Saturday, 21 June 2014

Mesyuarat Dewan Negara Perak ke 159..


Dewan Negara Perak yang bersidang buat kali ke 159 pada hari Jumaat, 20 Jun 2014 telah memutuskan gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara. Menyuarat itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah dan diadakan di Istana Iskandariah. Gelaran itu berkuatkuasa bermula Jumaat 20 Jun 2014 bersamaan 22 Syaaban 1435 Hijrah. 

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara.

Menurut Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim, Sultan Perak juga memperkenankan gelaran Raja Permaisuri Tuanku Bainun kepada balu Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga merupakan bonda baginda. Berkuatkuasa semalam, gelaran rasmi Tuanku Bainun ialah Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun.


YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun.

Selain itu, mesyuarat juga memutuskan tarikh sambutan rasmi Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak ditetapkan pada 27 November dan akan mula disambut pada tahun 2015.

Dewan Negara Perak juga telah mengeluarkan senarai baru Pewaris Takhta Negeri Perak yang berkuatkuasa 20 Jun 2014. Jawatan Raja Muda Perak diisi oleh Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Manakala jawatan Raja Dihilir diisi oleh Raja Iskandar Zulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah. Anakanda sulung Sultan Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Shah dikurnia pangkat Raja Kechil Besar Perak. Cucunda Almarhum Sultan Azlan, Raja Ahmad Nazim Ibni Almarhum Raja Ashman Shah mengekalkan jawatannya sebagai Raja Kecil Tengah Perak.

Berikut merupakan senarai penuh Kerabat Bergelar Perak yang baru :





Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah,
D.K.,D.K.II(Selangor),D.K.S.A.,S.P.C.M.,S.P.T.S.,S.P.M.P.(Perlis),Ph.D.(Harvard).


Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan
Tuanku Zara Binti Salim Davidson, D.K.S.A.,D.K.A.


Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan

Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, D.K.,S.P.C.M.,J.S.M.


Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan

Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah, D.K.A.,S.P.C.M.,P.C.M.

Duli Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan
Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah,D.K.A.II,S.P.C.M.,S.S.D.K.

Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan
Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah,D.K.A.II,S.H.M.S.,S.S.D.K.

Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar Perak Darul Ridzuan
 Raja Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


Yang Teramat Mulia Raja Kechil Sulong Perak Darul Ridzuan

-Kosong-


Yang Teramat Mulia Raja Kechil Tengah Perak Darul Ridzuan

Raja Dato' Ahmad Nazim Ibni Almarhum Raja Dato' Seri Ashman Shah, D.K.A.II.


Yang Teramat Mulia Raja Kechil Bongsu Perak Darul Ridzuan

-Kosong-

Friday, 20 June 2014

KENANGAN RAJA-RAJA : Almarhum Tuanku Abdul Rahman .



Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI kali ini akan membawakan satu segmen khas iaitu KENANGAN RAJA-RAJA yang akan membawakan kisah berkenaan Raja-Raja dan Sultan-Sultan yang pernah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia. Penyandang sulung bagi gelaran pemerintah tertinggi negara kita ini ialah Almarhum Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Brunei),G.C.M.G.,K.C.M.G.(United Kingdom),King George V Silver Jubilee Medal,King George VI Coronation Medal,Queen Elizabeth II Coronation Medal.

Sewaktu zaman muda baginda.

Tanggal 24 Ogos 1895, lahirlah seorang putera pewaris takhta negeri di bandar DiRaja Seri Menanti. Putera kedua kepada pasangan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tunku Puan Chik ini diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad. Ayahanda baginda menjadi Yang DiPertuan Besar semenjak tahun 1888 menggantikan nenda baginda Almarhum Yam Tuan Antah. Tuanku Abdul Rahman bertuah dilahirkan dalam sebuah keluarga DiRaja yang unik dan merupakan negeri yang terawal mengamalkan sistem demokrasi.


