Anda Pengunjung Ke :

Friday 26 September 2014

Almarhum Tunku Besar Burhanuddin..


Bersama sebahagian putera dan puteri baginda iaitu Tuanku Najihah, Tunku Shahariah, Tunku Mustapha dan Tuanku Kurshiah.

Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI kali ini akan menceritakan kisah seorang putera yang barangkali merupakan putera paling dikenali dalam sejarah Putera Yang Empat di Negeri Sembilan. Putera yang dimaksudkan ialah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah, C.M.G.

Diputerakan di Bandar DiRaja Seri Menanti pada tanggal 22 September 1878 dan merupakan putera kedua kepada DYMM Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Antah Ibni Almarhum Tuanku Nasiruddin dan YM Encik Puan Besar Halimah Binti Uggoh.  Ayahanda baginda merupakan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1869 hingga 1888. Manakala bonda baginda merupakan suku Batu Hampar. 


Tunku Burhanuddin dibesarkan dalam lingkungan istana di samping kekanda dan adinda baginda. Baginda berkahwin buat kali pertama dengan Yang Mulia Tunku Sharifah Alawiyah Binti Sayyid Abdul Hamid pada tahun 1907 ketika berusia 29 tahun. Istiadat perkahwinan baginda diadakan di Sri Menanti. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan 7 putera dan 4 puteri  iaitu YAM Tunku Kechil Muda Tunku Dato' Seri Mustapha, YAM Tunku Imam Tunku Tan Sri Mohamed, YM Tunku Indrian, YM Tunku Daud, YM Tunku Dato' Seri Adnan, YAM Tunku Imam Tunku Dato' Seri Mahmud, dan YAM Tunku Sri Kelana Raja Tunku Dato' Seri Shahabuddin, DYMM Tuanku Kurshiah, YM Tunku Dato' Seri Hamdah , DYMM Tuanku Ampuan Duratun Nafisah Azibah dan YM Tunku Bahiyah. Tunku Sharifah Alawiyah mangkat pada 18 Ogos 1949 di Istana Baroh Sri Menanti.

Tunku Burhanuddin kali keduanya berkahwin pula dengan Cik Halija Binti Haji Umar pada tahun 1911 ketika berusia 33 tahun. Perkahwinan ini direstui dengan 2 putera dan 3 puteri iaitu YM Tunku Dato'Seri Muhammad Jamil, YM Tunku Dato' Seri Ahmad, YM Tunku Ghariba, YM Tunku Zahariah, dan DYMM Tuanku Najihah. Cik Halijah mangkat pada 2 Oktober 1968 di Istana Baroh Sri Menanti.


Setelah ayahanda baginda, DYMM Tuanku Antah mangkat pada tahun 1888, maka kekanda sulung baginda Tunku Muhammad ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Besar yang baru dengan gelaran DYMM Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah. Maka, Tunku Burhanuddin diberikan gelaran pusaka Tunku Besar Seri Menanti yang merupakan salah seorang putera yang empat. Untuk rekod, baginda menyandang jawatan itu ketika berusia 10 tahun dan merupakan penyandang Tunku Besar paling lama iaitu selama 73 tahun.

Tunku Burhanuddin bukan sahaja diingati sebagai Tunku Besar paling lama tetapi baginda lebih dikenali sebagai ayahanda kepada Permaisuri Negeri Sembilan. 3 orang daripada puteri baginda menjadi Tuanku Ampuan Negeri Sembilan dan dua daripadanya bergelar Raja Permaisuri Agong. Tunku Burhanuddin merupakan ayahanda kepada Raja Permaisuri Agong Pertama Tuanku Kurshiah. Tuanku Kurshiah berkahwin dengan anak saudara Tunku Burhanuddin sendiri iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Tuanku Abdul Rahman merupakan putera kepada Tuanku Muhammad. Tunku Burhanuddin masih bergelar Tunku Besar dan bersemayam di samping menantu dan puteri baginda. 

