Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Tengku Ampuan Besar Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Tengku Ampuan Besar Terengganu. Show all posts

Thursday, 12 December 2013

WAJAH-WAJAH :Tuanku Ismail Nasiruddin dan Tuanku Intan Zaharah.

Asslamualaikum. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Yang Maha Mulia Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja menghiasi segmen WAJAH-WAJAH kali ini. Baginda berdua merupakan Sultan dan Tengku Ampuan Terengganu bermula tahun 1949 sehingga tahun 1979. Pasangan DiRaja ini menaiki takhta persekutuan sebagai Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ke 4 bermula tahun 1965 hingga 1970. Tuanku Ismail amat gemar mengambil gambar. Baginda merupakan salah seorang pencetus jurugambar profesional dan baginda mengambil ribuan gambar sepanjang hayat baginda. Baginda digelar " The Pioneer of Modern Malaysia Photography". Mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Intan pada tahun 1944 namum tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Tuanku Ismail mangkat pada 20 September 1979 di usia 72 tahun . Tuanku Intan Zaharah meneruskan kehidupan di istana dan kini baginda bergelar Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu dan berusia 85 tahun. 

Potret rasmi selaku Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 4.

Baginda berdua sewaktu zaman muda. Gambar ini diambil sekitar lewat tahun 1940 an sewaktu baginda berdua baru menaiki takhta negeri Terengganu. Ketika ini Tuanku Intan baru sahaja berusia awal 20 an.

Wajah Sultan dan Tengku Ampuan Besar Terengganu  Darul Iman yang bertakhta mulai tahun 1949 - 1979.  Baginda berdua amat dikasihi rakyat Terengganu atas kemesraan baginda berdua kepada rakyat.


Gelagat Tuanku berdua sewaktu menyaksikan pertandingan lumba kuda.

Tuanku berdua sewaktu berangkat ke Istiadat Santapan Negara sempena meraikan baginda berdua ke negara Korea. Baginda berdua dianugerahkan darjah kebesaran Korea oleh Presiden Korea Selatan.

Baginda berdua menuruni pesawat sebaik tiba di Singapura untuk lawatan kerja. Tuanku Intan merupakan anak kelahiran Singapura.

Baginda berdua disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang  Tan Sri Wong Pow Nee dan Puan Sri sejurus tiba di Pulau Pinang untuk lawatan rasmi. Baginda berdua banyak melawat negeri-negeri dalam Malaysia termasuklah Sabah dan juga Sarawak.

Baginda berdua berkenan untuk berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baginda berdua berangkat ke Istana Negara untuk Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong.

Tuanku berdua menerima tabik hormat sejurus tiba ke tanah air selepas membuat lawatan rasmi ke luar negara.

Monday, 14 November 2011

YAM Tengku Sri Nila Utama Tengku Ampuan Ainon Jamil Almarhum Sultan Abu Bakar..


Tentu ramai yang tidak mengenali siapakah gerangan wanita di atas.Rakyat negeri Terengganu sendiri pun tidak berapa mengenali siapakah beliau.Beliau pernah menjadi permaisuri Terengganu pada zaman Jepun.Beliau juga merupakan puteri diraja Pahang.Beliau yang dimaksudkan ialah Yang Amat Mulia Tengku Sri Nila Utama Pahang Tengku Ampuan Ainon Jamil Binti Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Muazzam Shah,D.K.(Pahang),S.I.M.P.

Ketika menyambut ulang tahun ke 84 beliau di London.

Beliau diputerikan pada 3 Jun 1927 di Pahang.Merupakan puteri kepada sulung kepada Sultan Pahang,Almarhum DYMM Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Muazzam Shah Almarhum Sultan Sir Abdullah.Bonda beliau pula merupakan puteri kepada Sultan Perak iaitu Almarhum DYMM Tengku Ampuan Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Alam Shah.

Bertemu jodoh dengan Almarhum DYMM Sultan Ali Shah Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 3 June 1943 ketika beliau berusia 16 tahun.Pasangan ini dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.Salah seorang anak beliau merupakan Penolong Pengelola Bijaya Diraja Istana Pahang iaitu YH Dato' Setia Pahlawan YM Tengku Dato' Haji Iskandar Abu Bakar Ibni Tengku Ali.Namun perkahwinan mereka tidak kekal lama.Mereka bercerai setelah Almarhum Sultan Ali diturunkan takhta.Pasangan ini bercerai pada tahun 1947.Tengku Ainul kali keduanya bernikah dengan YM Raja Dato' Abdul Jalil Shah Ibni Almarhum Raja Shahar Shah dan dikurniakan 3 orang putera dan seorang puteri.


Menjadi DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 25 September 1942.Beliau dan suami beliau dilantik oleh pihak Jepun.Setelah 3 tahun menduduki takhta kerajaan Terengganu,Sultan Ali diturunkan takhta oleh pihak British pada 29 September 1945 dan jawatan Sultan Terengganu digantikan oleh Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin.

