Saturday, 23 March 2019

Istiadat Pemakaman Almarhum Tunku Puan Zanariah Tengku Ahmad.

Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad.

Jenazah Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad telah selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada 18 Mac 2019 kira-kira pukul 2.00 petang. Almarhum yang mangkat pada 17 Mac 2019 pada jam 11.47 malam itu merupakan bonda tiri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Al-Haj dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Almarhum Tunku Puan Zanariah merupakan Sultanah Johor bermula tahun 1981 hingga kemangkatan suami baginda Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail pada tahun 2010. Almarhum juga menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-8 bermula tahun 1984 hingga 1989. 



Almarhum mangkat pada usia 79 tahun meninggalkan seorang putera dan 5 orang puteri. Jenazah baginda dibawa ke Balai Menghadap Istana Bukit Serene untuk istiadat penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah. Berangkat memberikan penghormatan terakhir ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin, DYMM Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim, DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah, YAM Tunku Puan Nora Binti Almarhum Tengku Ahmad serta kerabat diraja Johor. Almarhum Tunku Puan Zanariah dimakamkan sebaris dengan makam bonda baginda Allahyarhamah Che Puan Hajah Fatimah Binti Abdul Hamid. 

Sultan Ibrahim menyiram air mawar di makam Almarhum.

Raja Zarith Sofiah menabur bunga di makam Almarhum.

Tunku Azizah menyiram air mawar di makam Almarhum.

Tunku Abdul Majid menabur bunga di makam bondanya.

Wajah sebak Raja Permaisuri Agong.

foto: Facebook Sultan Ibrahim

2 comments:

  1. Sedih mendengar berita ini. Sejak kecil memang tengok, kenal dengan Almarhumah,membesar sebagai org Johor dgn Almarhumah sebagai Sultanah Johor menggantikan Kekandanya Sultanah Nora. Keperibadian Almarhumah ni memang terserlah. Sopan, baik, peramah dan cantik. X hairanlah Tunku Azizah sebak di pusara Almarhumah sebab Almarhumah la yg menjaga, mendidik dan membesarkan Baginda ketika di usia 2 tahun Almarhumah Bonda Baginda, Enche'Besar Hajah Kalsom bercerai dengan ayahandanya dan balik ke England. Tunku Azizah pernah ditanya wartawan siapa yg ajar Tuanku masak? Mak sayalah. Bonda saya Sultanah Zanariah. Bondanya Sultanah Zanariah dan AlMarhum Sultan Iskandar yang mengalakkan Baginda memasak. Mendengar kata2 Baginda memang nampak la Almarhumah memang Bonda tiri yang baik dan Penyayang Tunku Azizah semestinya bertuah menumpang kasih Almarhumah. Tunku Puan Zanariah sepanjang perkongsian hidup dengan AlMarhum Sultan Iskandar telah memputerakan 1 putera dan 5 puteri ditambah dengan 3 puteri dan 1 putera (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) anakanda2 Sultan Iskandar dengan Enche'Besar Hajah Kalsom, Almarhumah menjaga 10 orang anak. Berita kemangkatan Almarhumah sangat mengejutkan says sebab x pernah dengar apa-apa berita kegeringan Almarhumah. Dengan kemangkatan Almarhumah Sultanah Zanariah menjadikan Baginda bekas Raja Permaisuri Agong yang terkini mangkat selepas Almarhumah Tengku Intan Zaharah, Tengku Ampuan Tua Terengganu pada 2015






















    ReplyDelete
  2. Al fatihah buat almarhumah. Semoga allah menempatkan baginda di dalam redho dan kasih sayang Nya.

    ReplyDelete