Sebagai seorang putera raja, baginda mendapat pendidikan yang secukupnya. Baginda mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Jempol dan seterusnya peringkat menengah di Sekolah Melayu Kuala Kangsar(MCKK) bermula tahun 1907 hingga 1914. Setelah tamat pengajian, baginda menyertai Sekretariat Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1915 hingga 1916. Pada tahun yang sama juga baginda menyertai Malay Volunteer Infantry (MVI) sebagai Leftenan Muda dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke Leftenan pada tahun 1918. Kerjaya baginda dalam bidang perkhidmatan awam bermula pada tahun 1921 apabila baginda berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Seremban. Seterusnya baginda bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah Klang Selangor sehingga tahun 1922. Baginda kemudiannya menjadi Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor sehingga tahun 1923. Baginda seterusnya menjadi Penolong Pegawai Daerah Sepang(1923 hingga 1925) sebelum bertukar ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Pada tahun 1925 juga, baginda mengiringi ayahanda baginda, Tuanku Muhammad ke United Kingdom untuk menziarahi King George V dan sepanjang berada di sana, Tuanku Abdul Rahman telah membulatkan tekad baginda untuk belajar undang-undang. Atas perkenan ayahanda baginda, Tuanku Abdul Rahman terus menetap di England meneruskan pengajian baginda dalam bidang perundangan. Baginda belajar undang-undang di Inner Temple,London dan tiga tahun selepas itu baginda secara rasminya bergelar seorang pengamal undang-undang dan peguam bertauliah. Sekembalinya baginda ke Malaya pada Disember 1928, baginda dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Tapah,Perak sehingga tahun 1930. Untuk tempoh setahun bermula tahun 1930, baginda dilantik sebagai Majistret Kelas ke 2 di Kuala Lumpur. Kerjaya perundangan baginda diteruskan di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai Penolong Pendaftar pada tahun 1931 hingga tahun 1932. Baginda seterusnya kembali ke bidang perkhidmatan awam apabila bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Langat sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Batang Padang pada tahun 1933.

Bersama Tuanku Kurshiah ketika mengunjungi Sultan Omar Ali Saifuddien.

Baginda dilantik sebagai Tunku Muda Serting pada tahun 1917 selepas kemangkatan kekanda sulung baginda Almarhum Tunku Abdul Aziz. Ketika itu jawatan Tunku Besar Seri Menanti disandang oleh ayahanda saudara baginda yang kemudiannya menjadi ayahanda mertua baginda iaitu Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah. Manakala jawatan Tunku Laksamana disandang oleh adinda baginda Tunku Laksamana Nasir Ibni Tuanku Muhammad. Pada 1 Ogos 1933, Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah mangkat di usia 68 tahun setelah 45 tahun memerintah Negeri Sembilan. Maka pada 2 Ogos 1933, Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Yang Di Pertuan Besar yang baru pada usia 38 tahun. Baginda ditabalkan di Istana Lama Seri Menanti pada 25 April 1934. Setelah dilantik sebagai Raja, maka berakhirlah kerjaya baginda didalam bidang perundangan dan perkhidmatan awam. Baginda harus menumpukan sepenuh perhatian baginda kepada pentadbiran negeri. Pada waktu itu, baginda merupakan satu-satunya Raja Melayu yang berkelayakan sebagai seorang peguamcara dan peguambela. 



Tuanku Abdul Rahman mendirikan rumah tangga buat pertama kalinya dengan YM Cik Engku Maimunah Binti Abdullah,B.E.M.,P.J.K.  di Singapura pada tahun 1919. Cik Engku Maimunah merupakan seorang wanita kulit putih yang nama asalnya ialah Dulcibella Campbell, anak kepada Pegawai Hutan Mr Clement Gilroy Campbell dan isterinya Julia Ada Roderick. Cik Engku Maimunah merupakan bekas seorang jururawat di Hospital Kuala Lumpur.Namun perkahwinan pertama baginda ini tidak bertahan lama dan pasangan ini bercerai. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri iaitu DYMM Tuanku Jaafar,Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke 10, YAM Tunku Tan Sri Abdullah, YAM Tunku Aida dan YAM Tunku Sheilah. Cik Engku Maimunah mangkat pada 20 Mac 1981 pada usia 84 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

