Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Edisi Khas Pertabalan. Show all posts
Showing posts with label Edisi Khas Pertabalan. Show all posts

Sunday, 13 December 2015

Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Pertama.


Sejarah negara tercipta pada tanggal 2 September 1957 apabila seorang Ketua Negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah ditabalkan. Persekutuan Tanah Melayu yang baru sahaja mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 membuka suatu dimensi baru apabila pentadbiran kerajaan berkonsepkan Raja Berpelembagaan. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sir Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Pertama Persekutuan.

Istiadat pertabalan ini julung kali diadakan bagi sebuah negara yang baru merdeka ini. Bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, istiadat pertabalan ini dihadiri oleh lebih kurang 500 orang tetamu yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, Sultan Brunei, Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen, Perdana Menteri Persekutuan, dan tetamu kehormat dari dalam dan luar negara. Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Kurshiah bersemayam di atas singgahsana baharu yang cantik dan megah di dalam Balairong Seri. Istiadat ini juga dihiasi dengan paluan nobat dan tembakan meriam sebanyak 21 das.


Istiadat dimulakan dengan keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan diiringi oleh juruiri-juruiring serta panglima-panglima yang membawa alat kebesaran diraja. Kemudian, Datuk Paduka Maharaja Lela yang juga Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tuan Haji Mustapha Albakri memohon perkenan Tuanku untuk memulakan istiadat. Surat perisytiharan pertabalan Yang Di-Pertuan Agong  telah dibacakan  oleh  Tuan  Haji  Mustapha Albakri, Datuk Paduka Maharajalela.

Datuk Paduka Maharajalela kemudian membawa masuk sebuah Al-Quran, sebilah keris panjang Diraja, surat pengisytiharan dan surat sumpah untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menerima keris tersebut, baginda telah menghunus dan menciumnya sekali. Baginda kemudian membaca surat sumpah, setelah selesai Datuk Paduka Maharajalela pun menyeru 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali berturut-turut dan disambut oleh sekalian yang hadir. Seruan ini diiringi pula dengan permainan nobat tanda 'raja bertabal'. Setelah itu, surat pengisytiharan pertabalan Yang di-Pertuan Agong dibaca dan istiadat diakhiri dengan bacaan doa. 

Sunday, 8 March 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor 23 Mac 2015.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Zarith Sofiah .

Sukacita dimaklumkan bahawa Istiadat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor Darul Ta'zim dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Darul Ta'zim akan diadakan pada tanggal 23 Mac 2015. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan Sultan Johor Kelima dalam sejarah Johor Moden. Istiadat kemahkotaan ini akan berlangsung di Istana Besar, Johor Bahru. Sultan-Sultan Johor terdahulu ialah Almarhum Maharaja Abu Bakar, Almarhum Sultan Ibrahim Al Mahsyur, Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi, dan Almarhum Sultan Iskandar. Kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan di negeri Johor adalah 55 tahhun lepas apabila Almarhum Sultan Ismail dan Almarhum Sultanah Aminah dimahkotakan pada tahun 1960.

Dato' Rahim Ramli menunjukkan Lambang sempena Kemahkotaan Sultan Johor.

Istiadat Kemahkotaan ini akan bermula seawal 16 Mac 2015 dengan dimulakan oleh Istiadat Meletak Kerja yang diadakan di Tugu Peringatan Istana Besar Johor Bahru. Sembilan istiadat lain yang berkaitan dengan kemahkotaan akan diadakan dan sambutan penuh gilang gemilang ini akan berlangsung selama 3 bulan. Menurut Yang Di Pertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli, istiadat kemahkotaan ini akan menampilkan tiga elemen kebudayaan iaitu Melayu,Islam dan Barat. Istiadat ini juga bakal ditayangkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk tontonan seluruh rakyat Malaysia. Sama-sama kita nantikan detik bersejarah 23 Mac 2015, Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Darul Ta'zim.

Singgahsana Istana Besar Johor.

Istana Besar Johor Bahru.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Thursday, 26 January 2012

Sultanah Haminah Terima DMN...

BERNAMA.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Sultanah Haminah Binti Hamidun hari ini berkenan menerima Darjah Kebesaran Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.).Penganugerahan ini merupakan simbol penghargaan dan hormat kerajaan Malaysia kepada Raja Permaisuri Agong.Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak mewakili kerajaan menyampaikan Darjah Kebesaran terbabit di Bilik Seri Mahkota Istana Negara jam 3 petang.Turut berangkat di majlis penganugerahan itu ialah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah.Turut hadir Datin Sri Rosmah Mansor,Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria,Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan.



