Anda Pengunjung Ke :

Friday 23 September 2016

Raja Melayu Paling Muda Naik Takhta.


Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Zainal Abidin III Mu'azzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad merupakan Raja Melayu paling muda ketika menaiki takhta dalam sejarah Kesultanan Melayu. Baginda merupakan Sultan Terengganu ke- 11. Baginda memerintah negeri Terengganu bermula 18 Disember 1881 sehingga 26 November 1918 iaitu selama 37 tahun. Baginda mencipta sejarah sebagai Raja Melayu paling muda menaiki takhta kerajaan negeri apabila menaiki takhta pada usia 15 tahun. Baginda diputerakan pada 12 April 1866. Baginda mangkat ketika berusia 52 tahun pada 26 November 1918 selepas 37 tahun memerintah negeri Terengganu. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Baginda digantikan oleh putera baginda Almarhum Sultan Haji Muhammad II Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III yang bertakhta bermula 1918 sehingga 1920. Dua orang putera baginda juga menjadi Sultan Terengganu iaitu Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III. Warisan Permaisuri Melayu menyenaraikan Raja Melayu yang menaiki takhta ketika berusia kurang daripada 25 tahun :

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Al-Mukarram Shah (Menaiki takhta ketika usia 17 tahun).
Diputerakan : 4 Jun 1864
Naik takhta : 22 September 1881
Mangkat : 13 Mei 1943.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansur Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tengah (Menaiki takhta ketika berusia 21 tahun).
Diputerakan : 1870
Naik Takhta : 11 Mei 1891
Mangkat :18 Jun 1899.

Image result
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ibrahim Al-Mahsyur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (menaiki takhta ketika usia 22 tahun).
Diputerakan : 17 September 1873
Naik Takhta : 4 Jun 1895
Mangkat : 8 Mei 1959

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah II  Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (Menaiki takhta ketika usia 22 tahun).
Diputerakan : 4 September 1857
Naik takhta : 22 Jun 1879
Mangkat : 22 September 1881



Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Tajuddin III Al-Mukarram Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah I (Menaiki takhta ketika berusia 22 tahun)
Diputerakan : 1832
Naik takhta : 13 Mac 1854
Mangkat : 22 Jun 1879

Image result for raja syed alwi
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail (Menaiki takhta ketika usia 23 tahun).
Diputerakan : 13 April 1881
Naik takhta : 30 Disember 1904
Mangkat : 1 Februari 1943

Image result
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Yamtuan Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah (Menaiki takhta ketika usia 23 tahun)
Diputerakan : 25 April 1865
Naik takhta : 22 Oktober 1888
Mangkat : 1 Ogos 1933

Image result
Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Menaiki takhta ketika usia 25 tahun)
Diputerakan : 1 Disember 1895
Naik takhta : 20 Mei 1920
Mangkat : 25 September 1942


Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail Ibni Almarhum Tuan Syed Hassan Jamalullail ( Menaiki takhta ketika usia 25 tahun)
Diputerakan : 25 November 1920
Naik takhta : 4 Disember 1945
Mangkat : 16 April 2000

Monday 12 September 2016

12 September : Hari Keputeraan Sultanah Pahang.

Pasangan DiRaja Selangor Menunaikan Solat Sunat Aidiladha.



Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong. Baginda berdua menyertai kira-kira 2,500 jemaah yang turut sama menunaikan solat di masjid berkenaan. Baginda berdua diiringi oleh YAB Menteri Besar Selangor Dato' Seri Azmin Ali dan isteri Datin Seri Shamshida Taharin, Mufti Negeri Selangor Dato' Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Mohd Amin Ahmad Ahya. Ini merupakan kemunculan pertama Tengku Permaisuri Norashikin bersama rakyat jelata selepas berkahwin dengan Sultan Sharafuddin pada 31 Ogos lepas dan dikurniakan gelaran Tengku Permaisuri Selangor pada 8 September lepas. Solat sunat Aidiladha diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar. 


