Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Raja Perempuan Perlis. Show all posts
Showing posts with label Raja Perempuan Perlis. Show all posts

Saturday, 11 April 2020

Kerabat Bergelar Negeri Perlis.

Kerabat bergelar merupakan kerabat diraja yang terdekat dengan Duli Yang Maha Mulia Raja atau Sultan. Kerabat-kerabat ini dikurniakan gelaran seperti Tengku Bendahara, Tengku Laksamana, Tengku Panglima, Tengku Temenggong dan gelaran-gelaran lain yang diperkenankan Raja atau Sultan negeri tersebut. Berikut merupakan susunan kekananan kerabat Diraja Negeri Perlis yang bersusur galur dari keturunan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail. Kerabat bergelar ini terdiri daripada paduka anakanda Raja Perlis dan juga adinda-adinda baginda. 

 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis 
    Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail,
D.K.P., D.K., S.S.P.J., D.K.M., D.M.N., D.K. (Perak), D.K (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Selangor), D.K. (Pahang), D.K. II (Terengganu), S.P.M.J., S.P.C.M., S.S.M.T., Grand Order of King Tomislav (Croatia), Grand Collier De L'Independence (Grand Medal of the Independence) - Cambodia, Grand Croix De L'Ordre (Royal Sash) - Cambodia, Cavaliere Di Gran Croce Decorato Di Gran Cordone (Italy), Qiladah Badr Al-Kubra (Arab Saudi), Decoration of Omayad - The Finest Decoration (Syria), Knight of the Royal Order of the Seraphim (Sweden), Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (Japan)


 Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis 
    Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid,
 D.K.P., D.K., S.S.P.J., S.P.M.P, D.M.N., D.K. (Kelantan), D.K. (Pahang), Grand Croix De L’Ordre (Royal Sash) – Cambodia, Knight of the Royal Order of the Seraphim (Sweden), The Order of the Sacred Treasure, Gold and Silver Star (Japan).

KERABAT-KERABAT BERGELAR: 

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis 
    Tuanku Syed Faizzuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,
    D.K.,S.P.M.P., P.A.T.

 Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis 
    Tuanku Lailatul Shahreen Binti Dato' Khalil Akashah,
    S.P.M.P.

Yang Amat Mulia Tengku Syarif Bendahara Perlis 
    Dato' Seri Diraja Syed Badaruddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
    D.K., S.S.P.J.

Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis 
    Dato' Seri Diraja Syed Amir Zainal Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
    S.S.P.J., S.P.M.P.

Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis
    Yang Berhormat Mulia Dato' Seri Diraja Syed Razlan Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
    S.S.P.J., S.P.M.P.

 Yang Amat Mulia Tengku Syarif Panglima Perlis 

    Tan Sri Dato' Seri Diraja Dato' Setia Syed Zainal Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra
    Jamalullail,

   D.K. II (Selangor), P.S.M., S.S.P.J., S.P.M.P., S.S.I.S.

 Yang Amat Mulia Tengku Puteri Mahkota Perlis 
      Dato' Seri Sharifah Fazira Binti Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,
      S.P.M.P.


Sunday, 2 December 2018

YMM Almarhum Raja Perempuan Besar Tengku Budriah Tengku Ismail.


Tahukah anda siapakah gerangan figura dalam gambar di atas? Kepada penduduk negeri Indera Kayangan sudah tentu tidak asing lagi dengan wanita hebat ini. Figura yang dimaksudkan ialah Almarhum Yang Maha Mulia Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.


YMM Tengku Budriah diputerikan pada 28 Mac 1924 di Kuala Krai, Kelantan Darul Naim. Merupakan puteri kepada pasangan diraja Yang Amat Mulia Tengku Mek Haji Ismail Ibni Almarhum Tuan Besar, Raja Pattani dan Yang Amat Mulia Tengku Besar Zubaidah AlmarhumTengku Abdul Kadir. Bonda baginda merupakan puteri kepada Raja Pattani terakhir iaitu Almarhum Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Syarafuddin Shah. Baginda mendapat pendidikan yang sempurna daripada kedua ayahanda dan bondanya.Pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Krai dan kemudiannya ke Sekolah Inggeris Kuala Krai.Pada tahun 1935, baginda melanjutkan pelajaran ke Ipoh,di Sekolah Menengah Anglo Chinese. Sewaktu sekolah, baginda amat aktif dalam aktiviti ko kurikulum terutama unit beruniform Pandu Puteri. 


