Saturday, 10 November 2018

DYTM Raja Muda Perak Dilantik Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.



Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak. Pelantikan baginda diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah. Raja Jaafar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah hari ini. Jemaah Pemangku Raja Perak ini dibentuk untuk menjalankan pentadbiran negeri Perak dalam tempoh masa Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang Di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang Di-Pertuan Agong sehingga hujung tahun ini. Jemaah Pemangku Raja Perak ini akan berkuat kuasa esok.

Turut berangkat dalam istiadat angkat sumpah ini adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. Setiausaha Dewan Negara Perak, Dato' Ayob Hashim berkata, Sultan Nazrin turut berkenan melantik 2 orang anggota Jemaah Pemangku Raja Perak iaitu Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Dato' Seri DiRaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Bin Zainuddin dan Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja Dato' Seri DiRaja Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga merupakan Menteri Besar Perak Ke-8.  Dua orang anggota jemaah ini juga mengangkat sumpah di hadapan Sultan Nazrin. 

YABhg Tan Sri Zahidi dan YBhg Tan Sri Ramli.

1 comment:

  1. Hi assalamualaikum.. izinkan saya bertanya.. makam yang berwarna maroon gold tu makam siapa ya?

    ReplyDelete