Tuesday, 13 December 2011

Istiadat Keberangkatan Tiba dan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Yang Dipertuan Agong ke 14..


Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 14.



Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri  Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.
Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lalu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Di Kuala Lumpur, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur  pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.




Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14.

 
Sultan Kedah,Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mengangkat sumpah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14 di dalam majlis penuh adat istiadat di Istana Negara Jalan Duta.Ini merupakan kali kedua baginda dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong.Kali pertama adalah pada 21 Januari 1970 sehingga 20 September 1975 ketika berusia 43 tahun.Ini menjadikan baginda sebagai antara Raja Melayu paling muda menjadi Yang Dipertuan Agong.Tuanku Abdul Halim dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menaiki takhta persekutuan buat kali kedua pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang diadakan pada 12 Oktober 2011.Baginda yang berusia 84 tahun menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 12 Disember lepas.

Istimewanya,Istiadat kali ini diadakan di Istana Negara yang baru sahaja beroperasi sebulan lepas.Istiadat Melafaz Sumpah ini dimulakan pada pukul 11.15 pagi.Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang ke 227 untuk Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan ini diadakan di Balairongseri Istana Negara.Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Istiadat bermula apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mempersembahkan dokumen surat sumpah kepada Tuanku Abdul Halim.Baginda kemudiannya membaca lafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah itu di hadapan Raja-Raja Melayu yang lain.Dua orang saksi yang terdiri daripada Raja Melayu adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah.Istiadat diteruskan dengan lafaz sumpah Timbalan Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad Ke 5.Sejurus selepas itu doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.Kemudian Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memohon perkenan Raja-Raja untuk menangguhkan Mesyuarat ke tarikh yang akan diberitahu.




Istiadat diteruskan dengan menandatangani surat pengisytiharan Yang Dipertuan Agong ke 14 yang kemudiannya dibacakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak.Diteruskan dengan menandatangani surat pengisytiharan Timbalan Yang Dipertuan Agong.Istiadat kali ini dihadiri oleh kesemua Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah.Turut hadir Yang Dipertua Negeri.Turut berangkat dalam Istiadat itu ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra juga kerabat Diraja Kedah dan Kelantan.Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wah Zahidi Wan Teh.




Berikut ialah pengisytiharan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini:

"Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-raja:


Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.


Maka oleh yang demikian Beta, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, dengan ini mengisytiharkan bahawa Beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.


Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di Ibu Negara Beta di Kuala Lumpur pada tiga belas haribulan Disember dalam tahun dua ribu sebelas."




 

Monday, 12 December 2011

Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke 13...

Tarikh 12 Disember 2011 menyaksikan tamatnya perkhidmatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah sebagai Yang Dipertuan Agong ke 13.Keberangkatan Seri Paduka berdua pulang kenegeri Terengganu diadakan dengan penuh adat istiadat diraja.


Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka berdua bermula dengan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 11 pagi.Keberangkatan Seri Paduka berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan isterinya Datin Seri Che Sharifah Ismail.



Sebelum berangkat ke Dataran Parlimen,Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berkenan untuk bersalaman dengan 500 orang kakitangan dan petugas Istana Negara .Sudah pasti,setiap petugas istana merasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Seri Paduka berdua.Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah memakai pakaian istiadat di mana Tuanku Mizan mengenakan pakaian Muskat yang merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.Tuanku Mizan juga turut berkenan untuk menerima mengadap Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.




Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan Istana Negara menaiki kenderaan rasmi Yang Dipertuan Agong diiringi seramai 7 pengiring bermotorsikal serta 12 pengiring diraja daripada Kor Armor Diraja.Ketika berangkat meninggalkan istana,baginda berdua melintasi pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke 6 Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada 3 pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Mohd Zaffar Ismail.Ketika itu juga lagu Negaraku dimainkan oleh pasukan pancaragam batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat.

Baginda berdua kemudian diiring ke peterana, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik 'Hormat Diraja' oleh pasukan kawalan kehormat, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.Tuanku Mizan kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Lt Mohd Nor Azizan Yahya.Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, disusuli tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.

Baginda berdua kemudian berangkat bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Sementara itu, semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 12.35 tengah hari didahului dengan perarakan mengikut tradisi kesultanan Melayu, dikepalai seekor gajah dilengkapi tandu yang dihiasi payung kuning dan kain baldu berwarna merah.Perarakan berwarna-warni itu diiringi 30 pemalu gendang dan disertai 300 pengiring berpakaian tradisional rakyat Malaysia, hulubalang dan inang istana bergerak mendahului kenderaan yang membawa pasangan diraja ke pintu kompleks.