Pada tahun 1941,sewaktu berusia 17 tahun,baginda telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYMM Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail.Ketika itu Tuanku Syed Puta masih bergelar Raja Muda Perlis.Ketika itu Tuanku Syed Putra berusia 21 tahun.Perkahwinan diraja ini dikurniai dengan 5 orang putera dan 5 orang puteri.Salah seorangnya adalah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,Raja Perlis sekarang.


DYMM Tuanku Syed Putra telah ditabalkan sebagai Raja Perlis Indera Kayangan pada tahun 1945.Serentak dengan pertabalan itu,Tengku Budriah juga ditabalkan sebagai Raja Perempuan Perlis di usia cukup muda,21 tahun.Baginda menduduki takhta kerajaan Perlis sebagai permaisuri sehinggalah kemangkatan Tuanku Syed Putra pada tahun 2000.Tengku Budriah merupakan permaisuri yang paling lama bertakhta di samping suami baginda,iaitu selama 55 tahun sebagai Raja Perempuan. Baginda meneruskan khidmat sebagai Raja Permaisuri Agong Ke3 bermula tahun 1960 sehingga 1965.Secara ringkasnya,Tengku Budriah merupakan Permaisuri terakhir Tanah Melayu dan Permaisuri Pertama bagi negara Malaysia.Keistimewaan baginda juga adalah,Tengku Budriah merupakan satu-satunya Permaisuri bagi negara Singapura.

Tengku Budriah ketika zaman muda.

Di masa lapangnya,baginda gemar memasak,berkebun,menjahit dan juga membuat gubahan bunga.Segala hasil kerja tangan Tengku Budriah akan dijual dan baginda akan mendermakannya kepada Taman Asuhan Darulfarah.Nama Tengku Budriah amat sinonim dengan kebajikan.Baginda merupakan penaung kepada pertubuhan amal dan kebajikan.Baginda juga aktif dalam memperkasakan peranan wanita dalam negara.Antara jawatan yang disandang baginda adalah:

  . Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKLIM)
  . Penaung Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah.
  . Penaung Lembaga Perkumpulan Perempuan Islam Perlis.
  . Penaung Persatuan Dialisis Tuanku Syed Putra
  . Penaung Persatuan Hoki Wanita Malaysia.


Setelah kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra pada tahun 2000, putera sulung baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah menaiki takhta Perlis. Tengku Budriah selaku bonda kepada Raja Perlis telah dimuliakan dengan gelaran YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA PEREMPUAN BESAR PERLIS. Gelaran ini dipakai baginda sehingga baginda mangkat.Baginda masih aktif lagi dalam persatuan dan kebajikan walaupun bukan seorang permaisuri lagi.Baginda mencurahkan bakti yang tidak ternilai kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya.Sesungguhnya Tengku Budriah merupakan wanita pelopor dalam pelbagai bidang di negara kita.YM Tengku Tan Sri Ahmad Rethauddin Tengku Ismail yang merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan juga bekas menteri kabinet merupakan adinda kepada Tengku Budriah.


Setelah 8 tahun bersemayam sebagai Raja Perempuan Besar,baginda telah mangkat di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 28 November 2008.Baginda mangkat di usia 84 tahun.Kemangkatan baginda telah diumumkan oleh Menteri Besar Perlis Dato Seri Dr Mad Isa Sabu.Jenazah baginda diterbangkan oleh pesawat Hercules ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim,Kedah.Jenazah baginda kemudian dibawa ke Istana Arau untuk penghormatan terakhir.


