Saturday, 28 March 2020

Permaisuri Canselor Universiti.


Selain menjadi suri negeri, para Permaisuri juga merupakan pelopor kepada bidang pendidikan negara. Buktinya,sudah ramai permaisuri Melayu yang dilantik untuk mengetuai sesebuah universiti sebagai Canselor Universiti. Almarhumah Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman mencipta sejarah sebagai Permaisuri pertama yang dilantik sebagai Canselor pada tahun 1972. Baginda semua menjalankan tugas dengan baik dan berjaya membawa sistem pendidikan tinggi negara ke tahap lebih baik. Sumbangan para Permaisuri dalam bidang pendidikan amat dihargai dan disanjung tinggi. Terbaru, kita turut berbangga apabila Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah dilantik sebagai Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malausia (UIAM). Berikut merupakan senarai Permaisuri yang pernah dilantik menjadi Canselor sesebuah universiti.

Almarhumah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
CANSELOR UNIVERSITI MALAYA (UM)- (1972-1986).

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-5, Sultanah Hajah Bahiyah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Canselor Universiti di Malaysia. Baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya Ke-2 pada tahun 1972 menggantikan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Baginda terus memegang jawatan Canselor selepas kembali bergelar Sultanah Kedah selama 14 tahun sehingga tahun 1986. Tempat baginda digantikan oleh DYMM Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

...................................................................................................................................................................

Almarhumah Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad.
CANSELOR UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)- (1986-2010).


DYMM Sultanah Johor Sultanah Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1986 menggantikan suami baginda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail. Baginda memegang jawatan ini selama 24 tahun sehingga tahun 2010. Tempat baginda digantikan oleh DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

...................................................................................................................................................................

Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
CANSELOR UNIVERSITI PERGURUAN SULTAN IDRIS (UPSI)- (1999-2012).

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dimashyurkan sebagai Canselor Pertama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 1999. Permasyhuran baginda amat bertepatan sekali kerana sebagai seorang bekas pendidik, baginda lebih memahami tugas perguruan. Baginda memegang jawatan ini selama 13 tahun sehingga Mei 2012. Baginda digantikan oleh menantu baginda iaitu DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

...................................................................................................................................................................

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM) - (2002-2006).

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia Ke-3 pada 3 Mei 2002 menggantikan suami baginda Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Baginda memegang jawatan ini selama 4 tahun sehingga tahun 2006 apabila baginda menghabiskan tempoh sebagai Raja Permaisuri Agong. Tempat baginda diambil alih semula oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin. 

...................................................................................................................................................................

Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.
CANSELOR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)- (2003-2009).

Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin dilantik sebagai Canselor Pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2003. Baginda memegang jawatan Canselor sehingga tahun 2009 selama 6 tahun sebelum digantikan oleh DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. 

...................................................................................................................................................................

Yang Maha Mulia Che Puan Besar Tuanku Hajah Haminah.
CANSELOR MANAGEMENT & SCIENCE UNIVERSITY (MSU)- (2004-2019).

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Sultanah Hajah Haminah Hamidun dilantik sebagai Canselor Pertama Management & Science University (MSU) pada tahun 2004 selepas menaiki takhta sebagai Sultanah Kedah. Baginda menjadi Canselor MSU selama 15 tahun sehingga tahun 2019. Tempat baginda digantikan oleh DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

...................................................................................................................................................................


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.
CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)- (2007-SEKARANG).


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dilantik sebagai Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada tahun 2007, selepas UMT dinaik taraf sebagai universiti. Baginda memegang jawatan ini sehingga sekarang. 

..................................................................................................................................................................

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
CANSELOR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)- (2009-SEKARANG).

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tunk Besar Mahmud menjadi Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2009 menggantikan YMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah. Baginda merupakan Canselor USIM yang ke-2 dan berkhidmat sehingga ke hari ini.

...................................................................................................................................................................

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.
CANSELOR UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UNISZA)- (2009-SEKARANG).

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dilantik sebagai Canselor Pertama Universiti Sultan Zainal Abidin pada tahun 2009 sehingga sekarang. 

...................................................................................................................................................................

Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.
CANSELOR UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)- (2010-SEKARANG).

Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dilantik sebagai Canselor Ke-4 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2010 menggantikan bonda mertua baginda Almarhumah Tunku Puan Zanariah Tengku Ahmad. Baginda yang sebelum ini Pro-Canselor UTM memegang jawatan Canselor sehingga ke hari ini. 

...................................................................................................................................................................

Yang Amat Mulia Cik Puan Besar Pahang Cik Puan Besar Hajah Kalsom.
CANSELOR LIM KOK WING UNIVERSITY OF CREATIVE TECHNOLOGY (2010-SEKARANG).

Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom dilantik sebagai Canselor Lim Kok Wing University of Creative Technology pada 18 Disember 2010 sebagai Canselor yang pertama. Baginda masih menjadi Canselor walaupun tidak lagi bergelar Sultanah Pahang.

...................................................................................................................................................................

Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim Davidson.
CANSELOR UNIVERSITI PERGURUAN SULTAN IDRIS (UPSI)- (2012-SEKARANG).


DYTM Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim dilantik sebagai Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 2012 selepas bonda mertua baginda YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun menamatkan khidmat sebagai Canselor. Tuanku Zara terus menjadi Canselor UPSI selepas menaiki takhta sebagai Raja Permaisuri Perak pada tahun 2014 sehingga kini.

...................................................................................................................................................................

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff.
CANSELOR BINARY UNIVERSITY COLLEGE OF MANAGEMENT & ENTREPRENEURSHIP - (2014- SEKARANG).

YTM Toh Puan Temenggung Datin Seri Diraja Puan Sri Dato' Seri Tengku Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff dilantik sebagai Canselor Binary University pada 6 Disember 2014. Baginda masih memegang jawatan sebagai Canselor selepas menaiki takhta sebagai Sultanah Kedah sehingga kini.

...................................................................................................................................................................

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallahi Sultan Iskandar Al-Haj.


CANSELOR BERJAYA UNIVERSITY COLLEGE OF HOSPITALITY (UCH)- (2014-SEKARANG).

KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almarhum Al-Mutawakkil Alallahi Sultan Iskandar Al-Haj telah dilantik sebagai Canselor Berjaya University College of Hospitality pada Disember 2014 dan terus menjadi Canselor selepas menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sehingga hari ini.

CANSELOR KOLEJ UNIVERSITI YAYASAN PAHANG (UCYP)- (Mac 2019-SEKARANG).

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almarhum Al-Mutawakkil Alallahi Sultan Iskandar Al-Haj telah dilantik sebagai Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang pada 25 Mac 2019 pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen 2019. Baginda merupakan Canselor pertama kolej universiti tersebut.

KETUA PERLEMBAGAAN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM)- (Nov 2019- SEKARANG).

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almarhum Al-Mutawakkil Alallahi Sultan Iskandar Al-Haj telah dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 22 November 2019. Watikah Pelantikan dibacakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dipersembahkan kepada Tunku Azizah semasa Istiadat Konvokesyen UIAM ke-35. 


No comments:

Post a Comment