Wednesday, 26 December 2018

YMM Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah, Lambang Kedaulatan Wanita Melayu


Kali ini kita mengenali Wanita Melayu Pertama bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Baginda merupakan penanda aras bagi kemajuan wanita di Malaysia. Baginda merupakan puteri raja yang sangat sederhana, baginda yang dimaksudkan adalah Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Puan Besar Kursiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, D.K.(Negeri Sembilan),D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kedah).


YMM Tuanku Puan Besar Kursia diputerikan pada 16 Mei 1911 di Istana Baroh Seri Menanti, Negeri Sembilan. Merupakan puteri diraja Negeri Sembilan dan puteri sulung kepada YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Ayahanda baginda merupakan Tunku Besar Seri Menanti paling lama memegang jawatan iaitu selama 73 tahun. Ayahanda baginda juga pernah menjadi Pemangku Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan. Bonda baginda ialah YABhg Che Puan Sharifah Alawiyah. Tuanku Kurhsiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti dan seterusnya mengikuti kelas bimbingan peribadi dalam bahasa Inggeris. Baginda mendapat pendidikan dan bimbingan yang secukupnya sebagai seorang puteri raja. 


Bertemu jodoh dengan DYMM Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sebagai isteri ketiga pada 21 Mac 1929 di Sri Menanti ketika baginda berusia 18 tahun. Baginda dikurniakan 2 orang puteri di atas perkahwinan baginda berdua. Puteri sulung baginda ialah Almarhum DYMM Sultanah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sultanah Kedah Darul Aman dan juga Raja Permaisuri Agong Ke-5. Seorang lagi puteri baginda ialah YAM Tunku Shahariah Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Tunku Puan Bendahara Johor. Dua orang menantu baginda pula ialah KDYMM Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan YAM Tunku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi.


Bergelar Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1933 ketika berusia 22 tahun apabila suami baginda diisytiharkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru menggantikan Almarhum Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah. Tuanku Kurshiah ditabalkan sebagai Tuanku Ampuan Besar di Istana Lama Seri Menanti pada 21 April 1934. Baginda menjadi Tunku Ampuan Besar selama lebih kurang 26 tahun sehingga tahun 1960. Pada tahun 1957, DYMM Tuanku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Pertama. Serentak dengan itu, Tuanku Kursiah telah ditabalkan menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong selama 3 tahun kerana suami baginda mangkat pada tahun 1960.


Banyak jasa dan sumbangan baginda semasa baginda menjadi Raja Permaisuri Agong.Pengalaman baginda selama 24 tahun sebagai Tuanku Ampuan Besar sebelum menjadi Raja Permaisuri Agong amat berguna. Bagindalah pengasas Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (Women Institute). Baginda juga mengasaskan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) dan Persatuan Pandu Puteri Tanah Melayu. Pada tahun 1954 semasa menjadi Tunku Ampuan Besar, baginda dilantik sebagai Presiden Pergerakan Pandu Puteri Negeri Sembilan dan Penaung Institut Wanita Negeri Sembilan. Pada tahun Mei 1961,walaupun baginda bukan lagi Raja Permaisuri Agong,baginda telah menubuhkan Majlis Kebajikan Wanita Islam dan menjadi Presidennya yang pertama.


Selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Rahman,Tuanku Kursiah menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Tuanku Puan Besar Kursiah. Baginda meneruskan kehidupan baginda secara sederhana di Istana Seri Menanti. Baginda sering berangkat ke Istana Kuala Cegar untuk melawat puteri baginda Sultanah Bahiyah. Baginda juga aktif berpesatuan dan baginda sering mencemar duli ke majlis-majlis persatuan baginda. Pada 27 Oktober 1974,baginda dianugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah oleh Majlis Wanita Kebangsaan di atas segala jasa baginda menaikkan taraf wanita dan kanak-kanak dari segi kebajikan dan pendidikan. 



Sebagai seorang Permaisuri, baginda telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran sebagai mengiktiraf jasa baginda. Pada tahun 1958, baginda menjadi wanita pertama dianugerahkan gelaran Tun apabila dianugerahi Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) oleh suami baginda Tuanku Abdul Rahman. Baginda juga dianugerahi Darjah Kerabat Kedah (D.K) oleh menantu baginda Tuanku Abdul Halim pada tahun 1964 dan juga Darjah Kerabat Negeri Sembilan (D.K.) oleh anakanda tiri baginda Tuanku Jaafar. Pada tahun 1980, selepas 20 tahun baginda menuruni takhta sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda telah dikurniakan darjah kebesaran yang tertinggi dianugerahkan kepada seseorang Permaisuri. Baginda telah dianugerahi Darjah Utama Seri Mahkota Negara oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah. 

Sebagai salah seorang Permaisuri utama dalam negara, baginda mempunyai banyak talian persaudaraan diraja dengan kerabat negeri lain. Baginda telah mangkat pada 2 Februari 1999 di usia 88 tahun di Kuala Lumpur. Baginda mangkat pada pukul 4.50 petang didalam tidur. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan bersebelahan Makam Almarhum suami baginda. 


Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan baginda terhadap negara,kerajaan telah nama Maktab Perempuan Melayu kepada Kolej Tunku Kursiah mengambil sempena nama baginda. Universiti Malaya juga telah menamakan Kolej Kediaman Universiti Malaya kepada Kolej Tunku Kursiah. Selain itu, nama baginda juga diabadikan pada tempat dan jalan seperti Jalan Tuanku Kurshiah di Seremban, Taman Tuanku Kurshiah di Seremban, SK Tunku Kurshiah dan SMK Tunku Kurhsiah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pejabat Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) juga diberikan nama Bangunan Tuanku Puan Besar Kurshiah terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. Al Fatihah buat Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Semoga Allah S.W.T Mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.





Sunday, 16 December 2018

DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani.



WARISAN PERMAISURI diteruskan dengan kisah Permaisuri-permaisuri di negara kita. Kali ini giliran Permaisuri yang bertakhta di atas takhta Negeri Sembilan Darul Khusus. Baginda merupakan puteri Diraja Terengganu. Baginda ialah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, D.K., D.K.(Pahang), D.P.T.J., P.P.T.

Ketika Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda diputerikan sebagai Yang Mulia Tengku Aishah Rohani Binti Tengku Besar Mahmud pada 19 Jun 1952 di Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan. Baginda merupakan cucunda kepada Sultan Terengganu iaitu Almarhum Sultan Zainal Abidin III. Ayahanda baginda merupakan Tengku Sri Utama Raja Terengganu iaitu Yang Amat Mulia Tengku Besar Mahmud Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin,PSD. Manakala bonda baginda pula ialah YBhg To' Puan Hajah Zainun Meriam Binti Haji Su Mahmud. Baginda merupakan cucu kepada Menteri Besar Terengganu Dato' Sri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad Bin Yusuf. Ayahanda baginda Tengku Besar Mahmud yang berkelulusan University Oxford memegang jawatan didalam Kementerian Pertahanan sehingga tahun 1972 sebelum menjadi Datuk Paduka Maharaja Lela bermula tahun 1974 hingga 1984.

Ketika Istiadat Pertabalan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda juga merupakan anakanda saudara kepada 3 orang Sultan Terengganu iaitu Almarhum Sultan Haji Muhammad II Muadzam Shah, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, dan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin yang merupakan Yang Di Pertuan Agong ke 4. Ini menjadikan baginda Tuanku Aishah Rohani bonda saudara kepada Sultan Terengganu KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dan juga bonda saudara kepada KDYMM Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid yang merupakan cucunda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tuanku Aishah Rohani juga merupakan sepupu kepada Almarhum Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang merupakan bonda tiri kepada Almahum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan bonda kepada KDYMM Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Ini menjadikan baginda berpangkat bonda saudara kepada Sultan Sallehuddin.


Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Terengganu sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Convent Taiping Perak dan seterusnya ke sebuah sekolah terkenal di Kuala Lumpur iaitu Convent Bukit Nanas. Bertemu jodoh dengan DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 25 April 1974 dikala usia baginda mencecah 22 tahun. Baginda bekerja di Citibank Kuala Lumpur sebelum bertemu jodoh dengan Tuanku Muhriz yang ketika itu bergelar YAM Tunku Besar Seri Menanti. Istiadat perkahwinan baginda diadakan di Istana Maziah Terengganu. Manakala Istiadat Bertandang diadakan di Istana Lama Seri Menanti Kuala Pilah dan Istana Munarah Seremban. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan 3 orang puteri iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, YAM Tunku Zain Al Abidin, dan YAM Tunku Alif Hussien Saifuddin Al Amin. Putera bongsu baginda Tunku Alif Hussien mangkat pada 15 Januari 2016. 


Suami baginda, DYMM Tuanku Muhriz menaiki takhta Negeri Sembilan setelah kemangkatan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tahun 2008. Penantian baginda terhadap takhta Negeri Sembilan selama 41 tahun yang akhirnya kembali kepangkuan baginda. Tuanku Muhriz diishtiharkan sebagai Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11 pada 29 Disember 2008 dan ditabalkan di Istana Besar Seri Menanti pada 26 Oktober 2009. Tuanku Aishah Rohani pula ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 14 April 2009. Pertabalan Tunku Ampuan biasanya diadakan sebelum pertabalan Yang Di Pertuan Besar. 

Selaku Canselor USIM.

Tuanku Aishah Rohani merupakan seorang yang sangat sederhana. Penampilan baginda dalam kebanyakan majlis menyaksikan bahawa baginda tidak keterlaluan. Baginda juga merupakan seorang permaisuri yang sangat prihatin dan disenangi oleh rakyat Negeri Sembilan. Baginda seringkali dilihat mengiringi suami baginda ke majlis-majlis rasmi mahupun majlis-majlis melibatkan Agama Islam. Baginda juga seorang yang pemurah dengan senyuman.


Tuanku Aishah Rohani dikurniakan Darjah Kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati (D.K.N.S.) oleh suami baginda pada 21 April 2009. Sebelum bergelar permaisuri, baginda juga pernah dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Tuanku Jaafar (D.P.T.J.) oleh Almarhum Tuanku Jaafar dan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.). Pada tahun 2014, baginda dikurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat DiHomati bersempena sambutan 40 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang.


Baginda merupakan Ahli Kuala Lumpur Speaker's Club, Inner Wheel Club, dan juga Rotary Club Kuala Lumpur. Baginda juga merupakan Penaung Pandu Puteri Negeri Sembilan dan Institut Wanita Negeri Sembilan. Pada Disember 2011, baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggantikan YMM Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Baginda merupakan Canselor kedua Universiti itu. DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud kini berusia 66 tahun dan baginda amat aktif  dalam kebajikan rakyat negeri baginda. Semoga Tuanku dan Tuanku Muhriz dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah untuk terus berkhidmat untuk Negeri Sembilan Darul Khusus.

Bersemayam di dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan.


Keluarga bahagia Tuanku Aishah Rohani.


Sunday, 9 December 2018

YMM Almarhum Tengku Ampuan Jemaah Raja Ahmad..Permaisuri Berjiwa Seni..


Entry kali ini berkaitan dengan permaisuri negeri Selangor Darul Ehsan pula.Gelaran bagi permaisuri berdarah raja adalah Tengku Ampuan manakala pemaisuri dari kalangan kebanyakan digelar Tengku Permaisuri.Berdarah kerabat Selangor baginda yang dimaksudkan adalah Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Ampuan Raja Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad,D.K.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-2

Tengku Ampuan Jemaah diputerikan pada tahun 1900 di Bandar Temasha Kuala Langat Selangor.Merupakan puteri kepada kerabat diraja Selangor Almarhum Raja Ahmad dan Almarhum Raja Fatimah Binti Raja Tahir. Mendapat pendidikan awal di sebuah Sekolah Melayu yang terletak di kawasan Istana Bandar Temasha.Mendapat didikan sebagai seorang puteri raja yang cukup sempurna daripada keluarga baginda.