Kali keduanya baginda berumah tangga dengan YM Tunku Maharun Binti Tengku Mambang pada tahun Mac 1921 ketika berusia 26 tahun. Tunku Maharun merupakan puteri kepada YM Tengku Mambang Ibni Almarhum Yam Tuan Tuanku Abdullah daripada Jelebu dan YAM Tunku Aishah Binti Almarhum Tuanku Antah.Tunku Maharun merupakan sepupu kepada Tuanku Abdul Rahman. Pasangan ini bercerai 2 tahun kemudian iaitu pada tahun 1923. Tunku Maharun melahirkan seorang putera iaitu DYMM Tuanku Munawir yang merupakan Yang DiPertuan Besar ke 9. Tunku Maharun mangkat pada 5 Januari 1988 pada usia 83 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.


Perkahwinan ketiga baginda merupakan perkahwinan yang kekal hingga akhir hayat baginda. Kali ini baginda berkahwin dengan sepupu baginda juga iaitu YM Tunku Kurshiah Binti Tunku Besar Burhanuddin. Baginda berdua mendirikan rumah tangga di Istana Lama Sri Menanti pada 21 Mac 1929. Ketika itu Tuanku Abdul Rahman berusia 34 tahun manakala Tuanku Kurshiah berusia 18 tahun. Tunku Kurshiah kemudiannya bergelar Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,D.M.N.,S.M.N.,D.K.N.S.,D.K.(Kedah). Perkahwinan baginda berdua dikurniakan dua orang puteri iaitu KDYMM Sultanah Bahiyah, Sultanah Kedah dan YAM Tunku Shahariah,bekas Tunku Puan Bendahara Johor. Tuanku Kurshiah mangkat pada 2 Februari 1999 pada usia 88 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

Untuk kali keempatnya baginda berkahwin dengan Tunku Zaidah Binti Tunku Zakaria pada tahun 1948. Ketika itu baginda telah berusia 53 tahun manakala Tunku Zaidah berusia 26 tahun. Tunku Zaidah merupakan puteri kepada YBM Tunku Zakaria Ibni Tunku Mabang dan isterinya Cik Zamiah. Tunku Zaidah diberikan gelaran Yang Teramat Mulia oleh Tuanku Abdul Rahman. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang puteri iaitu YAM Tunku Noraida Zakia Binti Tuanku Abdul Rahman. Tunku Zaidah mangkat pada 4 Februari 1989 ketika berusia 67 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

Singgahsana Istana Negara.

Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka didalam perlembagaan negara yang baru dibentuk, akan ada seorang ketua negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Maka, Majlis Raja-Raja sebulat suara memilih Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman untuk menjadi Yang DiPertuan Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda ditabalkan pada 2 September 1957 disamping isteri baginda Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah. Baginda berdua ditabalkan di Balairong Seri Istana Negara. Baginda berdua bersemayam di Istana Negara yang terletak di Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang berkelulusan undang-undang, maka baginda dilihat sebagai orang yang paling sesuai untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi berganding bahu bersama Ketua Menteri Persekutuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. 


Baginda mangkat pada 1 April 1960 di Istana Negara setelah hampir 3 tahun menjadi ketua kerajaan persekutuan. Baginda tidak sempat untuk menghabiskan tempoh  5 tahun pemerintahan baginda. Baginda mangkat ketika dalam tidur. Jenzah baginda disemayamkan di Dewan Banquet Istana Negara untuk penghormatan terakhir. Seluruh negara bersedih atas kemangkatan Yang DiPertuan Agong pertama negara. Pada 2 April 1960, jenazah baginda dibawa menaiki kereta api ke Seremban dan kemudiannya ke Istana Besar Seri Menanti. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti. Jawatan Yang DiPertuan Agong disandang oleh Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah manakala jawatan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan disandang oleh anakanda sulung baginda Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.