Baginda berdua menikmati jamuan.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

sumber : bernama 

Saturday 10 September 2016

Pelantikan Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj berkenan untuk melantik isteri baginda, Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Norashikin Abdul Rahman sebagai Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan. Norashikin akan memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin berkuatkuasa serta merta pada 8 September 2016. Menurut Setiausaha Dewan DiRaja Selangor, Hanafiah Jais, Sultan Sharafuddin juga berkenan untuk menganugerahi Tengku Permaisuri Norashikin dengan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran "Datin Paduka Seri". Tengku Permaisuri Norashikin merupakan individu ketiga menyandang gelaran Tengku Permaisuri Selangor selepas Almarhum Tengku Permaisuri Sharifah Mastura pada 1942 dan Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah pada 1998. Namun, pihak istana belum lagi memberi maklumat tentang pertabalan Tengku Permaisuri Selangor. Tengku Permaisuri Norashikin kini berada ditempat ke-6 dalam susunan kekananan Raja Permaisuri dan Isteri Yang Di-Pertua Negeri. Daulat Tuanku !!!




Friday 2 September 2016

Gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan dan Tengku Permaisuri Selangor.


Kali terakhir negeri Selangor mempunyai Permaisuri adalah sekitar 15 tahun dimana penyandangnya adalah Yang Amat Mulia Permasuri Siti Aishah Binti Abdul Rahman. Dengan perkahwinan terkini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah maka kekosongan gelaran Permaisuri akan terisi. Gelaran bagi Permaisuri dari kalangan kerabat atau gahara dengan Permaisuri dari golongan kebanyakan adalah berbeza. Bagi isteri Sultan yang berasal dari kalangan kerabat diraja yang bertakhta, gelaran yang diberikan adalah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Darul Ehsan. Dalam sejarah kesultanan Selangor, seramai 9 orang Tengku Ampuan Selangor semenjak kali pertama negeri ini menerima kehadiran Sultan. Permaisuri negeri yang bergelar Tengku Ampuan Selangor yang terakhir setakat ini adalah Almarhum Tengku Ampuan Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz yang mangkat pada tahun 1993. Semenjak tahun 1993 sehingga kini, gelaran Tengku Ampuan Selangor kosong. 

Manakala gelaran bagi isteri Sultan yang berdarah kebanyakan atau berasal dari orang biasa yang bertakhta diberikan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor. Gelaran ini kali terakhir pada tahun 1998 apabila Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Siti Aishah ditabalkan. Baginda yang berasal dari golongan kebanyakan sebelum itu diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Cik Puan Besar Selangor sejurus perkahwinan baginda dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1990. Selepas 8 tahun baginda bergelar Cik Puan Besar Selangor, barulah baginda ditabalkan sebagai Tengku Permaisuri Selangor. Selain Permaisuri Siti Aishah, terdapat seorang lagi penyandang gelaran Tengku Permaisuri Selangor. Baginda adalah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Sharifah Mastura Binti Syed Ahmad Shahabuddin. Baginda merupakan isteri kepada Sultan Selangor yang memerintah semasa zaman Jepun bermula tahun 1942 hingga tahun 1945, Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. 

Berdasarkan sejarah, isteri kedua sultan dan seterusnya yang tidak bertakhta diberikan gelaran Cik Puan Besar. Kali pertama gelaran Cik Puan Besar digunakan adalah pada zaman pemerintahan Sultan Selangor Ke-2, Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Sultan Salehuddin. Isteri ke-4 baginda, Cik Long Halijah Binti Dato' Husain diberikan gelaran Cik Puan Besar Selangor. Pada zaman pemerintahan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, dua orang isteri baginda diberikan gelaran yang berlainan. Isteri ke-7 baginda, Cik Maimunah Binti Abdullah diberikan gelaran Cik Anjong Negara manakala isteri ke-8 baginda, Cik Bidayah Binti Ahmad diberikan gelaran Cik Puri Negara. 

Memandangkan isteri Sultan Sharafuddin, Cik Puan Norashikin merupakan seorang yang berasal dari golongan kebanyakan, maka gelaran yang mungkin akan diberikan kepada beliau adalah Tengku Permaisuri Selangor. 

Berikut merupakan senarai Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan dan Tengku Permaisuri Selangor yang pernah bertakhta sebagai Suri Negeri Selangor :

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Pertama

Tengku Ampuan Puteri Binti Almarhum Sultan Ala'uddin Riayat Shah (1766-1778)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Salehuddin Shah Ibni Almarhum Raja Chelak.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-2

Tengku Ampuan Tengah Binti Almarhum Raja Haji (1796-1826)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-3
Tengku Ampuan Basik Binti Almarhum Arung To' Mojong (1826-1857)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-4