Setelah berpisah dengan Almarhum Sultan Ali pada 1947,beliau telah berkahwin dan hidup bersama Raja Dato' Abdul Jalil sehinggalah kemangkatan Raja Abdul Jalil pada tahun 1999.Pada tahun 1976,Tengku Ainul telah kembali ke Istana Pahang.Adinda beliau,KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah,Sultan Pahang telah mengurniakan gelaran YAM Tengku Sri Nila Utama Pahang kepada beliau.Ini adalah kerana kedudukan beliau selaku anakanda sulung kepada Almarhum Sultan Abu Bakar.Kini beliau telah pun berusia 84 tahun.Baru-baru ini beliau dikhabarkan gering.Sama-samalah kita doakan semoga Tengku Ampuan Ainon Jamil diberikan kesihatan yang baik.

Gambar kenangan Tengku Ampuan Ainon Jamil:


Almarhum Sultan Ali Shah @ Tengku Ali.

Bersama Almarhum Raja Abdul Jalil.

Tuesday, 8 November 2011

YMM Almarhum Tengku Ampuan Hajah Bariah Almarhum Sultan Hisamuddin ..Permaisuri Di Hati Rakyat...



Tentu wajah di atas ini tidak asing lagi di kalangan kita.Ramai daripada kita mengenali wajah ini.Merupakan puteri diraja Selangor sebelum menjadi permaisuri Terengganu.Wanita yang penuh kelembutan dan kesopanan.Gerangan yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Hajah Bariah Binti Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj,D.K.,S.S.M.T.,S.P.M.T.,D.K.(Selangor).

Sebagai Tengku Ampuan Terengganu.

Diputerikan pada 31 Ogos 1933 di Istana Besar Klang Selangor.Jika dilihat tarikh keputeraan baginda,tarikh itu sama dengan tarikh kemerdekaan negara kira iaitu pada 31 Ogos.Baginda merupakan puteri diraja Selangor.Ayahanda baginda ialah DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaedin Sulaiman Shah Alhaj dan bonda baginda ialah YABhg Cik Puan Kalsum Binti Ahmad,isteri kedua Almarhum Sultan.Mendapat pendidikan yang sempurna sebagai seorang puteri raja.Pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Melayu Klang dan seterusnya Kolej Perempuan Melayu,Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Kolej Tunku Kursiah).Menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Cuckfield Park College Sussex.


Bertemu jodoh dengan DYMM Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin pada 22 Mac 1951 ketika baginda berusia 18 tahun.Namun perkahwinan baginda berdua tidak dikurniakan zuriat.Almarhum Sultan Mahmud berkahwin kali kedua dengan YTM Tengku Besar Terengganu Dato' Seri Sharifah Nong Alsagoff dan dikurniakan 3 orang putera dan 3 orang puteri.Salah seorangnya ialah DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin.Walaupun mereka hanya anakanda tiri baginda,Tengku Ampuan Bariah melayan kesemua anakanda Tengku Besar sebagai anakanda baginda sendiri.Tiga tahun selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud,Tengku Ampuan Bariah telah dikurniakan gelaran YTM Tengku Puan Muda Terengganu pada tarikh 7 April 1954.Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Ismail pada 1979,Sultan Mahmud ditabalkan sebagai Sultan Terengganu yang baru.Adat istiadat pertabalan Tengku Ampuan Bariah sebagai DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu telah disempurnakan  pada 20 September 1979.Baginda menduduki takhta Terengganu selama lebih kurang 19 tahun sehinggalah kemangkatan Almarhum Sultan Mahmud pada tahun 1998.Jawatan Sultan Terengganu disandang oleh anakanda tiri baginda DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin Almarhum Sultan Mahmud.
Semasa baaginda menjadi Tengku Ampuan.Turut kelihatan Almarhum Sultan Mahmud dan Tuanku Mizan.

Baginda merupakan seorang Tengku Ampuan yang sangat lemah lembut dan penyayang.Baginda amat dikasihi oleh keseluruhan rakyat Terengganu.Tengku Ampuan Bariah sentiasa dekat di hati rakyatnya.Baginda merupakan seorang permaisuri yang ''low profile'' dan berjiwa rakyat.Baginda sering mencemar duli menghadiri majlis-majlis bersama rakyatnya.Baginda juga aktif dalam pertubuhan wanita seperti Pergerakan Pandu Puteri,Pergerakan Wanita Islam,Puspanita dan Puteri Islam.Baginda bukan sahaja disayangi rakyat Terengganu tetapi juga rakyat Selangor.Ini kerana baginda merupakan bonda saudara kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Bersama anakanda tiri baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Mahmud pada 1998,Tengku Ampuan Bariah menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Terengganu Tengku Ampuan Bariah.Gelaran itu sebelum ini disandang oleh YMM Tuanku Intan Zaharah yang merupakan bonda mertua tiri baginda.Tuanku Intan Zaharah dikurniakan gelaran YMM Tengku Ampuan Tua.Baginda meneruskan kehidupan secara sederhana dan bersemayam di Istana Terengganu Bukit Jambul.Tengku Ampuan Bariah mengekalkan jawatan baginda selaku Ahli Dewan Diraja Selangor walaupun tidak lagi menjadi permaisuri.Baginda menghadiri adat istiadat pertabalan DYMM Sultan Sharafuddin pada 9 Mac 2003.Baginda banyak menaungi pertubuhan kebajikan dan keagamaan.


