Sunday, 6 January 2019

KDYMM Sultan Muhammad V Letak Jawatan Sebagai Agong Ke-15.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15
Sultan Muhammad V
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K. (Selangor), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Kedah), D.K. (Terengganu), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., S.P.J.K, Collar of Badr Chain (Saudi Arabia), Member Special Class of the Order of Sheikh Isa Ibn Salman Al-Khalifa (Bahrain), Grand Cross of the Order of Legion of Honour (France), Sultan of Brunei Golden Jubilee Medal (Brunei), Collar of the Order of Independence (Qatar).
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 (13 Disember 2016- 6 Januari 2019).


Dukacita dimaklumkan bahawa KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V telah meletakkan jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari ini, berkuat kuasa serta merta. Demikian menurut Istana Negara. Menurut Dato' Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Bin Abdul Aziz, baginda telah memaklumkan perletakan jawatan baginda sebagai Agong secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja. Beliau juga menyatakan bahawa perletakan jawatan baginda itu selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan. Baginda juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 menggantikan Almarhum Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 13 Disember 2016. Baginda mengambil cuti sejak bulan November dan cuti baginda berakhir pada 31 Disember 2018. Fungsi baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong diambil alih oleh Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Mu'izzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Ini merupakan kali pertama Yang Di-Pertuan Agong meletak jawatan. Untuk rekod baginda telah berkhidmat di atas takhta negara selama 2 tahun dan 25 hari.




Berikut kenyataan penuh Istana Negara:

"Bagi menjujung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini lstana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan."Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

"Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

"KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016. "Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini.

"Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaufat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni."

1 comment:

  1. Admin Kenapa YDPA letak jawatan? Atas faktor apa? Apa maksud perkara(32/3)...tqvm

    ReplyDelete