Ketibaan baginda berdua di pintu utama kompleks itu disambut Najib dan isteri, serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais.Setiba baginda berdua ke peterana khas di kompleks itu, seramai 40 pesilat membuat persembahan, diikuti jamuan ringan sebelum baginda berangkat ke pesawat khas.Ini disusuli persembahan 'Daulat Tuanku' oleh peserta perarakan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebelum baginda berdua menaiki pesawat untuk berlepas pulang ke Terengganu.Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali berserta lambaian dari semua yang hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua.

Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat berlepas meninggalkan KLIA menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 1.15 petang.







Tuesday, 6 December 2011

Terima Kasih Tuanku Nur Zahirah..Selamat Bertugas Sultanah Haminah..

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Nur Zahirah,Raja Permaisuri Agong Ke 13.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Haminah Hamidun,Raja Permaisuri Agong ke 14. 

Negara kita sekali lagi akan menyaksikan Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang baru tidak lama lagi.Kali terakhir istiadat ini berlangsung adalah pada tahun 2006 apabila DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin dan DYMM Tuanku Nur Zahirah menaiki takhta kerajaan Malaysia.Kini,setelah 5 tahun berlalu,Baginda berdua akan menamatkan perkhidmatan dan kembali ke negeri Terengganu sebagai Sultan dan Sultanah.



Tarikh 13 Disember 2011 adalah tarikh bermulanya perkhidmatan KDYMM Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan KDYMM Sultanah Haminah Hamidun sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong.Baginda pernah dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong ke 5 pada tahun 1970 hingga tahun 1975.Baginda merupakan satu-satunya Raja yang menaiki takhta kerajaan Malaysia sebanyak 2 kali.

Namun,bagi Sultanah Haminah binti Haji Hamidun,ini adalah kali pertama baginda bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.Baginda merupakan isteri kedua Tuanku Abdul Halim.Baginda ditabal sebagai Sultanah Kedah selepas kemangkatan Almarhum Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada tahun 2003.

Tuah ayam nampak dikaki,tuah manusia siapa yang tahu.Sultanah Haminah cukup bertuah apabila suami baginda dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong ke 14.Ini kerana secara automatik baginda akan bergelar Raja Permaisuri Agong.Sultanah Haminah yang merupakan orang kebanyakan yang berasal dari Bagan Serai Perak kini berusia 59 tahun.Baginda mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Abdul Halim pada tahun 1975.Baginda cukup memahami hati rakyat kerana latar belakang baginda sendiri daripada golongan kebanyakan.Baginda merupakan Permaisuri ke-4 daripada kalangan orang kebanyakan yang menjadi Raja Permaisuri Agong selepas DYMM Tuanku Bainun,YAM Permaisuri Siti Aishah, dan DYMM Tuanku Nur Zahirah sendiri.

Tuanku Nur Zahirah dan Sultanah Haminah bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shireen dan Ibu Ani,Isteri Presiden Indonesia.

Menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada usia 33 tahun.Itulah tuah Tuanku Nur Zahirah yang dilahirkan di Kedah pada tahun 1973 ini.Baginda boleh dikatakan Permaisuri Agong paling popular dan disenangi ramai disebabkan keramahan dan keprihatinan baginda.Kemunculan baginda di majlis-majlis sering ditunggu-tunggu.Baginda juga merupakan ikon fesyen secara tidak langsung.Imej dan keterampilan baginda sering menjadi ikutan ramai.Baginda sering mengiringi Tuanku Mizan dalam hal-hal rasmi negara dan banyak membantu Tuanku Mizan dalam mentadbir negara.Kini,setelah lima tahun bertakhta,baginda telah berjaya menjalankan pernanan sebagai permaisuri dengan baik sekali.Kita akan selalu mengingati dan mengenang segala jasa baginda semasa menjadi Raja Permaisuri Agong.


Menjunjung kasih dan setinggi-tinggi terima kasih terhadap DYMM Tuanku Nur Zahirah dan Daulat Tuanku terhadap KDYMM Sultanah Haminah Hamidun.



Persembahan Setinggi-tinggi Tahniah kepada,
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Sultanah Haminah Binti Hamidun,
D.K.H.,D.K.
kerana dilantik sebagai
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 14.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...