Sebagai anak raja yang berpendidikan tinggi, baginda amat mendukung tinggi fahaman demokrasi. Antara kata-kata baginda yang diingati adalah apabila perwakilan dari Timur Tengah pada tahun 1959 mengadu dengan ketidaksenangan mereka terhadap Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman dan meminta Tuanku Abdul Rahman untuk memecat Tunku. Baginda membalas " Saya tidak boleh memecat beliau, beliau dipilih oleh rakyat, dan sebagai Ketua Menteri, beliau boleh pecat saya ". Ketika menjadi Yang DiPertuan Besar, baginda ke United Kingdom pada tahun 1937 untuk menghadiri upacara pertabalan King George VI dan pada tahun 1952 untuk menghadiri pertabalan Queen Elizabeth II di London.


Wajah baginda akan sentiasa diingati rakyat Malaysia sehingga kini kerana wajah baginda diabadikan dalam duit kertas Ringgit Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Wajah baginda menjadi tema duit kertas bermula tahun 1967 hingga ke hari ini. Semenjak muda, baginda aktif dalam bersukan. Baginda terlibat dalam sukan kriket, bola sepak dan juga tenis. Sukan yang paling diminati baginda ialah sukan tinju. Ketika zaman mudanya, baginda gemar bertinju dengan anakanda baginda.

Sesungguhnya, Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan seorang Raja yang harus disanjung dan diingati. Ketokohan baginda bukan sahaja sebagai seorang Raja tetapi sebagai seorang peguam dan ahli perkhidmatan awam harus dicontohi. Sebagai penghargaan terhadap baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan AL FATIHAH buat Almarhum. Semoga Almarhum ditempatkan dengan orang-orang beriman. Amin Ya Robbal Alamin.

Potret bersama isteri baginda Tuanku Kurshiah.

Ketika mengangkat sumpah sebagai Yang DiPertuan Agong. Turut kelihatan Sultan Hisamuddin yang merupakan Timbalan Yang DiPertuan Agong.


Bergambar bersama pembesar negara.

Bersalaman dengan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Thursday, 12 June 2014

Grace Kelly Malaysia: YH Dato' Sri Maria Menado.

Yang Hormat Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado,
S.S.A.P., S.I.M.P.

Grace Kelly Malaysia... Itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada Primadona Filem Melayu, Yang Hormat Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado. Dilahirkan sebagai Liesbeth Dotulong pada 2 Februari 1932 di Tunsia, Mabnahasadari, Menado, Sulawesi Utara. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau tinggal di Makasar bersama ibu dan bapa saudaranya disebabkan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Beliau berhijrah ke Singapura sewaktu berusia 19 tahun iaitu pada tahun 1951. Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan A Razak Sheikh Ahmad seorang promoter tinju dan penulis skrip. Mula menyertai bidang seni pada tahun 1951 apabila diberikan watak utama dalam filem "Penghidupan" di samping Seniman Agung Tan Sri Dr P Ramlee. 


Beliau aktif sebagai pelakon bermula tahun 1951 hingga 1963. Namun, watak pontianak dalam filem "Pontianak" pada tahun 1957 melonjakkan lagi nama Maria Menado. Filem ini merupakan filem seram pertama dalam sejarah Filem Melayu. Filem Pontianak ini disusuli dengan Dendam Pontianak pada tahun 1957 dan Sumpah Pontianak(1958). Maria Menado merupakan pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem Hindi apabila berlakon di samping Shammi Kapoor dalam filem bertajuk " Singapore". Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia seni, beliau telah berlakon lebih 20 filem. Beliau juga merupakan penerbit filem wanita Melayu pertama apabila menubuhkan Maria Menado Production.

Kejelitaan beliau yang berwajah Pan Asian itu bertambah mashyur apabila diberi gelaran "Wanita Terjelita Malaya" oleh Times Magazine serta "Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara" oleh United Press International . Nama Maria diambil dari peristiwa Natrah yang berlaku di Singapura sewaktu tahun 1950an. Maria Menado mengambil nama sebenar Natrah iaitu Maria Hertogh dan Menado pula nama tempat beliau dilahirkan. 