Jenazah baginda disembahyangkan oleh Imam II Masjid Negeri di Istana Arau dan kemudiannya disembahyangkan sekali lagi oleh Imam Masjid Negeri selepas solat Asar.Jenazah Tengku Budriah selamat disemadikan bersebelahan makan Almarhum suami baginda.Baginda meninggalkan 10 orang putera dan puteri,35 orang cucunda dan 24 orang cicinda. Bendera separuh tiang dikibarkan sebagai tanda perkabungan di atas kemangkatan YMM Tuanku. Al Fatihah buat Almarhum Tuanku.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tuanku. 

Berikut adalah gambar-gambar kenangan Almarhum Tengku Budriah:

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-3.

Raja Perempuan Besar Perlis.

Tengku Budriah bersama Almarhum Tuanku Syed Putra dan putera baginda Tuanku Syed Sirajuddin.

Bersama menantu baginda, Tuanku Fauziah.

Ketika bergelar DYMM Raja Perempuan Perlis.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Wednesday, 15 July 2015

Kad Raya Raja Perlis 2015.

Menjunjung kasih di atas kurniaan kad raya sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Daulat Tuanku.





Potret Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tandatangan baginda berdua.


Di belakang kad raya tertera perkataan Istana Arau.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Friday, 20 February 2015

KENANGAN RAJA-RAJA : Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Siri KENANGAN RAJA-RAJA merupakan satu siri pengkisahan raja-raja Melayu yang pernah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Pada siri yang lepas, dua orang raja Melayu terawal yang menjadi ketua negara telah dibawakan kisah baginda-baginda sekalian. Raja yang seterusnya pernah menjadi monarki paling lama bertakhta di dunia. Baginda yang dimaksudkan ialah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 yang merupakan Raja Perlis 

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Harun Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail,
D.K., S.P.M.P., D.K.M., D.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), S.P.D.K.(Sabah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), DK.(Kedah), D.K.(Pahang), D.K.(Johor), D.K.(NegeriSembilan), D.P.S.S.(Sarawak), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.M.B.(Brunei), Knight Commander of St Micheal & St George (K.C.M.G.) (United Kingdom), Grand Cordon Raja Of  The Order Of Sikatuna (Philipines), The Great Cross of The Royal Order of Cambodia, The Most Auspicious Order Of The Royal Friendship Of  Thailand, Collar of The Supreme Order Of The  Chrysanthemum(Japan),Grand Cordon of the Order of Hussein Bin Ali (Jordan),Grand Collar of The Order of the Nile (United Arab Republic), Queen Elizabeth II Coronation Medal. 


Tuanku Syed Putra ketika zaman muda baginda.

Tuanku Syed Putra diputerakan dengan nama YM Syed Harun Putra Ibni Syed Hassan Jamalullail pada 25 November 1920 di Bandar Diraja Arau. Baginda merupakan putera sulung kepada YM Tuan Syed Hassan Ibni Almarhum Tuan Syed Mahmud AlHaj Ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail. Baginda merupakan cicit kepada Raja Perlis Raja Syed Safi Ibni Almarhum Tuan Syed Alwi Jamalullail yang memerintah Perlis pada tahun 1897 hingga 1904. Bonda baginda pula ialah YM Che Puan Wan Teh Binti Endut. Ayahanda baginda dilantik sebagai Bakal Raja pada tahun 1934. Namun, ayahanda baginda mangkat pada tahun 1935, ketika baginda berusia 15 tahun. 


Tuanku Syed Putra mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau Perlis dan seterusnya ke Sekolah Inggeris dan Penang Free School, Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1937 hingga 1939. Baginda juga pernah belajar di Hutchings School di India. Baginda mula berkhidmat dengan pentadbiran negeri Perlis pada tahun 1940, ketika berusia 20 tahun. Baginda dihantar bekerja di bahagian Pejabat Tanah dan dilatih sebagai seorang majistret di Mahkamah Kangar. Seterusnya pada tahun 1941, Tuanku Syed Putra ditukarkan ke Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur sebagai Majistret Kelas Kedua. Pada usia yang muda, baginda telah didedahkan selok belok pentadbiran dan menjadi seorang majistret. Baginda telah diberi latihan secukupnya untuk menjadi seorang pemerintah negeri.

Dari kiri : Permaisuri Thailand Permaisuri Sirikit, Tengku Budriah, Tuanku Syed Putra dan Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej.

Pada 30 April 1938, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Bakal Raja Perlis. Raja Perlis ketika itu adalah ayahanda saudara baginda, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Namun, Raja Syed Alwi tidak mempunyai seorang anak pun. Lalu, pewaris takhta negeri Perlis terdiri daripada adinda-adinda Raja Syed Alwi. Namun, pada tahun 1938, Tuanku Syed Putra selaku anakanda saudara Raja Syed Alwi dilantik sebagai Bakal Raja dengan undian 3 berbalas 1. Satu yang tidak bersetuju ialah Syed Hamzah Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, Tuanku Syed Putra dilucutkan gelaran sebagai Bakal Raja oleh Jepun dan digantikan oleh ayahanda saudara baginda Syed Hamzah Syed Safi Jamalullail. Tuanku Syed Putra yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur dinasihati oleh Sultan Selangor, Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah untuk kekal di Kuala Lumpur.
Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Tuanku Syed Putra dan keluarga baginda menetap di Klang,Selangor sehingga 15 Mei 1941. Baginda sekeluarga kembali ke Perlis dan tinggal di sebuah pondok berdekatan stesen keretapi Kangar. Baginda menerima elaun $90 sebulan daripada Raja Syed Alwi. Raja Syed Alwi mangkat pada 1 Februari 1943 dan digantikan oleh Raja Syed Hamzah Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Mulai dari itu, elaun Tuanku Syed Putra ditarik balik. Pada 29 Mac 1945, Tuanku Syed Putra sekeluarga berangkat ke Kelantan, negeri kelahiran isteri baginda, Tengku Budriah Tengku Ismail. Di sini baginda menjual kuih muih dan pelbagai barangan untuk mendapat sumber rezeki untuk menyara keluarga baginda. Apabila Jepun menyerah kalah dan Pentadbiran Tentera British mengambil alih, Raja Syed Hamzah diturunkan takhta dan digantikan oleh Tuanku Syed Putra pada 4 Disember 1945. Raja Syed Hamzah dibuang negeri ke Thailand dan kemudiannya kembali ke Perlis dan mangkat di Arau pada tahun 1958. Tuanku Syed Putra ditabalkan sebagai Raja Perlis pada 12 Mac 1949 sewaktu berusia 29 tahun.


Ketika istiadat pertabalan baginda sebagai Raja Perlis.

Tuanku Syed Putra mendirikan rumah tangga pada 7 Mac 1941 dengan YM Tengku Budriah Binti Tengku Ismail, seorang kerabat diraja Patani.Ketika itu baginda berusia 21 tahun manakala Tengku Budriah berusia 17 tahun. Tengku Budriah merupakan puteri kepada YAM Tengku Mek Haji Ismail Ibni Almarhum Tengku Besar dan YAM Tengku Besar Zubaidah Binti Almarhum Tengku Abdul Kadir. Bonda Tengku Budriah merupakan cucunda kepada Raja Patani, Sultan Sharif Alauddin Shah. Perkahwinan baginda berdua diadakan di Kampung Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Apabila Tuanku Syed Putra menaiki takhta Perlis, Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Perlis dan seterusnya Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong 

Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,
D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.

Baginda berdua dianugerahkan dengan 5 putera dan 5 puteri. Putera sulung baginda kini bergelar Raja Perlis, KDYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Putera baginda yang lain ialah YAM Tengku Sharif Bendahara Dato' Seri DiRaja Syed Badaruddin, YAM Tengku Sharif Temenggong Dato' Seri DiRaja Syed Amir Zainal Abidin, YAM Tengku Laksamana Dato' Seri DiRaja Syed Razlan, dan YAM Tengku Panglima Dato' Seri DiRaja Tan Sri Syed Zainal Anwar. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YAM Tengku Puteri Utama Dato' Seri DiRaja Sharifah Salwa, YAM Dato' Seri DiRaja Sharifah Jalaina, YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato' Seri DiRaja Sharifah Azwan, YAM Dato' Seri Sharifah Junetta dan YAM Dato' Seri Sharifah Endah. Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Besar Perlis bermula tahun 2000 hingga kemangkatan baginda pada 28 November 2008 ketika berusia 84 tahun. Tengku Budriah dimakamkan di Makam DiRaja Arau.


