Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Kemahkotaan Sultan Johor. Show all posts
Showing posts with label Kemahkotaan Sultan Johor. Show all posts

Sunday, 22 March 2015

Ucapan Tahniah Sempena Kemahkotaan.


WARISAN PERMAISURI MELAYU

MERAFAK SEMBAH TAKZIM MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH
KEPADA


DULI YANG MAHA MULIA BAGINDA 
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Perak),D.K.(Kelantan),D.K.(Perlis),D.K.(Selangor),D.K.(Negeri Sembilan),D.K.(Terengganu),D.K.M.B.(Brunei),S.P.M.J.,S.S.I.J.,S.P.M.T.,S.M.N.,S.P.M.K.,S.P.M.P.,P.I.S.
SULTAN DAN YANG DI PERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM.

DAN

DULI YANG MAHA MULIA
TUANKU RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH,
D.K.,D.K.(Perak),S.P.M.J.,S.P.C.M.
PERMAISURI JOHOR DARUL TA'ZIM.

SEMPENA
HARI KEMAHKOTAAN DULI YANG MAHA MULIA SULTAN JOHOR DARUL TA'ZIM

PADA
23 MAC 2015 MASIHI BERSAMAAN 3 JAMADIL AKHIR 1436 HIJRIAH.

SEMOGA ALLAH S.W.T. MELANJUTKAN USIA DAN PEMERINTAHAN DULI YANG MAHA MULIA TUANKU.
DAULAT TUANKU !!! DAULAT TUANKU !!! DAULAT TUANKU !!!

SEMBAH TAKZIM DARIPADA,

Amirul Izwan Bin Lehuddin
Editor WARISAN PERMAISURI MELAYU
www.warisanpermaisuri.blogspot.com


Saturday, 21 March 2015

Istiadat Siram Tabal Sultan Johor.


Istiadat Siram Tabal sempena Kemahkotaan Sultan Johor telah selamat disempurnakan petang tadi bermula pukul 3.30 petang. Istiadat ini diadakan di perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, Johor Bahru. Pasangan diraja Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah yang berpakaian warna sedondon naik ke paterana panca persada setinggi 9 tingkat untuk istiadat itu.

Istiadat Siram Tabal didahului oleh bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Johor Darul Ta'zim, Dato' Mohd Tahrir Shamsuddin. Bonda Sultan Johor, YAM Enche Besar Khalsom Abdullah menepung tawar kedua pasangan diraja itu. Turut hadir, kekanda Sultan Johor YAM Tengku Puan Panglima Tunku Kamariah Almarhum Sultan Iskandar dan adinda baginda Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar. Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, serta anakanda-anakanda Sultan Johor. 

Istiadat Siram Tabal ini diakan kira-kira satu setengah jam sehingga pukul 4.00 petang. Air dari 10 sungai dari 10 daerah di Johor digunakan untuk istiadat ini. Istiadat Siram Tabal ini merupakan simbolik pembersihan diri Sultan Johor sebelum dimahkotakan sebagai Sultan. Istiadat ini ditutup dengan bacaan doa oleh Mufti Dato' Tahrir Shamsuddin.




Friday, 20 March 2015

Persiapan dan Raptai Sempena Kemahkotaan Sultan Johor.

Bersempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac ini, pelbagai persiapan telah dijalankan. Persiapan paling penting ialah raptai penuh Istiadat Kemahkotaan ini. Pada 17 Mac 2015, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah telah berkenan untuk menghadiri raptai penuh Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar Johor Bahru. Baginda berdua diiringi oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim. 

Kenderaan rasmi untuk Istiadat Kemahkotaan dilihat keluar dari Istana Bukit Serene melalui Jalan Wong Ah Fook, Jalan Trus dan bergerak ke Pantai Lido sehingga sampai ke Istana Besar Johor Bahru bagi menyempurnakan raptai perbarisan lintas hormat kepada baginda berdua. Setelah tiba di Istana Besar, baginda disambut oleh ketua-ketua jabatan kerajaan Negeri Johor. Selepas itu baginda berdua berangkat masuk ke Istana Besar untuk raptai upacara meletakkan mahkota. 

Upacara Siram Tabal akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 2015 yang merupakan salah satu acara penting dalam Istiadat Kemahkotaan ini.




Tuanku Zarith Sofiah memakai Mahkota Permaisuri sambil ditemani Sultan Ibrahim dan Tunku Abdul Rahman menuruni tangga Istana Besar.

Raptai pemakaian mahkota di balairong seri Istana Besar.


Sultan Ibrahim memeriksan pakaian rasmi baginda untuk Istiadat Kemahkotaan sambil disaksikan oleh tukang jahit baju itu, Datuk Jack M.K. Lee.


Sultan Ibrahim memeriksa keadaan di dalam balairong seri.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Tuesday, 17 March 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Bermula.


Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor dibuka pada 16 Mac 2015 dengan Istiadat Meletak Kerja. Istiadat ini merupakan salah satu daripada sembilan istiadat yang berkaitan dengan Kemahkotaan Sultan Johor yang akan berlangsung pada 23 Mac ini. Istiadat ini merupakan simbolik bermulanya perjalanan Istiadat Kemahkotaan ini. 