Sudah ditakdirkan jodoh beliau bersama seorang Raja setelah bercarai dengan suami pertamanya pada tahun 1961. Pada tahun 1963, beliau dilamar oleh Sultan Pahang, KDYMM Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin untuk dijadikan isteri. Maria Menado berkahwin pada usia 31 tahun bersama Almarhum Sultan Abu Bakar. Selepas berkahwin, beliau menginap di Istana Seri Melati di Pekan Pahang. Selepas bergelar Permaisuri kepada Sultan Pahang, beliau bersara dari dunia seni yang diceburinya selama 12 tahun. Di atas titah Sultan Pahang juga, filem-filem lakonan Maria Menado tidak dibenarkan untuk ditayangkan di negeri Pahang.


Perkahwinan beliau bersama Almarhum Sultan dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri iaitu YAM Tengku Idris Sultan Abu Bakar, YAM Tengku Baharuddin Sultan Abu Bakar dan YAM Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1974, Maria Menado berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika itu, beliau memohon perkenan Sultan Pahang yang baru, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah untuk menayangkan kembali filem-filem lakonan beliau dan baginda memberi perkenan. Namun amat malang apabila mengetahui pemilik Cathay Keris telah membuang kesemua filem-filemnya ke dalam sebuah lombong. 

Maria Menado bertemu jodoh buat kali ketiga dengan seorang ahli perniagaan bernama Datuk Dr Hussain Yusuf pada tahun 1978 pada tahun 46 tahun. Sehingga kini, nama Maria Menado masih dianggap sebagai Primadona Filem Melayu dan merupakan nama besar dalam industri seni negara. Dari seorang pelakon terkenal kepada seorang permaisuri, itulah takdir Dato' Maria Menado, tak ubah seperti Grace Kelly yang dilamar His Serene Highness Prince of Monaco suatu masa dulu. Kini, di usia 82 tahun, Maria Menado menjalani kehidupannya dengan penuh ketenangan bersama kenangan beliau dengan Almarhum Sultan. Semoga Primadona Dato' Maria Menado senantiasa dirahmati Allah selalu.



Friday, 6 June 2014

Kenangan Almarhum Sultan Azlan..


Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu lah (28 April 1928 - 28 Mei 2014) yang memerintah negeri Perak selama tiga dekad mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang kehakiman dan pentadbiran. Sepanjang bertakhta sebagai Sultan Perak mahupun Yang DiPertuan Agong, banyak kenangan dan pengalaman yang baginda peroleh. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Sultan Azlan Shah.

Almarhum ketika zaman muda bersama bonda baginda YTM Toh Puan Dewangsa Hatijah Ahmad dan kekanda baginda Raja Baharom(kiri). Almarhum Sultan Azlan dibesarkan di Batu Gajah oleh bonda baginda di luar lingkungan istana.

Sejurus sahaja diumumkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Almarhum Sultan Azlan terus ke Batu Gajah untuk menemui bonda baginda. Kelihatan baginda mencium Paduka Bonda Sultan Perak Toh Puan Dewangsa Hatijah Ahmad.

Almarhum Sultan Azlan Shah bersama cucunda baginda Latif Muhammad Salleh yang dikatakan mirip baginda.

Saat indah Almarhum Sultan Azlan bersanding bersama Tuanku Bainun pada tahun 1955. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Batu Gajah Perak.

Kenangan bersama Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra. Kedua putera ini berkelulusan undang-undang dari England.

Walaupun sibuk menjalankan tugas sebagai seorang Sultan Pemerintah, baginda tetap meluangkan masa menyuap makanan untuk cucunda baginda.

Sewaktu Almarhum menjadi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke 9.

Gambar santai Almarhum Sultan Azlan ketika masih bergelar Hakim Mahkamah Persekutuan.

Kenangan Almarhum bersama Allahyarham Tun Hussien Onn,Perdana Menteri ke 3.