Sultan dan Tengku Ampuan Selangor.

Pada tahun 1920,ketika baginda berusia 20 tahun,Tengku Ampuan Jemaah telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Alaedin Sulaiman Shah.Ketika itu Sultan Hisamuddin merupakan pengiring diraja kepada Sultan Alaedin.Secara automatik,setelah berkahwin Tengku Ampuan Jemaah menjadi pengiring diraja kepada Tengku Ampuan Fatimah,bonda mertua baginda.Pada tahun 1926,pasangan diraja ini telah dikurniakan seorang putera iaitu DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Sultan Selangor  Ke 9.Tengku Ampuan Jemaah merupakan nenda kepada Sultan Selangor sekarang.

Menerima kunjungan daripada DYMM Sultan Yusuf Izzudin dan DYMM Raja Perempuan Taayah.

Tengku Ampuan Jemaah ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Selangor pada tarikh 26 Januari 1939 ketika baginda berusia 39 tahun.Namun suami baginda diturunkan takhta pada zaman pendudukan Jepun.Jawatan baginda diambil alaih oleh Permaisuri Sharifah Mastura.Namun,setelah British kembali,Takhta Selangor telah dikembalikan kepada baginda berdua.Baginda menduduki takhta kerajaan Selangor sebagai Tengku Ampuan selama lebih kurang 17 tahun.


Pada 14 April 1960 baginda telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serentak dengan perlantikan Sultan Hisamuddin sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kedua.Namun,suami baginda mangkat akibat penyakit misteri sebelum pertabalan pada 1 September 1960.Tengku Ampuan Jemaah menjadi Raja Permaisuri Agong tidak sampai tempoh 5 bulan.

Tengku Ampuan Jemaah bersama Raja Perempuan Taayah.

Pada tahun 1952,baginda telah menunaikan fardu haji di Makkah dan pada tahun 1953 baginda menemani Sultan Hisamuddin menyaksikan pertabalan Ratu Elizabeth 11.Baginda merupakan seorang yang sangat meminati hasil seni.Hal ini dapat dilihat apabila Tengku Ampuan Jemaah rajin mencuba pelbagai kerja pertukangan tangan di istana.Baginda sangat mahir menyulam,mengait dan membuat sulaman tampal.Di Klang,baginda mengumpulkan kaum wanita di seluruh pelosok Selangor dan memulakan program latihan seni pertukangan tangan untuk semua kaum wanita.Hasil kerja tangan ini dihantar ke Hotel Reffles Singapura di bawah jenama "Pertukangan Tangan Melayu Selangor" yang dibiayai oleh isteri Gabenor Singapura ketika itu.

Potret rasmi DYMM Tengku Ampuan Selangor.

Kedai Pertukangan Tangan Melayu telah dibuka di Klang dan cawangan seterusnya dibuka di Kedai Robinson di Kuala Lumpur.Satu lagi kejayaan baginda adalah "Gerai Selangor "di pameran Malaysian Agriculture,Horticulture and Agrotourism (MAHA) di Kuala Lumpur menarik perhatian ramai pelancong Eropah pada ketika itu.Beberapa anugeah barangan perak yang dimenangi gerai itu boleh dilihat di Muzium Istana Alam Shah.

Setelah kemangkatan Almarhum suami baginda pada tahun 1960,baginda bersemayam selaku bonda kepada Sultan Selangor.Baginda mangkat pada 8 April 1973 ketika usia 73 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Klang.Sebagai mengenang jasa Tengku Ampuan Jemaah beberapa buah sekolah telah dinamakan sempena nama baginda.Hospital Tengku Ampuan Jemaah juga mengambil sempena nama baginda.

Berikut gambar kenangan Almarhum Tengku Ampuan Jemaah:

Diatas singgahsana Istana Selangor.


Lukisan potret baginda.


Saturday, 8 December 2018

Almarhum Yang Maha Mulia Raja Perempuan Muzwin Perak.



