Anda Pengunjung Ke :

Monday, 12 December 2011

Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke 13...

Tarikh 12 Disember 2011 menyaksikan tamatnya perkhidmatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah sebagai Yang Dipertuan Agong ke 13.Keberangkatan Seri Paduka berdua pulang kenegeri Terengganu diadakan dengan penuh adat istiadat diraja.


Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka berdua bermula dengan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 11 pagi.Keberangkatan Seri Paduka berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan isterinya Datin Seri Che Sharifah Ismail.



Sebelum berangkat ke Dataran Parlimen,Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berkenan untuk bersalaman dengan 500 orang kakitangan dan petugas Istana Negara .Sudah pasti,setiap petugas istana merasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Seri Paduka berdua.Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah memakai pakaian istiadat di mana Tuanku Mizan mengenakan pakaian Muskat yang merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.Tuanku Mizan juga turut berkenan untuk menerima mengadap Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.




Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan Istana Negara menaiki kenderaan rasmi Yang Dipertuan Agong diiringi seramai 7 pengiring bermotorsikal serta 12 pengiring diraja daripada Kor Armor Diraja.Ketika berangkat meninggalkan istana,baginda berdua melintasi pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke 6 Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada 3 pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Mohd Zaffar Ismail.Ketika itu juga lagu Negaraku dimainkan oleh pasukan pancaragam batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat.

Baginda berdua kemudian diiring ke peterana, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik 'Hormat Diraja' oleh pasukan kawalan kehormat, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.Tuanku Mizan kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Lt Mohd Nor Azizan Yahya.Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, disusuli tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.

Baginda berdua kemudian berangkat bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Sementara itu, semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 12.35 tengah hari didahului dengan perarakan mengikut tradisi kesultanan Melayu, dikepalai seekor gajah dilengkapi tandu yang dihiasi payung kuning dan kain baldu berwarna merah.Perarakan berwarna-warni itu diiringi 30 pemalu gendang dan disertai 300 pengiring berpakaian tradisional rakyat Malaysia, hulubalang dan inang istana bergerak mendahului kenderaan yang membawa pasangan diraja ke pintu kompleks.




Ketibaan baginda berdua di pintu utama kompleks itu disambut Najib dan isteri, serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais.Setiba baginda berdua ke peterana khas di kompleks itu, seramai 40 pesilat membuat persembahan, diikuti jamuan ringan sebelum baginda berangkat ke pesawat khas.Ini disusuli persembahan 'Daulat Tuanku' oleh peserta perarakan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebelum baginda berdua menaiki pesawat untuk berlepas pulang ke Terengganu.Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali berserta lambaian dari semua yang hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua.

Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat berlepas meninggalkan KLIA menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 1.15 petang.







No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...