Tuanku Syed Putra berkahwin untuk kali kedua dengan Che Puan Mariam Binti Abdullah pada 18 Julai 1952 di Bangkok, Thailand. Che Puan Mariam atau nama sebenarnya Riam Pessayanavin yang dilahirkan pada 23 April 1924 merupakan wanita Thailand yang berketurunan Melayu. Beliau memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan Tuanku Syed Putra. Che Puan Mariam merupakan Miss Thailand tahun 1940. Perkahwinan baginda kali ini mempunyai 3 putera dan seorang puteri. Putera-putera baginda ialah YAM Dato' Seri Syed Zainal Rashid, YAM Dato' Seri Syed Azni dan YAM Dato' Seri Syed Badlishah.Puteri tunggal baginda bersama Che Puan Mariam ialah YAM Dato' Seri Sharifah Melanie. Che Puan Mariam meninggal dunia pada tahun 1986 ketika berusia 62 tahun.

Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah di atas takhta singgahsana Istana Negara.

Apabila Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman mangkat, Timbalan Yang Di Pertuan Agong Sultan Hisamuddin dilantik menjadi Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1960. Serentak dengan itu, Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertuan Agong pada 14 April 1960. Beberapa bulan selepas itu, Sultan Hisamuddin mangkat. Maka, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 pada 21 September 1960 ketika berusia 40 tahun. Baginda merupakan Yang Di Pertuan Agong termuda dalam sejarah. Baginda ditabalkan secara rasmi pada 4 Januari 1961 di Istana Negara Kuala Lumpur. Di bawah pemerintahan baginda, negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Ini menjadikan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong terakhir bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Yang Di Pertuan Agong Pertama bagi Malaysia. Baginda juga merupakan satu-satunya Raja bagi negara Singapura dalam sejarah moden. 



Keluarga DiRaja Perlis ketika tahun 1950-an.

Baginda bekerjasama dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dalam memajukan negara. Baginda seringkali mengadakan lawatan ke luar negara untuk belajar selok belok pentadbiran. Antara monumen yang dibina semasa pemerintahan baginda ialah Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, dan Masjid Negara. Namun, satu peristiwa sedih berlaku sebulan sebelum baginda meninggalkan tugas sebagai Yang Di Pertuan Agong. Singapura telah berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tuanku Syed Putra merupakan Raja pertama yang melengkapkan tempoh 5 tahun bertakhta di atas takhta kerajaan persekutuan iaitu pada 20 September 1965. Jawatan Yang Di Pertuan Agong diisi oleh Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.


Ketika menunaikan fardhu Haji di Makkah.

Tuanku Syed Putra kembali memerintah negeri Perlis bermula tahun 1965. Baginda menyambut Jubli Perak pemerintahan sebagai Raja Perlis pada tahun 1970. Pada ketika itu baginda berusia 50 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja Melayu paling kanan dan paling senior dalam Majlis Raja-Raja Melayu. Baginda memainkan peranan baginda sebagai Raja paling kanan dalam isu krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 dan 1993. Kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan membuatkan baginda dihormati ditambah dengan pengalaman luas dalam pentadbiran negeri. Baginda menyambut Jubli Emas Pemerintahan pada 4 Disember 1995 pada usia 75 tahun. 

Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (U.S.M.) pada tahun 1972. Baginda menyandang jawatan itu selama 28 tahun sehingga tahun 2000. Baginda banyak dianugerahi darjah kebesaran luar negara antaranya dari negara Brunei, Kemboja, Jepun, Jordan, Pakistan, Filipina, Arab Saudi dan Thailand. Pada tahun 1956, Queen Elizabeth II menganugerahi baginda dengan darjah kebesaran Knight Commander of the Order of St Michael and St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran Sir. 

Tuanku Syed Putra bersalaman dengan kanak-kanak selepas selesai menunaikan solat di masjid.