Tengku Ampuan Atfah Binti Almarhum Sultan Muhammad Shah (1857-1873)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-5
Tengku Ampuan Paduka Seri Negara Tengku Ampuan Maharum Binti Almarhum Tunku Dziauddin (1898-1910)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-6
Tengku Ampuan Zubaidah Binti Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Karamatullah Shah (1910-1918)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-7
Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Rahmatullah Shah (1922-1938)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-8

Tengku Ampuan Hajah Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad (1938-1942) dan (1945-1960)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Ke-9
Tengku Permaisuri Sharifah Mastura Binti Syed Ahmad Shahabuddin (1942-1945)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-10
Tengku Ampuan Rahimah AlHajjah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz (1960-1993)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Ke-11
Tengku Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman (1998-2001)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

Sembah Tahniah dan Selamat Pengantin Baru DYMM Sultan Selangor.


WARISAN PERMAISURI MELAYU menzahirkan sembah setinggi-tinggi tahniah buat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj diatas pernikahan baginda dengan Yang Amat Berbahagia Cik Puan Norashikin Binti Abdul Rahman. Semoga Tuanku dan Cik Puan Norashikin dipanjangkan jodoh dan berada dalam rahmat Allah S.W.T. selalu. 



Sultan Sharafuddin, 71 bernikah dengan Cik Puan Norashkin, 45 pada hari Rabu tanggal 31 Ogos 2016. Cik Puan Norashikin merupakan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM). Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Bani, baginda dan Cik Puan Norashikin diijabkabulkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor Dato' Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Majlis pernikahan diadakan di Masjid Diraja Istana Alam Shah, Klang dan berlangsung pagi 31 Ogos. Majlis pernikahan ini diadakan secara ringkas dan sederhana atas titah Tuanku sendiri. 


Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Mufti Selangor Dr Anhar Opir, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful, Mantan Timbalan Mufti Selangor Dato' Abdul Majid Omar, Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato' Salehuddin Saidin, bapa serta ahli keluarga Cik Puan Norashikin. Cik Puan Norashikin merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. 

Ini merupakan perkahwinan kali ke-3 buat Tuanku. Pertama kali Tuanku berkahwin dengan Yang Mulia Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal pada tahun 1968 dan bercerai pada tahun 1986. Baginda berkahwin buat kali kedua pada tahun 1988 dengan Cik Puan Nur Lisa Idris Abdullah. 

Cik Puan Norashikin merupakan bekas pramugari Malaysian Airlines. Beliau pernah berkahwin dengan Mustapha Kamal Halim, seorang juruterbang dan kemudian telah bercerai. Beliau mempunyai sepasang cahaya mata hasil perkahwinan pertama iaitu Nur Amanda, 17 dan Adam Salleh, 14. 

Rakyat Selangor mendoakan kebahagiaan Sultan Sharafuddin dan Cik Puan Norashikin


Thursday 1 September 2016

1 September 1960 : Kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2.



Tarikh 1 September 1960 merupakan tarikh sedih bagi seluruh rakyat Persekutuan Tanah Melayu apabila Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah mangkat secara mengejut. Baginda mangkat pada hari pertabalan baginda. Baginda baru sahaja 5 bulan bergelar Yang Di-Pertuan Agong selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada April 1960. Baginda mangkat di Istana Tetamu, Kuala Lumpur. Baginda yang berusia 62 tahun telah dibawa ke Istana Negara untuk istiadat penghormatan terakhir. Sejurus tiba di Istana Negara, keranda yang berisi jenazah baginda disemayamkan di paterana khas setinggi 7 anak tangga. Darjah kebesaran serta alat kebesaran diraja juga diletakkan bersebelahan keranda Almarhum. Pemimpn dari dalam dan luar negara datang memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. Tidak lupa juga rakyat jelata yang sayangkan Almarhum. Selepas selesai istiadat penghormatan terakhir di Istana Negara, jenazah baginda dibawa berarak ke Jalan Raja Laut berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad. Raja-Raja Melayu, Sultan Brunei, Yang Di-Pertuan Negara Singapura, Gabenor-gabenor serta tetamu kehormat menuggu ketibaan jenazah Almarhum di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Sejurus selesai penghormatan terakhir di hadapan Dataran Merdeka, jenazah baginda dibawa ke Istana Kota, Klang untuk istiadat penghormatan. Baginda disemayamkan berhadapan singgahsana Istana Kota. Raja-Raja Melayu serta permaisuri sekali lagi berangkat memberikan penghormatan terakhir. Tidak lupa juga kerabat diraja Selangor serta rakyat jelata. Selepas itu jenazah baginda dibawa ke Masjid Diraja Klang untuk dimakamkan di Makam Diraja bersebalahan Masjid Diraja Klang. Istiadat pemakaman baginda diadakan pada 3 September 1960. Istiadat pemakaman baginda dihadiri oleh balu Almarhum, Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah, Raja-Raja dan Permaisuri Melayu, Pemangku Sultan Selangor Tengku Abdul Aziz, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak serta tetamu kenamaan lain. Hari ini, 1 September 2016, telah 56 tahun kemangkatan Almarhum. Al Fatihah buat Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. 

