Wednesday, 8 April 2020

Mengenang 47 Tahun Kemangkatan Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah.


Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad, D.K.
1900- 8 April 1973.

Tarikh hari ini, 8 April 2020, genap 47 tahun kemangkatan Almarhumah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad. Baginda mangkat pada 8 April 1973 pada usia 73 tahun. Mungkin kebanyakan dari generasi hari ini tidak mengenali baginda disebabkan baginda hanya menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong selama 5 bulan sahaja dan kisah hidup baginda tidak banyak diketengahkan. Namun, nama baginda diabadikan pada sebuah masjid yang indah di Bukit Jelutong iaitu Masjid Tengku Ampuan Jemaah. Nama baginda juga diabadikan di beberapa buah sekolah antaranya SMK Tengku Ampuan Jemaah di Klang, Sekolah Agama Menengah di Sungai Besar, Sekolah Agama Menengah Tinggi di Shah Alam dan beberapa buah sekolah lagi. Hospital Sabak Bernam juga diberi nama Hospital Tengku Ampuan Jemaah. Tengku Ampuan Jemaah. Di sebalik nama yang sering didengari terutamanya oleh rakyat negeri Selangor, siapakah gerangan pemilik nama Tengku Ampuan Jemaah ini sebenarnya? 

Di atas singgahsana negeri Selangor bersama suami baginda ketika menerima mengadap putera baginda Raja Muda Selangor Tengku Abdul Aziz.

Baginda diputerikan sebagai Raja Jemaah Binti Raja Ahmad pada tahun 1900 dan merupakan kerabat diraja Selangor. Baginda mendirikan rumah tangga dengan YAM Tengku Panglima DiRaja Selangor Tengku Alam Shah Ibni Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah pada tahun 1920. Baginda kemudiannya bergelar isteri kepada Raja Muda Selangor apabila suami baginda dilantik sebagai Raja Muda pada tahun 1934. Selepas kemangkatan ayahanda mertua baginda pada 31 Mac 1938, suami baginda dimashyurkan sebagai Sultan Selangor. Maka, baginda secara rasminya bergelar Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor. Baginda memainkan peranan penting untuk kaum wanita di negeri Selangor. Baginda juga pernah merasa kesusahan di bawah pemerintahan Jepun apabila suami baginda diturunkan takhta oleh Jepun pada tahun 1942 hingga 1945. Selepas Jepun menyerah kalah, baginda berdua kembali menduduki takhta negeri Selangor sehingga tahun 1960. Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, baginda merupakan salah seorang permaisuri utama negara ketika itu selepas Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tengku Abdul Rahman. Sebagai suri kepada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, baginda sering mengiringi suami baginda dan berangkat ke Istana Negara semasa lawatan pemimpin dari luar negara. Baginda juga berkesempatan untuk berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan fardu haji bersama suami baginda. Baginda juga turut berkesempatan untuk berangkat ke Kemahkotaan Ratu England, Queen Elizabeth II pada tahun 1953. 

Bersama Sultan Johor ketika berangkat ke Kemahkotaan Queen Elizabeth II.

Persalinan yang dipakai oleh baginda ketika menghadiri Kemahkotaan Queen Elizabeth II.

Sebagai seorang yang meminati hasil seni, baginda banyak menghabiskan masa dengan membuat kerja seni seperti menyulam, mengait dan membuat sulaman tampal. Dengan sokongan baginda, wanita daripada pelosok negeri Selangor dikumpulkan di Klang dan baginda memulakan program latihan seni pertukangan tangan untuk kaum wanita. Perkara ini sedikit sebanyak membantu menaikkan kemahiran dan ekonomi kaum wanita negeri Selangor ketika itu. Hasil kerja daripada program latihan ini dihantar ke Hotel Raffles di Singapura di bawah nama "Pertukangan Tangan Melayu Selangor". Kedai Pertukangan Tangan Melayu telah dibuka di Klang dan cawangan seterusnya dibuka di Kedai Robinson di Kuala Lumpur. Satu lagi kejayaan baginda adalah "Gerai Selangor "di pameran Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) di Kuala Lumpur menarik perhatian ramai pelancong Eropah pada ketika itu. Beberapa anugerah barangan perak yang dimenangi gerai itu boleh dilihat di Muzium Istana Alam Shah. 

Bersama Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman dan Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman.

Ketika berangkat ke Brunei, bersama Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan isteri Sultan Pahang Tengku Hajah Azam.

Baginda dikurniakan seorang putera sahaja. Putera tunggal baginda ialah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj yang merupakan Sultan Selangor bermula tahun 1960 hingga 2001 dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11. Cucunda sulung baginda kini bergelar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Baginda juga merupakan bonda tiri kepada Almarhumah Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Hajah Bariah dan Almarhumah Raja Puan Muda Kedah Tengku Hajah Raudzah. Baginda hanya sempat menaiki takhta Persekutuan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong selama 5 bulan bermula April 1960 hingga September 1960 sahaja kerana suami baginda mangkat secara mengejut pada 1 September 1960. Baginda meneruskan kehidupan bersama putera tunggal baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sehingga kemangkatan baginda pada 8 April 1973. Al-Fatihah untuk Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah. 


Jamuan makan bersama isteri pembesar inggeris.

Berpegangan tangan dengan cucunda baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Sulaiman Shah.

Bersama suami baginda Sultan Hisamuddin dan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah menyambut ketibaan pemimpin luar negara.

1 comment:

  1. tiara yang tuanku pakai masa pertabalan QE tu sangat unik, harap ia dapat buat comeback on TPS, sebab mahkota dah buat comeback, let all come out from the vault

    ReplyDelete