Anda Pengunjung Ke :

Friday, 6 December 2013

Almarhum Raja Perempuan Kelantan Sultanah Zainab.

Kepada penduduk negeri Kelantan sudah pasti sering mendengar nama Jalan Sultanah Zainab  yang terletak di Kota Bharu Kelantan. Tapi pasti ramai di antara kita kurang mengenali siapakah gerangan pemilik nama Sultanah Zainab ini. Pasti ada juga di antara kita yang terkeliru di antara Tengku Zainab Tengku Muhammad Petra yang merupakan Raja Permaisuri Agong ke 6 dengan Sultanah Zainab. Tengku Zainab lebih dikenali sebagai Raja Perempuan Zainab II manakala Sultanah Zainab dikenali sebagai Raja Perempuan Zainab I.

Diputerikan sebagai Yang Mulia Tengku Zainab Binti Tengku Zainal Abidin pada tahun 1897. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia Tengku Long Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Muhammad III yang pernah menjadi Raja Muda Kelantan dengan isteri baginda Yang Amat Mulia Tengku Besar. Ayahanda Sultanah Zainab merupakan putera ke 3 kepada Al Sultan Kelantan Sultan Muhammad III Ibni Almarhum Sultan Ahmad yang memerintah Kelantan pada tahun 1890 - 1891.

Sultanah Zainab bersama besan baginda DYMM Sultan Hisamuddin, menantu baginda Tengku Zainab dan cucunda baginda Sultan Ismail Petra semasa Istiadat Pemakaman Sultan Ibrahim tahun 1960.

Sultanah Zainab merupakan bonda saudara kepada YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Ibni Almarhum Tengku Muhammad Hamzah. Baginda merupakan kekanda kepada YBM Tengku Muhammad Hamzah Ibni Tengku Zainal Abidin. Baginda Sultanah Zainab juga merupakan bonda saudara kepada bonda Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid iaitu YBM Tengku Hajah Azizah Binti Tengku Muhammad Hamzah. Ini secara tidak langsung menjadikan Sultanah Zainab nenda saudara kepada Tengku Anis.

Sultanah Zainab mendirikan rumah tangga dengan KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada 6 Julai 1914 ketika berusia 17 tahun. Sultan Ibrahim (yang ketika itu bergelar Tengku Sri Indera Mahkota Tengku Ibrahim) merupakan sepupu kepada Sultanah Zainab. Pada hari perkahwinan baginda, Sultanah Zainab telah diberikan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Embong. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Balai Besar Kota Bharu. Baginda dikurniakan sepasang cahaya mata. Putera baginda ialah Yang Teramat Mulia Tengku Tan Sri Abdullah Ibni Sultan Ibrahim dan puteri baginda pula ialah Yang Amat Mulia Tengku Thuraya Binti Sultan Ibrahim.

Gambar yang menunjukkan baginda memakai Darjah Kerabat Kelantan.

Baginda menaiki takhta negeri Kelantan sebagai Raja Perempuan pada hari Pertabalan suami baginda sebagai Sultan Kelantan pada tanggal 25 Oktober 1944 di Istana Balai Besar. Baginda memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zainab,D.K. Baginda menjadi Raja Perempuan Kelantan selama 16 tahun sehinggalah kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Anakanda tiri baginda Tengku Yahya Petra dilantik menjadi Sultan Kelantan dengan bergelar Sultan Yahya Petra. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda KDYMM Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1979 setelah kemangkatan Sultan Yahya Petra. Sultanah Zainab mangkat pada 28 September 1985 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan. Al Fatihah untuk baginda.

DULI YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN KELANTAN DARUL NAIM
SULTANAH ZAINAB BINTI TENGKU ZAINAL ABIDIN
D.K.
1944 - 1960.






1 comment:

  1. well, Sultanah Zainab ialah Almarhum Nik Zainab, isteri kpd Sultan Mohd 4. kerana permaisuri dr kalangan org keluaran, gelaran Sultanah diberikan secara rasmi.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...