Kali ini kita ke negeri Perak Darul Ridzuan pula.Tentu kita tertanya tanya siapakah gerangan empunya diri di dalam gambar ini.Baginda merupakan permaisuri terakhir di Perak setakat ini yang menggunakan gelaran Raja Perempuan.Baginda adalah Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Raja Perempuan Muzwin binti Almarhum Raja Dato' Seri Ariff Shah,D.K.,S.P.M.P.,Raja Perempuan Perak Ke 33.

YAM Raja Dato Seri Arif Shah(ayahanda Raja Perempuan Muzwin), DYMM Raja Perempuan Muzwin, DYMM Sultan Idris Shah dan DYTM Raja Azlan Shah.

Diputerikan pada 1 Mac 1929 di Batu Gajah Perak.Baginda merupakan kerabat diraja Perak.Ayahanda baginda ialah YAM Raja Dato' Seri Ariff Shah Ibni Almarhum Raja Harun Al Rashid.Bonda baginda pula ialah YABhg Che Puan Azizah Abdullah.Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Methodist Ipoh bermula pada tahun 1936 hingga 1941.Baginda sangat fasih berbahasa Kantonis.


Bertemu jodoh dengan DYMM Almarhum Sultan Idris Shah pada bulan Ogos 1943.Ketika itu baginda  cukup muda.Pasangan diraja ini dikurniakan dengan 2 orang putera dan 2 orang puteri.Salah seorang anakanda baginda adalah Isteri Sultan Johor iaitu DYMM Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.Dilantik sebagai Raja Puan Besar Perak  pada tahun 1957 setelah suami baginda dilantik sebagai Raja Muda Perak.Tanggal 26 Oktober 1963,baginda ditabalkan sebagai DYMM Raja Perempuan Perak setelah kemangkatan Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.Baginda menjadi Raja Perempuan Perak selama 20 tahun sehingga kemangkatan suami baginda pada tahun 1983.Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Idris Shah,baginda menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Raja Perempuan Muzwin Perak.


Raja Perempuan Muzwin bersemayam di Istana Riswin Ipoh setelah kemangkatan suami baginda.Baginda tinggal bersama puteri baginda iaitu Raja Puan Mahkota Perak Raja Nazatulshima Sultan Idris Shah.Walaupun bergelar bekas permaisuri,baginda masih mencemar duli menghadiri majlis-majlis keraian.Setelah 28 tahun bersemayam selaku Raja Perempuan Perak,Raja Perempuan Muzwin yang dikhabarkan gering telah mangkat di Institut Jantung Negara pada tanggal 6 Oktober 2011 .Baginda berusia  82 tahun.Kemangkatan baginda ditangisi seluruh kerabat diraja Perak dan juga kerabat diraja Malaysia.Baginda merupakan besan kepada Sultan Kedah,Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan juga besan kepada Almarhun Sultan Iskandar.


Jenazah baginda dibawa dari IJN ke Istana Riswin untuk istiadat pemakaman.Baginda disembahyang kan di Masjid Ubudiah dan dimakamkan penuh adat istiadat diraja Perak di Makam Diraja Al Ghufran Kuala Kangsar.Baginda dimakamkan bersebelahan makan suami baginda,Almarhum Sultan Idris Shah.

Berikut merupakan gambar kenangan Almarhum Raja Perempuan Muzwin:


Bersama Sultan Idris Shah ketika Pertabalan Sultan Perak Ke-33.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah mencium tangan Raja Perempuan Muzwin.



Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Tuesday, 4 December 2018

KDYMM Almarhum Sultanah Bahiyah Permata Negeri Kedah...


Assalamualaikum..Kali ini kita bercerita pula tentang permaisuri dari Negeri Kedah Darul Aman ini.Yang dimaksudkan adalah Almarhum KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman,D.K.,D.K.H.,D.M.N.,D.K.(Kelantan),D.K.(Negeri Sembilan),D.K.(Johor),S.P.M.K.,Grand Cordon Of The Order of The Sacred Treasure(Japan),Grand Cordon Of The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),Grand Cordon Of The Star Of Mahaputra 1st Class(Indonesia),Grand Cordon Of The Orders Of The Pleiades 1st Class(Iran).