Dua lagi puteri baginda yang menjadi Permaisuri ialah Tuanku Ampuan Durah dan Tuanku Najihah. Kedua-dua baginda berkahwin dengan cucunda saudara Tunku Burhanuddin sendiri iaitu Tuanku Munawir dan Tuanku Jaafar yang kedua-duanya merupakan putera kepada Tuanku Abdul Rahman. Bermula tahun 1933 hingga 2008 legasi Permaisuri warisan Tunku Burhanuddin mewarnai sejarah DiRaja Negeri Sembilan. 

Bukan itu sahaja, cucunda baginda, Tunku Bahiyah juga diperisterikan oleh seorang Sultan iaitu Sultan Kedah. Maka, bersemayamlah cucunda Tunku Burhanuddin itu dengan bergelar Sultanah Hajah Bahiyah. Tunku Burhanuddin merupakan nenda mertua kepada Yang DiPertuan Agong sekarang iaitu Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah. Baginda sempat menyaksikan perkahwinan cucunda baginda itu yang berlangsung pada tahun 1956. Cucunda baginda ini juga merupakan Raja Permaisuri Agong ke 5.

Kini, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir juga merupakan zuriat keturunan Tunku Burhanuddin. Tuanku Muhriz merupakan cucunda Tunku Burhanuddin di sebelah bonda Tuanku Muhriz iaitu Tuanku Ampuan Durah. 

Pingat C.M.G.

Selaku Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Burhanuddin telah dianugerahkan darjah kebesaran British iaitu Commander of The Order of St Michael & St George (C.M.G.) oleh Raja George VI pada tahun 1935.


Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin telah mangkat pada 5 Julai 1961 pada usia 83 tahun di Istana Baroh Sri Menanti. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti. Sebelum kemangkatan baginda pada 1961, baginda sempat menyaksikan menantu baginda yang juga cucunda saudara baginda Tuanku Munawir menaiki takhta Negeri Sembilan. Setelah kemangkatan baginda, jawatan Tunku Besar Seri Menanti diwariskan kepada cucunda baginda Tunku Muhriz. Tunku Muhriz menyandang jawatan ini selama 47 tahun sebelum ditabalkan sebagai Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2008. 

AL FATIHAH untuk ALMARHUM TUNKU BESAR BURHANUDDIN IBNI ALMARHUM TUANKU ANTAH, C.M.G.


Sunday 14 September 2014

Kemangkatan Undang Luak Jelebu.

Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan bahawa Undang Luak Jelebu Yang Teramat Mulia Dato' Mendika Menteri Akhirul Zaman Dato' Haji Musa Bin Wahab D.T.N.S.,P.J.K. telah mangkat pada 11 September 2014. Almarhum berusia 77 tahun.  Almarhum baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke 77 pada 4 September lepas.


Yang Teramat Mulia DATO' MENDIKA MENTERI AKHIRUL ZAMAN DATO' MUSA BIN WAHAB  dilahirkan pada 4 September 1937 di Kuala Klawang Jelebu Negeri Sembilan.Beliau merupakan Undang Jelebu ke 15.Beliau berasal dari Suku Biduanda Waris Berundang Perut Sarin.Beliau telah dilantik sebagai Undang Jelebu pada 4 Februari 1980 oleh Dato'Menteri Sah Mangku Alang Raja Sari,Pesaka Dato' Mendika Menteri Akhirul Zaman.


Jenazah Almarhum tiba di Masjid Kampung Gelami pada jam 12.50 tengah hari 12 September 2014 untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Gelami , dekat sini. Terdahulu, pemimpin,pembesar adat dan rakyat menziarahi jenazah Almarhum untuk memberi penghormatan terakhir di Balai Undang Jelebu, Kuala Klawang. Turut menziarah ialah Menteri Besar Dato' Seri Utama Mohamad Hassan,Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Jenazah Almarhum turut diiringi kaum keluarga, Undang Luak Rembau, Dato' Lela Maharaja Dato' Muhamad Sharip Othman, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri serta pembesar lain.

AL FATIHAH untuk ALMARHUM DATO' HAJI MUSA BIN WAHAB.


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...