Istana Tetamu, Kuala Lumpur :

Jenazah baginda diusung menuruni tangga untuk dibawa ke Istana Negara.

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah serta Pemangku Sultan Selangor Tengku Abdul Aziz dan Tengku Rahimah mengiringi jenazah ke Istana Negara.

Jenazah dimasukkan ke ambulans untuk dibawa ke Istana Negara.

Istana Negara, Kuala Lumpur :

Jenazah Almarhum tiba di Istana Negara. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Tuanku Syed Putra, Tengku Abdul Aziz dan Tun Razak memeriksa meja yang diletakkan darjah kebesaran Almarhum.


Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Singapura Encik Lee Kuan Yew dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Tunku Abdul Rahman memberikan penghormatan terakhir di Istana Negara.

Yang Di-Pertuan Negara Singapura Tun Yusof Ishak dan isteri Toh Puan Noor Aishah memberikan penghormatan terakhir.

Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah membaca doa dihadapan keranda suami baginda sambil diiringi oleh Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah.

Tengku Ampuan Jemaah dipapah oleh Tuanku Puan Besar Kurshiah dan Dang Perwara Istana Negara Tunku Asiah. Turut kelihatan cucunda baginda Tengku Sulaiman.

Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Keranda Almarhum diarak dari Istana Negara menuju ke Jalan Raja Laut berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Raja-Raja Melayu yang terdiri daripada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra, Sultan Pahang Sultan Abu Bakar, Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin, Sultan Perak Sultan Yussuf Izzuddin, Sultan Kelantan Sultan Yahya Petra, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim, Tunku Laksamana Negeri Sembilan Tunku Laksamana Nasir, dan Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddien bersama kenamaan lain menunggu jenazah Almarhum dihadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Jenazah Almarhum diarak di hadapan Dataran Merdeka.

Istana Kota, Klang :

Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah ditemani Raja Puan Muda Selangor Tengku Rahimah bersama kerabat perempuan membaca doa di hadapan keranda Almarhum.

Alunan ayat suci Al-Quran menemani Almarhum yang ditempatkan di hadapan singgahsana Istana Kota.

Pemangku Sultan Selangor memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum ayahanda baginda.

Menteri Besar Selangor membacakan pengisytiharan kemangkatan Almarhum.

Dari kiri : Tengku Zainab, Tengku Ampuan Intan Zaharah, Tengku Rahimah, Tengku Budriah serta putera-putera Almarhum.

Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Kota. Tuanku Syed Putra, Sultan Ismail Nasiruddin, Sultan Yussuf Izzuddin, Sultan Abdul Halim, Sultan Yahya Petra, Tunku Laksamana Nasir, dan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Kerabat diraja Selangor mengiringi jenazah Almarhum.

Makam DiRaja Klang.

Perarakan jenazah Almarhum tiba di perkarangan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

Tengku Ampuan Jemaah dibantu oleh putera baginda Tengku Abdul Aziz menyiram air mawar di pusara suami baginda.

Pemangku Sultan Selangor Tengku Abdul Aziz Shah menyiram air mawar ke pusara Almarhum ayahanda baginda.

Raja-Raja Melayu terdiri darpada Tuanku Syed Putra, Sultan Ismail Nasiruddin, Sultan Abdul Halim, Sultan Yahya Petra, Sultan Omar Ali Saifuddien, menunggu ketibaan jenazah Almarhum di Makam Diraja bersebelahan Masjid Diraja Sultan Suleiman. Turut kelihatan Tengku Ampuan Intan Zaharah, Tengku Budriah dan puteri sulung Almarhum Tengku Raudzah (dua dari kiri).

Jenazah baginda dimasukkan ke dalam liang lahad untuk istiadat pemakaman.

sumber gambar : jabatan penerangan malaysia.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...