Merupakan puteri sulung kepada Yang Dipertuan Agong Pertama,Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad dan Almarhum Tuanku Kursiah Tunku Besar Burhanuddin dan berasal daripada darah diraja Negeri Sembilan.Diputerikan di Istana Seri Menanti Negeri Sembilan pada 24 Ogos 1930.Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti dan seterusnya menyambung pelajarannya ke Sekolah Convent Seremban.Baginda merupakan wanita yang sangat cerdik.Baginda seterusnya menyambung pengajian baginda dalam bidang Sains Sosial di Universiti Nottingham,England.


Melangsungkan hari bahagia baginda dengan KDYMM Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah,Sultan Kedah Darul Aman pada tahun 1956.Ketika itu Sultanah Bahiyah berusia 26 tahun.Pasangan diraja ini dikurniakan seorang puteri.Mereka juga mengambil dua orang anak angkat yang kemudiannya dinamakan sebagai puteri diraja Kedah.

Menyampaikan Ijazah kepada Naib Canselor UM Prof DiRaja Ungku Aziz.

Setelah kemangkatan ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Badlishah,DYMM Sultan Abdul Halim telah ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada tahun 1958.Secara automatik baginda bergelar Sultanah Kedah Darul Aman.Baginda hanya berusia 28 tahun ketika bergelar Sultanah.Baginda bersemayam sebagai Sultanah selama 45 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 2003.Baginda merupakan Permaisuri kedua bertakhta paling lama selepas DYMM Tengku Budriah.Pada tahun 1970 pasangan diraja ini menduduki Istana Negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Kelima.Baginda berdua menghabiskan tempoh pemerintahan selama 5 tahun sehingga tahun 1975.

Potret Canselor Universiti Malaya

Baginda banyak mencurahkan jasa dan sumbangan sepanjang baginda menjadi Sultanah dan Raja Permaisuri Agong.Baginda cukup terkenal dengan sifat penyayang dan sifat murah hati baginda.Baginda merupakan penaung kepada banyak badan-badan kebajikan.Antaranya ialah:
.Persatuan Orkid Kedah
.Persatuan Menderma Darah Malaysia
.Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah
.Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kedah.
.Persatuan Bola Jaring Kedah.
.Persatuan Talasemia Kedah
.Persatuan Wanita Universiti Utara Malaysia.


Sultanah Bahiyah mencipta sejarah sebagai Wanita Pertama dilantik sebagai Cancelor sesebuah Universiti.Baginda dilantik sebagai Cancelor Universiti Malaya pada 1972 sehingga tahun 1986.Sesungguhnta kejayaan baginda ini memberikan semangat kepada wanita Malaysia ketika itu untuk berjaya.Baginda menduduki kerusi Cancelor dengan jayanya.Baginda juga telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan daripada Universiti Malaya sendiri.Selain itu,baginda juga dikatakan sebagai Permaisuri paling cantik sekali dalam negara.Kecantikan baginda tidak dapat ditandingi oleh mana-mana permaisuri lain.Memang cukup bertuah rakyat Kedah dapat berpermaisurikan baginda.

Di hari bahagia baginda.

Tarikh 23 Ogos 2003 merupakan tarikh yang teramat sedih bagi seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri Kedah khasnya.Pada tarikh inilah Sultanah Bahiyah mangkat,pulang kepada penciptanya pada usia 73 tahun.Baginda mangkat di Istana Cegar akibat penyakit kanser setelah seminggu gering.Pemergian baginda amat dirasai oleh seluruh kerabat diraja dan juga rakyat biasa.Ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir,Baginda mangkat setelah 4 tahun kemnagkatan bonda baginda YMM Tuanku Puan Besar Kusiah pada tahun 1999.Baginda dimakamkan di Makan Diraja Langgar.

Berikut merupakan gambar kenangan Almarhum Sultanah Bahiyah:


Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-5 dan Raja Permaisuri Agong Ke-5.

Bersama Maharani Michiko.