Almarhum Sultan Azlan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Almarhum berpelukan mesra dengan Allahyarham Yasser Arafat semasa lawatan beliau ke Malaysia.

Almarhum menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 1989.

Almarhum Sultan Azlan bersama Queen Elizabeth dan Princess Diana semasa Almarhum menjadi hos Santapan Diraja di London.

Di atas singgahsana Istana Iskandariah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.

Tuesday, 3 June 2014

Almarhumah Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.



Almarhum Sultanah Kedah Sultanah Asma Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dilahirkan sebagai Yang Mulia Tengku Asma Binti Tengku Sulaiman pada tanggal 25 Oktober 1917 di Kuala Terengganu. Baginda merupakan puteri sulung kepada pasangan Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Ibni Sultan Zainal Abidin III Al Muazzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Hajah Mariam Binti Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah. Kedua nenda Sultanah Asma merupakan Sultan Terengganu dan Sultan Pahang. Ayahanda baginda menaiki takhta negeri Terengganu Darul Iman pada 20 Mei 1920 dan ditabalkan pada 3 Mac 1921 dengan memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Manakala bonda baginda memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Mariam Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah

Tunku Abdul Halim mencium tangan Sultanah Asma semasa Istiadat Perkahwinan baginda.

Sultanah Asma merupakan anakanda ke 3 daripada 10 adik beradik. Kekanda sulung baginda Sultan Ali pernah menaiki takhta Terengganu semasa penjajahan Jepun bermula 1942 hingga 1945. Namun Sultan Ali diturunkan takhta ketika British merampas kembali pemerintahan Tanah Melayu dan digantikan oleh ayahanda saudara Sultanah Asma iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sultan Ismail merupakan nenda kepada Sultan Terengganu sekarang Sultan Mizan Zainal Abidin. Adinda baginda, Tengku Abdul Rashid merupakan ayahanda kepada Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.



Mendirikan rumah tangga dengan DYTM Raja Muda Kedah Tunku Badlishah Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 31 Oktober 1935 ketika berusia 18 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Terengganu. Baginda merupakan isteri ketiga kepada Tunku Badlishah. Pasangan ini dikurniakan 8 cahaya mata 3 putera dan 5 puteri. Putera-putera baginda terdiri daripada YTM Tunku Annuar, YTM Tunku Mahmud Salehuddin dan YTM Tunku Abdul Hamid Thani. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YTM Tunku Hosnah, YTM Tunku Bisharah, YTM Tunku Badriatuljamal, YTM Tunku Kamaliah dan YTM Tunku Nafisah. Anakanda sulung baginda, Tunku Annuar yang merupakan Tunku Bendahara Kedah telah mangkat pada 21 Mei 2014 di usia 75 tahun. Sultanah Asma merupakan bonda tiri kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Putera kedua baginda, YTM Tunku Sallehuddin telah menaiki takhta negeri Kedah pada tahun 2017 berikutan kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim. Baginda memakai gelaran KDYMM Al- Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. 

Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin,KGMG.


Almarhum Tengku Ampuan Mariam Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah.


Sultanah Asma menaiki takhta negeri Kedah sebagai Sultanah Kedah yang pertama apabila suami baginda dilantik sebagai Sultan Kedah pada 13 Mei 1943. Pertabalan baginda berdua diadakan pada 15 Mei 1943. Suami baginda memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah manakala baginda memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah,D.K.(Kedah),P.S.B. Baginda menjadi Sultanah Kedah selama hampir 15 tahun sehinggalah kemangkatan suami baginda pada 13 Julai 1958. 


Apabila suami baginda mangkat pada 1958, anakanda tiri baginda, Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Sultan Kedah yang baru. Sultanah Asma diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Asma pada 23 Februari 1959 ketika berusia 42 tahun. Tunku Ampuan Asma mangkat pada 13 Mei 1996 ketika berusia 79 tahun di Alor Star Kedah. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kedah. Nama baginda diabadikan di sebuah sekolah di Kedah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma. Al Fatihah buat Almarhum Tunku Ampuan Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.