Warisan Permaisuri diteruskan dengan seorang lagi permaisuri negeri Perak Darul Ridzuan. Baginda merupakan Suri kepada Sultan Perak Ke-34. Baginda yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali,D.K., D.M.N.,D.K.(Selangor),D.K.A.,Grand Cordon Of The Order Of Percious Crown(Japan),Grand Cordon Of The Order Of Chula Chom Klao(Thailand), Fellow Of Liverpool John Moores University. Baginda mencipta sejarah sebagai Raja Permaisuri Agong pertama dari kalangan rakyat biasa apabila suami baginda DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-9.
Kisah hidup baginda tak ubah seperti dongengan.Dari seorang rakyat biasa yang bergelar guru disunting menjadi Permaisuri hati seorang bakal pewaris takhta.Baginda diputerikan pada tanggal 7 November 1932 di Pulau Pinang dengan nama Siti Bainun Binti Mohamad Ali.Baginda merupakan anak kepada golongan kebanyakan iaitu Encik Mohamad Ali yang berasal dari Pulau Pinang.Baginda mendapat pendidikan awal di St.George Girls School,Pulau Pinang.Setelah tamat sekolah,baginda terpilih untuk mengikuti kursus perguruan di sebuah maktab perguruan terkemuka iaitu Teacher's Training College,Kirkby,United Kingdom.Baginda belajar di sana selama 2 tahun iaitu dari tahun 1952 hingga 1954.Kerajaan menghantar pelajar-pelajar Malaysia ke Kirkby untuk menyediakan mereka supaya menjadi guru yang terbaik untuk mendidik anak tempatan menuju kemerdekaan pada ketika itu.Ramai tokoh di negara kita merupakan hasil didikan Kirkby.Kini,Tuanku Bainun merupakan Penaung Diraja Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia(PAMKM).
Tuanku Bainun berkenalan dengan DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahu-lah pada tahun 1951 ketika Sultan Azlan menyambut kumpulan kedua 150 orang pelajar dari Tanah Melayu yang akan meneruskan pengajian di Kirkby.Setahun selepas kembali dari England iaitu pada tahun 1955 Tuanku Bainun mendirikan rumah tangga bersama Sultan Azlan.Ketika itu Tuanku Bainun berusia 23 tahun.Semasa itu Sultan Azlan bekerja sebagai Majistret di Kuala Lumpur sementara Tuanku Bainun mengajar di sekolah baginda yang terdahulu.Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Pulau Pinang pada 9 Disember 1955.
Perkahwinan diraja ini dikurniakan 2 orang putera dan 3 orang puteri.Putera sulung baginda DYTM Raja Dr Nazrin Shah kini bergelar Raja Muda Perak.Manakala putera bongsu baginda Raja Ashman Shah yang bergelar Raja Kecil Sulong Perak telah mangkat.Puteri-puteri baginda pula terdiri daripada YAM Raja Dato' Seri Azureen,YAM Raja Dato' Seri Eleena dan YAM Raja Dato' Seri Yong Sofia.YAM Raja Eleena merupakan wanita Melayu paling kaya di Malaysia.Tuanku Bainun mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perguruan.Baginda berpengalaman mengajar selama 22 tahun sebelum bergelar permaisuri dan mengajar ribuan pelajar.Baginda mengajar di pelbagai sekolah termasuk Sekolah Rendah Batu Road Kuala Lumpur,Sekolah Rendah King George V Seremban,Sekolah Sultan Mahmud Raub,Sekolah king Edward VII Taiping,Sekolah Raja Perempuan Ipoh dan Sekolah Methodist Kuantan.
Keluarga Diraja Perak Darul Ridzuan.
Tuanku Bainun bergelar Raja Puan Besar Perak pada tahun 1983.Baginda dimashyurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan pada tanggal 3 Februari 1984 serentak dengan pertabalan suami baginda sebagai Paduka Seri Sultan Perak menggantikan Almarhum Sultan Idris Shah yang mangkat.Istiadat pertabalan baginda sebagai Raja Permaisuri diadakan pada 19 Februari 1988 dalam satu istiadat gilang gemilang di Istana Kinta Ipoh.Baginda merupakan permaisuri yang paling senior yang masih bertakhta pada hari ini.Tuanku Bainun dan Sultan Azlan menaiki takhta kerajaan Malaysia selaku Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke 9 bermula 26 April 1989 sehingga 25 April 1994.Baginda berusia 57 tahun ketika bergelar Raja Permaisuri Agong.Tuanku Bainun mencipta sejarah sebagai Raja Permaisuri Agong pertama dari golongan kebanyakan.
Tuanku Bainun dimashyurkan sebagai Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 1999.Baginda menyandang jawatan ini sehingga awal tahun 2012 sebelum menyerahkannya kepada menantu baginda iaitu DYTM Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim.Tuanku Bainun diberikan gelaran Canselor Pendidik bersesuaian dengan latar belakang baginda yang dahulunya seorang guru.Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan baginda dalam memartabatkan pendidikan dalam masyarakat,Tuanku Bainun telah diberi penghormatan dan dianugerahkan '' A Fellow of Liverpool John Moores University''.
Tuanku Bainun meminati minat yang sama dengan suaminya terutamanya dalam bidang sukan.Baginda berdua amat meminati sukan golf.Baginda sering menyertai pertandingan golf wanita luar dan dalam negara.Selain itu baginda juga meminati sukan hoki.Semasa di bangku sekolah sehinggalah ke Maktab Perguruan Kirkby,baginda mengambil bahagian dalam sukan hoki.
Jika berkelapangan,baginda gemar mengumpul resepi,mengubah bunga dan membaca.Sebagai penghormatan terhadap Tuanku Bainun yang meminati bunga,tiga jenis bunga orkid telah dinamakan sempena nama baginda.Orkid-orkid itu adalah Chiritiera Permaisuri Bainun,Dendrobuim Tuanku Bainun,dan Renantanda Tuanku Bainun.Sebagai seorang permaisuri,baginda banyak menaungi pelbagai jenis persatuan dan organisasi sukan.Antaranya Persatuan Bola Keranjang Wanita Perak,Persatuan Badminton Wanita Perak,Pergerakan Pandu Puteri,Persatuan Hoki Wanita Perak dan juga PERKIM.
Sepanjang bergelar permaisuri baginda dianugerahi pelbagai anugerah darjah kebesaran dari dalam dan luar negara.Baginda dianugerahkan Darjah Kebesaran Thailand iaitu Grand Cordon Of The Order Of Chula Chom Klao pada tahun 1990 dan Grand Cordon Of The Order Of Precious Crown daripada Maharaja Jepun Maharaja Akihito pada tahun 1991.Kini baginda sudahpun berusia 80 tahun dan masih lagi bertakhta sebagai Raja Permaisuri Perak.Baginda masih aktif mencemar duli menghadiri majlis keraian dan perasmian bersama suami baginda.Sama-sama kita doakan semoga baginda diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT.
Antara gambar kenangan Tuanku Bainun:
Potret rasmi selaku Seri Paduka Raja Permaisuri Agong ke 9.
Bersama suami baginda Sultan Azlan,Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara Salim.
Gambar kenangan bersama keluarga baginda.
gambar lama Tuanku Bainun kat Kirby tu 2 dari kiri ke 2 dari kanan?...2 dari kiri tu mcm muke org cine je
ReplyDeleteMaaf. Saya tersilap taip. 2 Dari kanan. terima kasih kerana membetulkan.
DeleteSubhanallah
ReplyDelete