ke Jepun adalah pada tahun 1964 dimana Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail berkenan berangkat ke Jepun untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun. Keberangkatan baginda berdua ke Tokyo disambut mesra oleh Maharaja Jepun Maharaja Hirohito dan Maharani Jepun Maharani Nagako. Lawatan balas daripada Maharaja Jepun pada tahun 1970 memperlihatkan Putera Mahkota Jepun Putera Mahkota Akihito dan Puteri Mahkota Michiko melawat Malaysia mewakili Maharaja dan Maharani Jepun. Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Timbalan Yang Di-Pertuan Agong KDYMM Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kemudian, pada tahun 1991, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko sekali lagi membuat lawatan ke Malaysia atas kapasiti sebagai Maharaja dan Maharani Jepun. Baginda berdua disambut oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun. Hubungan antara ketua negara Malaysia dan Jepun dikukuhkan lagi dengan lawatan kerja Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid pada bulan Mac 2005. Kemudian, lawatan balas dibuat pada tahun 2006 oleh Maharaja Akihito dan Maharani Michiko. Kali terakhir lawatan diraja dibuat ke negara Jepun adalah pada tahun 2012 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Haji Hamidun. Sepanjang hubungan diraja antara dua negara ini berlangsung, Darjah Kebesaran negara masing-masing dikurniakan kepada individu-individu diraja yang terlibat. Penganugerahan Darjah Kebesaran ini sebagai tanda hormat sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. Berikut merupakan Raja-Raja Melayu dan Permaisuri-Permaisuri yang pernah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran daripada Maharaja Jepun:

COLLAR OF THE SUPREME ORDER OF THE CHRYSANTHEMUM


Darjah kebesaran ini merupakan darjah tertinggi negara Jepun. Pangkat "Grand Cordon" untuk darjah ini dizahirkan pada 1876 oleh Maharaja Meiji. Manakala "Collar" bagi darjah ini dizahirkan pada 4 Januari 1888. Raja-Raja negara luar akan dikurniakan Collar of the Supreme Order of the Chrysanthemum yang mengandungi kalung darjah. 5 orang Raja Melayu dianugerahi dengan darjah kebesaran ini. 


1. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (15 Jun 1964).

2. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin (19 Februari 1970).

3. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah (30 September 1991).

4. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (7 Mac 2005).

5. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (2 Oktober 2012).

GRAND CORDON OF THE ORDER OF THE RISING SUN.


Darjah kebesaran ini merupakan darjah ketiga tertinggi dalam negara Jepun. Dizahirkan pada tahun 1875 oleh Maharaja Meiji. Darjah ini merupakan darjah kebesaran pertama yang dikurniakan oleh kerajaan Jepun. Darjah ini merupakan darjah tertinggi yang dikurniakan kepada rakyat Jepun kerana Order of Chrysanthemun dikhaskan kepada Ketua Negara sahaja manakala Order of Paulownia Flowers dikhaskan kepada ahli politik. Seramai 2 orang Raja Melayu yang pernah dikurniakan dengan darjah ini.

1. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Al-Mahsyur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (9 April 1934).

2. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (19 Februari 1970).

ORDER OF THE SACRED TREASURE



Darjah kebesaran ini merupakan darjah kebesaran ke-4 tertinggi dalam negara Jepun. Dizahirkan pada 4 Januari 1888 oleh Maharaja Meiji. Darjah kebesaran paling banyak dikurniakan kepada rakyat Jepun yang telah mempunyai pencapaian yang hebat dalam bidang penyelidikan, industri bisnes, penjagaan kesihatan, kerja kebajikan, dan penambahbaikan bagi kehidupan orang kurang upaya. Pada asalnya darjah ini diwujudkan hanya untuk penerima lelaki sahaja. Namun, pada tahun 1919, darjah ini mula dikurniakan kepada penerima wanita. Seramai 2 orang Raja Melayu pernah dikurniakan dengan Darjah Order of the Sacred Treasure 3rd Class dan seorang Permaisuri dikurniakan dengan Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure.

Image result for sultan badlishah
1. Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah- Order of Sacred Treasure 3rd Class (30 September 1943).

Image result for sultan ali terengganu
2. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ali Shah Ibni Almarhum Sultan Badrul Alam Shah- Order of Sacred Treasure 3rd Class (14 Oktober 1943).

Related image
3. Duli Yang Maha Mulia Sultan Musa Ghiatuddin Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.

4. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman- Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (19 Februari 1970).



GRAND CORDON OF THE ORDER OF PRECIOUS CROWN




Darjah Kebesaran ini merupakan darjah yang dikhaskan untuk penerima wanita sahaja. Dizahirkan pada 4 Januari 1888 oleh Maharaja Meiji. Darjah ini hanya dikurniakan kepada kerabat diraja wanita dan juga Permaisuri serta isteri pemimpin negara luar sahaja. Kebanyakan Permaisuri-Permaisuri di dunia dikurniakan dengan Darjah Kebesaran ini. Seramai 5 orang Raja Permaisuri Agong telah dikurniakan dengan darjah ini. 

1. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke- 3 Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail (15 Jun 1964).

Image result for tuanku intan zaharah
2. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-4 Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja (19 Februari 1970).

3. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-9 Tuanku Bainun (30 September 1991).


4. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-12 Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid (7 Mac 2005).

5. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-14 Tuanku Hajah Haminah Hamidun (2 Oktober 2012).