Istiadat ini  dimulakan dengam upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar pada pukul 9.15 pagi, Isnin 16 Mac 2015. Upacara menaikkan bendera istiadat ini didahului dengan perarakan membawa masuk bendera berkenaan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti oleh bacaan doa oleh Mufti Johor Dato' Mohd Tahrir Shamsuddin. 


Istiadat ini diketuai oleh Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli. Turut hadir menyaksikan istiadat ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dato' Ismail Karim, ketua Polis Negeri Johor, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Sharif , barisan EXCO Negeri Johor serta para pegawai kerajaan negeri, 


Datuk Penghulu Istiadat mengishtiharkan bahawa bendera berkenaan akan dikibarkan bermula 16 Mac dan akan diturunkan pada tarikh 21 April 2015. Sejurus sahaja bendera dinaikkan, 7 das tembakan meriam kedengaran. Istiadat Kemahkotaan ini akan dibuat secara gilang gemilang memandangkan kali terakhir rakyat Johor menyaksikan Istiadat Kemahkotaan ini adalah pada tahun 1960. Generasi baru khususnya harus turut serta dalam istiadat ini untuk lebih mendalami susur galur adat istiadat diraja Johor yang diwarisi zaman berzaman. Kurang seminggu lagi upacara paling penting dalam sambutan kemahkotaan ini akan berlangsung. Semua pihak bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan lancar.

Friday, 13 March 2015

Singgahsana Kerajaan Johor Yang Baharu..

Istana Besar Johor Bahru menyaksikan pengubahsuaian istana itu untuk persiapan menjelang Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor ke 5 pada 23 Mac 2015. Singgahsana Istana Besar juga dilihat telah berubah wajah. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail telah berkenan untuk dimahkotakan apabila siap segala pengubahsuaian istana ini. Singgahsana baharu ini kelihatan lebih cantik dan mewah berbanding singgahsana sebelum ini yang agak ringkas hiasannya.

Singgahsana Kerajaan Johor yang lama.



Singgahsana Kerajaan Johor yang baru.
sumber : kemahkotaan.johor.gov.my

Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri Johor Darul Ta'zim..

Sempena dengan Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac ini, WARISAN PERMAISURI membawakan kisah MAHKOTA KERAJAAN NEGERI JOHOR dan MAHKOTA PERMAISURI JOHOR. Negeri Johor merupakan satu daripada empat negeri Melayu yang mempunyai mahkota. Mahkota ini biasanya digunakan untuk istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan seseorang Sultan. Mengikut sejarah, MAHKOTA KERAJAAN JOHOR ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. Mahkota ini dibuat oleh syarikat JW Benson, yang membuat barang kemas diraja British. Mahkota ini seberat 1.6 kilogram dan rekabentuknya bercirikan ketimuran dan dihiasi intan dan batu permata. Terdapat empat bulan bintang bercantum melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negeri Johor. Mahkota ini mengandungi 6 biji berlian besar, 3 biji batu delima merah, 4 batu zamrud besar, dan 4 biji batu nilam biru besar. Jumlah berlian kecil yang terdapat pada mahkota ini ialah 1450 biji. 


Mahkota Permaisuri (Diadem) digunakan untuk suri Sultan Johor. Dalam tahun 1925, Almarhum Sultan Ibrahim telah berkenan mengubah mahkota ini dengan mengadakan 5 biji berlian besar, setiap satunya 18 karat. Baginda juga menambah kepada regalia itu dengan seutas rantai yang mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara daripada emas putih bertatahkan berlian. 


Kali terakhir mahkota ini dilihat dipakai oleh Sultan Johor adalah semasa Kemahkotaan Sultan Ismail pada tahun 1960.

Sultanah Nora memakai Mahkota Permaisuri ketika dimahkotakan sebagai Sultanah Johor.

Sunday, 8 March 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor 23 Mac 2015.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Zarith Sofiah .

Sukacita dimaklumkan bahawa Istiadat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor Darul Ta'zim dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Darul Ta'zim akan diadakan pada tanggal 23 Mac 2015. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan Sultan Johor Kelima dalam sejarah Johor Moden. Istiadat kemahkotaan ini akan berlangsung di Istana Besar, Johor Bahru. Sultan-Sultan Johor terdahulu ialah Almarhum Maharaja Abu Bakar, Almarhum Sultan Ibrahim Al Mahsyur, Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi, dan Almarhum Sultan Iskandar. Kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan di negeri Johor adalah 55 tahhun lepas apabila Almarhum Sultan Ismail dan Almarhum Sultanah Aminah dimahkotakan pada tahun 1960.

Dato' Rahim Ramli menunjukkan Lambang sempena Kemahkotaan Sultan Johor.

Istiadat Kemahkotaan ini akan bermula seawal 16 Mac 2015 dengan dimulakan oleh Istiadat Meletak Kerja yang diadakan di Tugu Peringatan Istana Besar Johor Bahru. Sembilan istiadat lain yang berkaitan dengan kemahkotaan akan diadakan dan sambutan penuh gilang gemilang ini akan berlangsung selama 3 bulan. Menurut Yang Di Pertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli, istiadat kemahkotaan ini akan menampilkan tiga elemen kebudayaan iaitu Melayu,Islam dan Barat. Istiadat ini juga bakal ditayangkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk tontonan seluruh rakyat Malaysia. Sama-sama kita nantikan detik bersejarah 23 Mac 2015, Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Darul Ta'zim.

Singgahsana Istana Besar Johor.

Istana Besar Johor Bahru.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...