Saturday, 26 January 2019

KDYMM Sultan Pahang Dipilih Agong Ke-16, DYMM Sultan Perak Kekal Timbalan Agong.


Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu telah memilih KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16. Sultan Abdullah akan mengangkat sumpah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari ini. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pula kekal sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Pemilihan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong ini dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara. 


Mesyuarat khas itu dipengerusikan oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Kesemua Raja-Raja Melayu berangkat kecuali KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. 


Mesyuarat khas ini diadakan berikutan perletakan jawatan KDYMM Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lepas.

 

1 comment: