Sunday, 20 January 2013

Selamat Hari Keputeraan ke 85, Daulat Tuanku !!


Sempena keputeraan rasmi Sultan Kedah hari ini,WARISAN PERMAISURI akan menyingkap sedikit sebanyak tentang salasilah sejarah Sultan Kedah yang juga Yang Dipertuan Agong ke 14, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Diputerakan pada tanggal 27 November 1927 di Istana Anak Bukit,Alor Star Kedah sebagai Yang Mulia Tunku Abdul Halim.Baginda merupakan putera kedua Tunku Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan isterinya Tunku Safiah Binti Tunku Mahmud.Baginda merupakan putera tertua yang yang hidup.Ini adalah kekanda sulung baginda mangkat semasa kecil lagi.Baginda berketurunan Melayu dan Thailand.Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah.Kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Star di antara tahun 1946 hingga 1948.Baginda seterusnya ke Kolej Wadham,Oxford dan mendapat Diploma Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.Baginda kemudiannya menyertai pentadbiran negeri Kedah dan berkhidmat di Alor Star.

Pada 6 Ogos 1949,baginda dilantik sebagai Raja Muda Kedah.Ayahanda baginda,Sultan Badlishah menaiki takhta negeri Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Hamid Shah pada tahun 1943.Sultan Badlishah telah mangkat pada 15 Julai 1958.Maka Tuanku Abdul Halim telah diangkat menjadi Sultan Kedah ke 28.Baginda ditabalkan di Balai Besar Alor Star pada 20 Februari 1959.


Baginda telah mendirikan rumah tangga bersama Tunku Bahiyah Binti Tuanku Abdul Rahman,puteri kepada Yang Dipertuan Agong pertama.Perkahwinan baginda berdua diakan di Istana Besar Seri Menanti Negeri Sembilan pada 9 Mac 1956.Pasangan ini dikurniakan seorang puteri YTM Tunku Panglima Besar Tunku Tan Sri Intan Shafinaz Binti Sultan Abdul Halim pada tahun 1966.Kali keduanya baginda berkahwin pula dengan wanita dari golongan kebanyakan iaitu Cik Haminah Binti Haji Hamidun pada 1975 yang kemudiannya bergelar Yang Mulia Cik Puan Haminah .Sultanah Bahiyah mangkat pada 24 Ogos 2003 akibat kanser.Jawatan Sultanah Kedah telah diisi oleh Cik Puan Haminah dengan gelaran Sultanah Haminah Hamidun pada tahun 2004.Baginda telah mengambil dua orang anak angkat yang terdiri daripada anakanda saudara baginda sendiri.Mereka ialah Almarhum Tunku Sarina dan YTM Tunku Dato' Seri Soraya yang merupakan Raja Puan Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan.


Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong pada 21 September 1965 hingga 20 September 1970.Setelah tamat tempoh pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin sebagai Yang Dipertuan Agong ke 4,Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong ke 5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975.Baginda merupakan Raja Melayu kedua paling muda menaiki takhta persekutuan selepas Almarhum Tuanku Syed Putra .Baginda menjadi Yang Dipertuan Agong ketika usia 43 tahun.Pada zaman bagindalah yang menyaksikan pertukaran kuasa persekutuan.Ayahanda saudara baginda yang merupakan Perdana Menteri ketika itu,Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mahu meletakkan jawatan dan digantikan oleh timbalannya Tun Abdul Razak.Tunku Abdul Rahman merasakan beliau tidak patut berkhidmat di bawah anakanda saudaranya.Ini adalah kerana setiap Perdana Menteri mesti menyembah hormat kepada Yang Dipertuan Agong.Memandangkan Tunku Abdul Rahman berpangkat ayahanda saudara kepada Tuanku Abdul Halim maka ia bertentangan dengan protokol diraja jika Tunku Abdul Rahman menyembah hormat kepada anakanda saudaranya.Namun begitu Tunku Abdul Rahman bersetuju untuk kekal sebagai Perdana Menteri untuk sehari sahaja dalam pemerintahan Tuanku Abdul Halim.


Pada 2 November 2006,baginda sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong selepas 36 tahun sejak kali pertama baginda memegang jawatan itu.Baginda merupakan Raja Melayu ketiga dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong sebanyak dua kali selepas Tuanku Jaafar dan Sultan Mizan.Setelah Sultan Mizan Zainal Abidin melengkapkan tugas 5 tahun sebagai Yang Dipertuan Agong,maka Tuanku Abdul Halim buat kali keduanya dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong buat kali kedua.Baginda satu-satunya Raja Melayu yang memegang jawatan ini dua kali.Baginda memulakan tugas pada 13 Disember 2011.Baginda merupakan Raja Melayu tertua yang dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong di kala usia 84 tahun melepasi rekod yang dibuat oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menjawat jawatan ini pada usia 73 tahun.Memandangkan Raja Muda Kedah,Tunku Abdul Malik tidak berada dalam kesihatan yang baik,maka baginda memutuskan untuk mengadakan Jemaah Pemangku Diraja untuk menjalankan tugas Sultan Kedah semasa ketiadaan baginda di negeri Kedah.Jemaah ini dinaggotai oleh adinda baginda Tunku Anuar Sultan Badlishah,Tunku Salehuddin Sultan Badlishah,Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim.Istiadat pertabalan baginda diadakan di Istana Negara Baru Jalan Duta pada 11 April 2012.

Tuanku Abdul Halim merayakan sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda sebagai Sultan Kedah pada tahun 1983.Pada 15 Julai 2008 pula,baginda meraikan Jubli Emas pemerintahan baginda.Kini baginda merupakan Raja ketiga paling lama bertakhta di dunia iaitu selama hampir 55 tahun.Di usia 85 tahun,diharap baginda diberi kesihatan dan hidayah oleh Allah SWT untuk terus memimpin negara kita.
DAULAT TUANKU!! DAULAT TUANKU!! DAULAT TUANKU!!




No comments:

Post a Comment