Baginda mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 16 April 2000 setelah 55 tahun memerintah Perlis. Baginda mangkat ketika berusia 80 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja yang paling lama bertakhta di dunia. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Arau, Perlis penuh adat istiadat diraja. Anakanda lelaki sulung baginda menggantikan baginda sebagai Raja Perlis dengan bergelar  DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sikap sederhana yang ditunjukkan oleh Tuanku Syed Putra harus dicontohi semua pihak. Sebelum bergelar seorang raja, baginda juga pernah merasai kesusahan hidup semasa pendudukan Jepun. Hal Ini menjadikan baginda seorang raja yang memahami rakyatnya. Baginda banyak membawa perubahan kepada negeri Perlis selama 55 tahun menjadi Raja Perlis. Sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan AL FATIHAH untuk roh Almarhum. Semoga ALLAH SWT menempatkan roh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama orang-orang yang beriman.

55 Tahun sebagai Raja dan Raja Perempuan Perlis.

Tuanku Syed Putra,Tengku Budriah dan Tunku Abdul Rahman Putra.


Menerima Darjah Kebesaran Persekutuan daripada Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman.


Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Wednesday, 11 December 2013

WAJAH-WAJAH : Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah.

Assalamualaikum. Kita teruskan segmen WAJAH-WAJAH yang menampilkan gambar-gambar kenangan Raja-raja dan Permaisuri-permaisuri yang pernah bertakhta di negara kita. Kali ini giliran pasangan DiRaja dari negeri Perlis Indera Kayangan iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Syed Harun Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail. Baginda berdua merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 3 bermula tahun 1960 hingga 1965. Baginda berdua merupakan pasangan pertama yang menghabiskan tempoh 5 tahun di atas takhta persekutuan. Baginda berdua juga merupakan satu-satunya Raja dan Permaisuri bagi negara Singapura yang menganggotai Persekutuan Malaysia sebelum keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada tahun 1941. Menaiki takhta negeri Perlis pada tahun 1945 sehingga kemangkatan Tuanku Syed Putra pada tahun 2000. Baginda berdua dikurnikan 10 orang cahaya mata. Tuanku Syed Putra memerintah Perlis selama 55 tahun sebelum mangkat pada usia 80 tahun akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara. Tengku Budriah meneruskan kehidupan sebagai Raja Perempuan Besar Perlis sehingga kemangkatan baginda akibat sakit tua pada tahun 2008 di usia 84 tahun.


Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong  dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 3.

Potret rasmi sebagai KDYMM Raja Perlis dan KDYMM Raja Perempuan Perlis. Baginda berdua juga merupakan pasangan DiRaja paling senior pada dekad 90 an.

Baginda berdua ketika zaman muda. Gambar ini berkemungkinan diambil sekitar awal tahun 1960 an.

Baginda berdua baru turun dari pesawat untuk menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja di negeri Terengganu.

Baginda berdua membuat lawatan rasmi ke negara Jepun. Baginda berdua diberi sambutan negara oleh Maharaja Jepun Maharaja Hirohito dan Maharani Nagako.

Tuanku berdua berangkat menuju ke Parlimen untuk perasmian penggal Parlimen. Baginda berdua merupakan pasangan Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong termuda apabila menaiki takhta persekutuan sewaktu masing-masing berusia 40 tahun dan 36 tahun.

Baginda berdua menghadiri satu majlis rasmi di Istana Negara pada tahun 1990 an.

Tuanku berdua berangkat ke Balairong Seri Istana Negara untuk menyaksikan Istiadat Pertabalan rakan baik baginda berdua iaitu Tuanku Jaafar dan Tuanku Najihah yang menaiki takhta persekutuan pada tahun 1994.

Tuanku Syed Putra menerima tabik hormat semasa istiadat Hari Keputeraan baginda. Turut menemani baginda ialah Tengku Budriah dan juga isteri Perdana Menteri YABhg Tun Sharifah Rodziah Barakbah ( di belakang Tengku Budriah).

Baginda berdua di Stadium Utama Kangar semasa Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Tuanku Syed Putra pada tahun 1995. Turut berangkat Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...