Saturday, 30 March 2019

YMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.


Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Darul Khusus
Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K.,D.M.N.,D.K (Kedah),D.K(Kelantan),S.P.T.J.,S.P.M.K.,Grand Cordon of the Royal Order(Cambodia),Dame Grand Cross of the Order of Civil Merit(Spain), Order of the Nile (Egypt), Order of the Virtues (Egypt).

Kali ini Warisan Permaisuri akan bercerita kisah seorang permaisuri yang tidak asing lagi buat kita.Wajahnya sangat dikenali sehingga hari ini.Baginda merupakan salah seorang permaisuri yang paling lama bertakhta.Hari ini,walaupun tidak lagi bertakhta,baginda masih aktif dalam pelbagai persatuan.Baginda yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.




Diputerikan sebagai YM Tunku Najihah Tunku Besar Burhanuddin pada 1 September 1923 di Istana Baroh,Seri Menanti Negeri Sembilan.Baginda merupakan puteri Diraja Negeri Sembilan dan juga cucunda kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yamtuan Antah.Ayahanda baginda merupakan Tunku Besar Seri Menanti iaitu Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Yamtuan Antah.Bonda baginda pula ialah Almarhum Yang Mulia Cik Puan Halimah Binti Haji Umar.Dilahirkan di Istana sudah tentu baginda mendapat pendidikan yang sempuran sebagai seorang puteri raja.Baginda mendapat pendidikan awal secara formal di Sekolah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah.Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran ke School Of Oriental and African Studies,London.Baginda juga mengikuti kursus bahasa dan program latihan khas untuk isteri diplomat semasa suaminya Almarhum Tuanku Jaafar mengikuti kursus khas Perkhidmatan Diplomatik di London.

Ketika zaman muda baginda.

Mendirikan rumah tangga bersama Almarhum DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 8 Ogos 1942 ketika baginda berusia 18 tahun.Perkahwinan baginda berdua dikurniakan tiga orang putera dan tiga orang puteri.Putera-putera baginda terdiri daripada YAM Tunku Laksamana Naqiyuddin,YAM Tunku Muda Serting Tunku Imran,dan YAM Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin.Manakala puteri-puteri baginda terdiri daripada YAM Tunku Dara Naquiah,YAM Tunku Puteri Tunku Jawaher,dan YAM Tunku Irinah.Setelah kemangkatan Almarhum Tuanku Jaafar pada tahun 2008,Tunku Naqiyuddin diura-urakan akan mengisi jawatan Yang Dipertuan Besar.Namun Dato-Dato Undang memilih anakanda saudara baginda DYMM Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar yang baru.




Setelah kemangkatan Almarhum DYMM Tuanku Munawir pada 1967 suami baginda Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yang Dipertuan Besar.Tuanku Najihah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan oleh suaminya pada 19 Julai 1967 di Istana Besar Seri Menanti.Kemudian baginda berdua ditabalkan pada 8 April 1968 di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.Baginda menduduki takhta Negeri Sembilan dalam tempoh yang lama iaitu selama 41 tahun sehingga kemangkatan Almarhum Tuanku Jaafar pada tahun 2008.Tuanku Najihah juga berkhidmat sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 10 antara tahun 1994-1999.Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong paling tua ketika bertakhta.Baginda berusia 70 tahun semasa menjadi Raja Permaisuri Agong ke 10.



Baginda dikenali sebagai seorang permaisuri yang kental dan juga amat meminati sukan.Keluar baginda dikenali sebagai Keluarga Diraja Sukan kerana semua anakanda baginda terlibat dalam sukan.Baginda juga amat gemar melukis.Baginda amat menghargai seni lukisan.Tuanku Najihah juga dikenali sebagai seorang yang amat prihatin terhadap kebajikan orang miskin dan orang kurang upaya.Baginda sering mencemar duli membantu dan melawat orang-orang kurang bernasib baik dan memberikan bantuan.Sebagai Penaung Rumah Kanak-Kanak Tunku Ampuan Najihah baginda sentiasa komited dalam tugas kebajikan ini.Baginda merupakan seorang yang aktif dalam berpesatuan.Tuanku Najihah merupakan Ahli Jawatankuasa Associated Country Women of the World.Selain itu baginda menjadi Penaung kepada berbagai persatuan antaranya Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM),Pertubuhan Pandu Puteri Negeri Sembilan, dan juga Institut Wanita Negeri Sembilan.

 Bersama suami dan putera puteri baginda.


Baginda tidak kurang hebatnya dalam bidang sukan.Baginda merupakan pemain golf yang sangat baik.Baginda juga gemar bermain hoki,bola keranjang,dan juga badminton.Tidak ketinggalan tenis dan juga sukan menembak.Baginda juga menanungi persatuan sukan antaranya menjadi Presiden Pasukan Badminton Tuanku Ampuan,Penaung Pasukan Hoki Wanita Malaysia,Pasukan Bola Sepak Wanita Malaysia dan juga Pasukan Golf Wanita Malaysia.Baginda juga Penaung Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA).

Bukan sahaja dalam bidang sukan Tuanku Najihah juga amat mementingkan pendidikan.Sebagai bukti baginda merupakan Canselor Pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).Baginda telah menamatkan perkhidmatan baginda selaku Canselor pada 2011 dan digantikan oleh DYMM Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

  Semasa menyampaikan ijazah kepada Sheikul Al Azhar.


Selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Jaafar pada tahun 2008,Tuanku Najihah menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah.Baginda masih bergelar Tunku Ampuan namun kedudukan baginda tidak melebihi Tunku Ampuan Besar DYMM Tuanku Aishah Rohani.Baginda bersemayam di Istana Salatin di Negeri Sembilan.Walaupun usia baginda mencecah 95 tahun,Tuanku Najihah masih aktif mencemar duli ke majlis-majlis keraian.Baginda juga masih mampu untuk membuat kunjungan diraja ke luar negara.Sama-sama kita doakan kesihatan Tuanku Najihah.








10 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Tuanku Najihah,seorang permaisuri yang masih sihat lagi sehingga sekarang.

    ReplyDelete
  3. Saya ada satu soalan, siapa waris Raja perempuan Negeri Sembilan sekarang ni ye. Dulu arwah datuk saya ada menyimpan keris raja perempuan yang kini tidak dituntut. Arwah datuk saya adalah seorang tukang keris.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tunku Ampuan Negeri Sembilan sekarang adalah DYMM Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

      Delete
  4. Lagi satu, ada perbezaankah antara Raja perempuan Negeri Sembilan dengan Tunku Ampuan Negeri Sembilan? Yelah kalau dulu disebut Raja Perempuan. Sekadar ingin bertanya. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya gelaran untuk permaisuri ni bawah kuasa Yang Di-Pertuan Besar. Kalau sebelum ni Tuanku Najihah bergelar Tunku Ampuan Negeri Sembilan. Sekarang Tuanku Aishah Rohani bergelar Tuanku Ampuan Besar.Gelaran sahaja berbeza mengikut citarasa Yang Di-Pertuan Besar.

      Delete
  5. Tuanku Najihah lahir pada 1 september atau 11 september? Terima kasih. :)

    ReplyDelete
  6. 831209055334=1001

    ReplyDelete