Anda Pengunjung Ke :

Monday, 9 December 2013

WAJAH-WAJAH : Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Tengku Ampuan Jemaah.

Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI meneruskan segmen terbaru WAJAH-WAJAH dengan menampilkan pasangan DiRaja dari negeri Selangor yang merupakan pasangan kedua yang menaiki takhta kerajaan persekutuan. Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Ampuan Hajah Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 2 bermula 14 April 1960. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada tahun 1919 di Istana Mahkota, Klang. Baginda berdua dikurniakan seorang putera iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang diputerakan pada tahun 1926. Pasangan DiRaja ini menaiki takhta negeri Selangor pada 31 Mac 1938. Semasa pemerintahan Jepun bermula tahun 1942, baginda diturunkan takhta sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Takhta negeri Selangor dikembalikan kepada pasangan DiRaja ini. Sultan Hisamuddin bertakta sehinggalah kemangkatan baginda semasa bergelar Yang Di Pertuan Agong pada 1 September 1960. Baginda mangkat di Istana Tetamu , Kuala Lumpur. Manakala isteri baginda Tengku Ampuan Jemaah meneruskan kehidupan bersama satu-satunya putera baginda yang mewarisi takhta negeri Selangor sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1973.


Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 2.

Tuanku berdua bersemayam di hadapan singgahsana takhta kerajaan Selangor yang terletak di Istana Kota Klang. Tengku Ampuan Jemaah merupakan salah seorang permaisuri terawal yang mengenakan tudung dalam kehidupan seharian baginda.

Sultan Hisamuddin amat gemar memakai serban dan jubah. Gambar ini diambil di dalam kapal yang bernama 'Williem Ruys' semasa baginda dan Tengku Ampuan Jemaah berangkat pulang dari menghadiri Istiadat Kemahkotaan Queen Elizabeth II di England pada tahun 1953.

Baginda berdua ketika merasmikan sidang Parlimen pada tahun 1960.

Baginda berdua berangkat setelah merasmikan sidang parlimen. Turut mengiringi baginda berdua ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan YABhg Tun Sharifah Rodziah Barakbah(di belakang Tengku Ampuan Jemaah).

Baginda berdua menuju ke singgahsana takhta persekutuan. Baginda Sultan Hisamuddin merupakan satu-satunya Yang Di Pertuan Agong yang tidak sempat ditabalkan. Baginda mangkat setelah 5 bulan dilantik sebagai Yang Di Pertuan Agong.

Baginda berdua ketika menghadiri Istiadat Pemakaman Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman. Turut kelihatan ialah KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin .

Baginda berdua dikunjungi oleh DYMM Sultan Yussuf Izzudin dan DYMM Raja Perempuan Taayah.Sultan Yussuf merupakan ayahanda kepada Sultan Perak sekarang Sultan Azlan Shah. Gambar ini diambil di taman bunga Istana Pantai yang terletak di Morib, Selangor.

Seorang Sultan yang mementingkan Islam. Baginda mewarisi semangat cintakan Islam ini daripada Almarhum ayahanda baginda Sultan Alaeddin Sulaiman Shah yang amat mengasihi ulama dan mahir dalam pengajian Islam.

Tuanku berdua membuat lawatan terhadap pelajar-pelajar Tanah Melayu yang melanjutkan pelajaran di England pada tahun 1952. Baginda amat menitik beratkan bidang pendidikan.


No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...