Setelah 13 tahun bersemayam sebagai Tengku Ampuan Terengganu,Tengku Ampuan Bariah telah mangkat pada 21 Mac 2011 di Hospital Seri Kota Klang Selangor.Baginda berusia 78 tahun.Jenazah baginda diterbangkan ke Istana Maziah Terengganu untuk istiadat pemakaman dan penghormatan terakhir.Jenazah baginda selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid Al Muktafi Billah Shah,Ladang.


Berikut merupakan gambar kenangan Almarhum Tengku Ampuan Bariah :

Senyuman manis seorang permaisuri.

Dipimpin oleh Tuanku Fauziah di satu majlis.


Monday, 7 November 2011

YMM Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah Almarhum Tengku Omar Setia Raja..


Kali ini kita mengenali permaisuri negeri Terengganu Darul Iman pula.Merupakan nenda tiri kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan .Baginda merupakan anak kelahiran Singapura.Baginda yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja,
D.K.,D.M.N.,S.S.M.T.,S.P.M.T.,Grand Cordon of the Orders of Merit(Federal Republic Germany),Grand Cordon Of The Order Of Golden Hearts(Philippines),Grand Cross Of The Most Exalted Order Of The Queen Of Sheba(Ethiopia),Grand Cordon Of The Order Of The Precious Crown(Japan),Grand Cordon Of The Order of Diplomatic Service Merit 1st Class(Korea),Grand Cordon Of The Order The Pleiades 1st Class(Iran),Grand Cordon Of The Order Of Mugunghwa(Republic Of Korea).



Puteri kepada YAM Almarhum Tengku Setia Raja Terengganu Tengku Hitam Omar dan YAM Almarhum Raja Zainab binti Raja Alang ini diputerikan pada 13 April 1928.Baginda merupakan kerabat diraja Singapura dan dilahirkan di Singapura.Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Kurau dan Convent Katong di Singapura.

Bertemu jodoh dengan KDYMM Almarhum Sultan Ismail Nasirudin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin 3 April 1944 ketika baginda berusia 16 tahun.Baginda merupakan isteri kedua Almarhum.Namun perkahwinan baginda berdua tidak menghasilkan sebarang zuriat.Pada 5 November 1945,setelah pihak Jepun keluar dari Malaya,DYMM Sultan Ali,Sultan Terengganu ketika itu diturunkan takhta.DYMM Sultan Ismail telah dilantik sebagai Sultan Terengganu yang baru.Secara automatik Tuanku Intan Zaharah ditabalkan menjadi DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu.Majlis pertabalan baginda berdua telah diadakan pada 6 June 1949 di Istana Maziah Kuala Terengganu.Tuanku Intan berusia 21 tahun ketika ditabalkan.Baginda bergelar Tengku Ampuan Besar selama 30 tahun sehingga kemangkatan suami baginda pada 20 September 1979.Tuanku Intan Zaharah menjadi Raja Permaisuri Agong ke 5 bermula tahun 1965 hingga 1970.

Ketika zaman muda baginda.


Semasa Tuanku Intan Zaharah menjadi Raja Pemaisuri Agong,baginda banyak dikurniakan darjah kebesaran dari dalam dan luar negara.Baginda merupakan antara permaisuri yang mendapat darjah kebesaran terbanyak.Sebagai contoh pada 7 Februari 1966 baginda telah dianugerahkan Grand Order of the Mugunghwa daripada Presiden Republik Korea.Pada 6 April 1966 pula baginda dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Negara (DMN),antara darjah kebesaran tertinggi negara. Baginda merupakan Penaung Persatuan Pandu Puteri Terengganu.

Kenangan bersama Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin dan Almarhum Sultan Idris Shah.

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin pada tahun 1979,baginda menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Terengganu.Baginda meneruskan kehidupan secara sederhana di istana.Pada tahun 1998 setelah kemangkatan Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah yang merupakan anak tiri baginda,baginda dikurniakan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu.Ini kerana gelaran Tengku Ampuan telah diberikan kepada YMM Tengku Ampuan Bariah.Cucunda tiri baginda DYMM Tuanku Mizan telah menaiki takhta Terengganu dan menjadi Yang Dipertuan Agong ke 13.Antara hobi baginda termasuklah bermain badminton dan memancing. Tuanku Intan Zaharah mangkat pada 24 Januari 2015 ketika berusia 87 tahun di Hospital Pantai, Kuala Lumpur akibat pneumonia. Jenazah baginda diterbangkan ke Terengganu dan dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin, bersebelahan makam Almarhum suami baginda. Al- Fatihah untuk Almarhum Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah.

Antara gambar kenangan YMM Tuanku Intan Zaharah:


Ketika istiadat perkahwinan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.


Bersama Tunku Azizah,Tunku Puan Zanariah dan Tunku Puan Nora .

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...